wrapper

Topik Popular

Insentif Membeli/Mengimport Kereta Di Bawah Program Malaysia My Second Home (MM2H)

  • Berapakah had harga maksimum kereta yang boleh dibeli di bawah insentif ini?

    Tiada harga maksimum ditetapkan bagi membeli sebuah kereta yang dibuat/dipasang di Malaysia.
  • Berapakah kapasiti maksimum kereta yang boleh dibeli di bawah insentif ini?

    Tiada had maksimum ditetapkan.
  • Bolehkah kereta yang telah diluluskan pengecualian duti/cukai dijual/ditukar hak milik?

    Peserta perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Perbendaharaan sebelum kereta yang telah diluluskan itu dijual/ditukar hak milik.
  • Bolehkah kereta yang diluluskan pengecualian duti/cukai didaftarkan di atas nama isteri pemohon iaitu seorang warganegara Malaysia?

    Kereta yang diluluskan di bawah program MM2H tidak boleh didaftarkan di atas nama isteri seorang warganegara Malaysia kerana insentif ini adalah untuk warganegara asing yang memiliki visa MM2H.
  • Saya dan isteri telah diluluskan visa MM2H, oleh kerana saya sering keluar negara, bolehkah isteri saya memohon untuk membeli kereta?

    Permohonan hendaklah dikemukakan atas nama suami dan kereta yang dipohon kelulusan boleh didaftarkan atas nama isteri yang juga memiliki visa MM2H.
  • Saya, isteri dan dua orang anak telah diluluskan visa program MM2H ini, bolehkah saya dan isteri membuat permohonan berasingan bagi membolehkan kami memiliki dua buah kereta di bawah insentif ini?

    Setiap keluarga hanya layak untuk memohon bagi membeli atau mengimport sebuah kereta sahaja.
  • Sekiranya tempoh kelulusan visa MM2H 5 tahun saya tamat, saya akan memperbaharui visa MM2H untuk tempoh 10 tahun lagi, bolehkah saya memohon pengecualian untuk sebuah lagi kereta?

    Setiap peserta hanya layak memohon sebuah kereta sahaja tanpa mengambil kira berapa kali beliau memperbaharui tempoh visa.
  • Saya seorang warganegara Australia tetapi telah lama menetap di Hong Kong, Bolehkan saya mengimport kereta yang telah digunakan di Hong Kong dan adakah dokumen tambahan diperlukan?

    Sekiranya telah menetap dalam tempoh yang lama di Hong Kong maka kereta tersebut boleh dibawa ke Malaysia di bawah program MM2H dengan memberi bukti seperti dokumen pemilikan hartanah, temporary resident card, surat sokongan/akuan dari syarikat ( jika bekerja) dan sebagainya.
  • Saya seorang warganegara Korea dan masih menetap di Korea, bolehkah saya mengimport kereta yang baru dibeli di German?

    Peserta tidak boleh mengimport kereta dari negara ketiga. Hanya boleh mengimport kereta yang sedang digunakan di negara negara asal/domisil terakhir peserta.
  • Saya telah diluluskan visa MM2H, bolehkah saya mengimport sebuah kereta baru yang dibeli dari mana-mana negara?

    Insentif ini hanya membenarkan peserta membeli kereta baru yang dibuat/dipasang di Malaysia sahaja. Manakala import adalah ke atas kereta yang sedang digunakan di negara asal/domisil terakhir peserta.

Permohonan Ejen Cukai

  • Apakah syarat kelayakan yang diperlukan bagi memohon kelulusan ejen cukai?

    Syarat kelayakan dan panduan bagi memohon kelulusan ejen cukai boleh didapati dari laman web.
  • Adakah salinan sijil kelayakan akademik dan profesional serta sijil kehadiran seminar / kursus / bengkel berkaitan percukaian perlu diakui sah?

    Salinan kad pengenalan, sijil kelayakan akademik dan profesional serta sijil kehadiran kursus/bengkel/seminar berkaitan percukaian perlu diakui sah oleh Pesuruhjaya Sumpah menggunakan Akuan Berkanun yang boleh di muat turun dari laman web.
  • Adakah 10 mata CPD/CPE bagi kehadiran Seminar Bajet Tahunan Terkini anjuran LHDN / MIT / MATA termasuk sekali untuk pengiraan 40 mata CPD/CPE bagi permohonan baru dan 90 mata CPD/CPE bagi permohonan pembaharuan?

    Pengiraan 10 mata bagi kehadiran Seminar Bajet Tahunan Terkini anjuran LHDN/MIT/MATA adalah termasuk sekali dalam jumlah 40 mata CPD/CPE bagi permohonan baru dan 90 mata CPD/CPE bagi permohonan pembaharuan.
  • Adakah juruaudit yang telah dilesenkan sebelum 1 Januari 2006 perlu membuat permohonan baru bagi mendapatkan kelulusan ejen cukai dan bagaimana pula dengan juruaudit yang dilesenkan selepas 1 Januari 2006?

