wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

 

TEKS UCAPAN
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

SEMPENA PERLUASAN SKIM PERLINDUNGAN KESIHATAN
MASYARAKAT atau SKIM MYSALAM

11 FEBRUARI 2020 (SELASA)
DEWAN UTAMA, KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
PUTRAJAYA

 


 

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan;

Yang Berhormat Dr. Lee Boon Chye
Timbalan Menteri Kesihatan;

Yang Berhormat Dato’ Wira Haji Amiruddin bin Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan;

Yang Berbahagia Tan Sri Ahmad Badri bin Mohd Zahir
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;

Pengarah-Pengarah hospital Kerajaan, Universiti Perubatan, dan Tentera;

Pegawai-pegawai kanan Kerajaan;

Hadirin yang saya hormati sekalian.

Salam Sejahtera, Salam Harapan dan Salam Sayangi Malaysiaku.

PENGENALAN

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaankepada Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, pengurusan tertinggi hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera, dan semua pihak yang terlibat dalam membantu inisiatif Kerajaan untuk memperluaskan faedah dan perlindungan skim perlindungan kesihatan masyarakat (“Skim mySalam”) bagi tahun 2020.

PENGENALAN SKIM MYSALAM (2019)

2. Skim mySalam merupakan sebuah skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang pertama kali diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan semasa Belanjawan 2019. Ianyamerupakan sebuah inisiatif untuk membantu isi rumah golongan berpendapatan rendah (“B40”) dengan memberikan perlindungankesihatan dalam bentuk bantuan kewangan apabila berlaku kejadian kecemasan atau masalah kesihatan yang tidak diduga.Skim mySalam juga mencerminkan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran golongan B40 tentang faedah perlindungan insurans dan takaful kesihatan.

3. Skim mySalam sedia ada ini menawarkan dua jenis faedah bantuan. Pertama, perlindungan kesihatan percuma untuk 36 jenis penyakit kritikal di mana penerima akan mendapat bayaran one-off sebanyak RM8,000 jika dikenalpasti menghidapi salah satu daripada penyakit kritikal tersebut. Kedua, bayaran pendapatan gantian elaun hospitalisasi sebanyak RM50 di mana-mana hospital kerajaan, hospital perubatan universiti dan hospital tentera untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun yang bersamaan dengan RM700 setahun.

4. Bagi tahun 2019, seramai 4.3 juta individu golongan B40 yang tersenarai untuk Bantuan Sara Hidup (“BSH”) 2019, yang berumur di antara 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka dilindungi di bawah Skim mySalam. Untuk makluman para hadirin, lebih daripada 9,662 individu telah berjaya menerima faedah bantuan yang berjumlah lebih daripada RM13.7 juta. Daripada jumlah tersebut, lebih daripada 1, 448 individu telah menerima faedah penyakit kritikal dan lebih daripada 8,214 telah menerima faedah elaun hospitalisasi.

5. Memandangkan Skim mySalam merupakan sebuah inisiatifyang baru, lebih daripada 30 aktiviti dan program kesedaran telah dilaksanakan secara bersama. Selain itu, kiosk-kiosk mySalam juga telah ditubuhkan di 39 hospital Kerajaan di semua negeri diMalaysia untuk membantu dengan pertanyaan am, semakan status, dan penghantaran tuntutan.

PERLUASAN PERLINDUNGAN SKIM MYSALAM (2020)

6. Skim mySalam mempunyai potensi dan peluang untuk menawarkan perlindungan kesihatan kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Oleh itu, seperti yang diumumkan semasa Belanjawan 2020, mulai 1 Januari 2020, Kerajaan Persekutuan akan memperluaskan skim mySalam untuk meliputi:

  • Kenaikan had umur dari 55 ke 65 tahun untuk penerima BSH serta pasangan mereka;
  • Penerima BSH individu bujang dan individu OKU; dan
  • Perluasan perlindungan penyakit kritikal kepada 45 penyakit termasuk polio berbanding dengan 36 penyakit kritikal sedia ada.

7. Kerajaan juga prihatin terhadap cabaran kewangan yang dialami oleh golongan berpendapatan pertengahan (“M40”) terutamanya semasa mengalami kecemasan kesihatan. Oleh itu, Kerajaan juga telah memanjangkan perlindungan Skim ini kepada individu yang mempunyai pendapatan kasar tahunan tidak lebih daripada RM100 ribu. Perlindungan ini akan merangkumi faedah bayaran penyakit kritikal“one-off” sebanyak RM4 ribu dan bayaranpendapatan gantian elaun hospitalisasi sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari apabila dimasukkan ke hospitalkerajaan, hospital perubatan universiti, dan hospital tentera.

8. Secara keseluruhannya, Kerajaan menjangka bahawa perluasan Skim ini akan membawa manfaat kepada 8 juta individu bagi tahun 2020.

9. Untuk makluman para hadirin, untuk penerima BSH individu bujang dan individu OKU yang layak, tuntutan boleh terus dibuat mulai bulan Mei, selepas proses pendaftaran untuk BSH dimuktamadkan. Bagi individu M40, proses pendaftaran akan bermula pada hari ini, 11 Februari 2020 sehingga 31 Mac 2020.Selepas tarikh tersebut, semua penerima yang layak akan dimaklumkan dan boleh mula mengemukakan tuntutan masing-masing.

PENAMBAHBAIKAN KESEDARAN & OPERASI SKIM MYSALAM

10. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mendorong rakyat Malaysia supaya lebih celik digital, Kerajaan akan melancarkan sebuah aplikasi mudah alih mySalam yang boleh dimuat turun oleh semua penerima yang layak. Aplikasi ini membolehkan proses tuntutan, semakan status tuntutan dan baki faedah, dan mendapatkan maklumat berkenaan Skim ini dibuat dengan lebih cepat dan mudah.

11 . Bagi meningkatkan lebih kesedaran, penyebaran maklumatdan membantu memudahkan proses tuntutan, pasukan mySalamjuga sedang berusaha untuk menubuhkan dan menaiktaraf kiosk-kiosk mySalam kepada 150 hospital Kerajaan di seluruh Malaysia sebelum akhir tahun ini.

PENUTUP

12. Peluasan skim mySalam ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, seperti yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Penyediaan perlindungan melalui skim mySalam adalah usaha untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan perkhidmatan yang diperlukan dan mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung, terutamanya semasa dilanda penyakit.

13. Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat khususnyaKementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, hospital-hospital kerajaan, perubatan universiti dan tentera, dan agensi-agensi Kerajaan dalam menjayakan inisiatif Kerajaan untuk memberikan perlindungan kesihatan kepada rakyat Malaysia yang paling memerlukan melalui Skim mySalam.

Sekian, terima kasih.

11 Februari 2020
Putrajaya