    Juruaudit yang telah dilesenkan sebelum 1 Januari 2006 tidak perlu membuat permohonan baru, hanya perlu membuat permohonan pembaharuan kelulusan ejen cukai 4 bulan sebelum tamat tempoh kelulusan semasa. Manakala bagi juruaudit yang dilesenkan selepas 1 Januari 2006, perlu membuat permohonan baru bagi mendapatkan kelulusan ejen cukai.
  • Adakah seminar/kursus/bengkel berkaitan percukaian anjuran mana-mana pihak/persatuan diiktiraf bagi penentuan mata CPD/CPE?

    Seminar/kursus/bengkel berkaitan percukaian anjuran LHDN/MIT/ MATA/MIA/MAICSA dan MICPA sahaja yang diiktiraf bagi penentuan mata CPD/CPE.

Pengecualian Duti Import/Eksport

  • Bolehkah syarikat memohon pengecualian duti eksport ke atas sisa pengilangan (scrap)

    Pada umumnya, pengecualian duti eksport tidak diberikan kepada pengeksportan scrap, walau bagaimanapun bagi syarikat pengilangan yang mengeksport copper scrap di bawah kod tarif 7404.00 000 boleh dipertimbangkan duti eksport tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

    1. Mendapat AP yang sah dari MITI dan diendoskan oleh Jabatan Kastam dalam Borang K2 untuk satu tempoh yang sah;
    2. Copper scrap tersebut hendaklah terhasil daripada bahan mentah yang diimport dan perlu dipulangbalik kepada syarikat pembekalnya yang mensyaratkan sisa-sisa tersebut dipulangbalik kepada pembekal asal atau mana-mana pihak yang dibenarkan oleh pembekal asal; dan
    3. Menghasilkan copper scrap yang tidak boleh atau tidak sesuai untuk ditebus-guna oleh syarikat tempatan.

  • Bolehkah syarikat mendapat pengecualian duti import/cukai jualan bagi kerja sub-kontrak untuk luar negara?

    Permohonan untuk pengecualian duti/cukai bagi kerja sub-kontrak untuk luar negara boleh dikemukakan terus kepada SMIDEC dengan satu salinan kepada Bahagian Analisa Cukai, Kementerian Kewangan. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Kementerian setelah menerima penilaian dari SMIDEC.
  • Bolehkah syarikat memohon untuk mendapatkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas mesin/peralatan yang tidak digunakan secara langsung dalam aktiviti pengeluaran syarikat?

    Pengecualian duti/cukai hanya diberi ke atas bahan mentah/komponen serta mesin/peralatan yang digunakan secara langsung dalam aktiviti pengilangan syarikat.

    Di samping itu, pengecualian duti/cukai ke atas peralatan cleanroom juga dipertimbangkan atas asas bahawa walaupun peralatan tersebut tidak digunakan secara langsung dalam aktiviti pengilangan tetapi ia perlu bagi menjamin kawasan pengilangan bebas dari habuk dan gangguan pancaran elektrik. Pihak syarikat boleh berhubung secara terus dengan Jabatan Kastam bagi mendapatkan senarai peralatan cleanroom yang dikecualikan duti import/cukai jualan.

  • Bolehkah syarikat yang berstatus LMW/FIZ mendapat pengecualian duti import ke atas jualan keluaran siapnya ke Kawasan Utama Kastam (PCA)?

    1. Penjualan barangan pengguna dan barangan perantaraan yang ada dikeluarkan di Kawasan Utama Kastam (PCA) dikenakan duti import pada kadar bersamaan kadar CEPT;
    2. Penjualan barangan pengguna dan barangan perantaraan yang ada dikeluarkan di PCA tetapi mengandungi nilai bahan tempatan melebihi 51% dan bahan tempatan tersebut diperolehi daripada syarikat rakyat Malaysia melebihi 51% adalah dikenakan duti import 5% a.v. atau kadar bersamaan duti eksais mengikut mana yang lebih tinggi (bagi keluaran yang tertakluk kepada duti eksais). Bagi barangan yang tidak mencapai kandungan bahan tempatan melebihi 51% tetapi mencapai sekurang-kurangnya 40%, kelonggaran boleh dipertimbangkan berdasarkan merit sesuatu kes;
    3. Penjualan barangan pengguna yang tiada dikeluarkan di PCA dikenakan duti import 3% a.v.; dan
    4. Penjualan barangan perantaraan yang tiada dikeluarkan di PCA diberi pengecualian duti import sepenuhnya atau dikenakan duti import 3% a.v. mengikut dasar semasa yang terpakai bagi pengecualian duti import ke atas bahan mentah/komponen dan mesin/peralatan bagi sektor pengilang di PCA. Bagi permohonan untuk membayar duti import di bawah kadar CEPT, syarikat hendaklah mengisi borang PC(3) di MIDA. Permohonan akan dipertimbangkan oleh Perbendaharaan setelah menerima penilaian dari MIDA. Permohonan untuk membayar duti import pada kadar CEPT hendaklah dikemukakan terus kepada Jabatan Kastam.