wrapper

Topik Popular

 

TEKS UCAPAN
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN

SEMPENA

 

PERSIDANGAN ANTARABANGSA
KESEJAHTERAAN SOSIAL
KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA 2019

&

PELANCARAN #MALAYSIAKERJA

21 – 22 November 2019
Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur


 

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,
Tun Dr Mahathir Mohamad

Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri
Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail

Yang Berbahagia Tan Sri Samsudin bin Osman
Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Barisan Jemaah Menteri

Ahli Lembaga KWSP

Yang Berbahagia Alizakri Alias

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP

Pegawai Kanan Kerajaan

Pengurusan Kanan KWSP

Yang Berbahagia Tan Sri, Dato’ Seri, Dato

Rakan-rakan media

Para Tetamu yang dihormati,

1. Selamat Pagi dan Salam Sejahtera kepada para hadirin sekalian.

2. Ribuan terima kasih kerana mengambil bahagian dalam sesi dialog berkenaan dengan isu-isu berhubung kesejahteraan sosial yang paling mendesak dalam negara. Setakat ini , isu yang paling membimbangkan adalah berkenaan dengan isu pengangguran.

3. Pada pembentangan Belanjawan 2020, program #MalaysiaKerja telah diumumkan yang melibatkan pakej rangsangan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mewujudkan sehingga 350,000 peluang pekerjaan. Saya ingin jelaskan di sini bahawa misi menyediakan peluang pekerjaan bag mereka yang menganggur, seperti dipandu oleh YAB Perdana Menteri, bukanlah jumlah pekerjaan yang akan dicipta oleh kerajaan, tetapi secara prinsipnya untuk mereka yang memerlukan pekerjaan, adalah jumlah tambahan atas bilangan pekerjaan yang diciptakan pasaran.

4. Terdapat empat komponen di dalam #MalaysiaKerja yang menyasarkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu: #GraduanKerja memberi tumpuan kepada pekerjaan untuk siswazah baharu, #PerintisKerja bertujuan untuk meningkatkanpenyertaan TVET dalam kalangan belia kita, #WanitaKerja untuk menarik bakat dalam kalangan wanita yang berkelayakan dan#WatanKerja untuk mempromosikan pekerjaan 3D kepada rakyat Malaysia.

5. Program secara besar-besaran di seluruh negara ini akan bermula secara bertahap bermula suku kedua tahun 2020.

6. Pada asasnya, insentif gaji dan insentif pengambilan pekerjabawah #MalaysiaKerja akan dikreditkan terus ke dalam akaun KWSP individu bagi mengimbangi caruman berkanun oleh majikandan pekerja.

7. Sebarang jumlah lebihan insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun khas yang di wujudkan oleh KWSP bagi membolehkan pengeluaran secara fleksibel tanpa mengira jumlah pengeluaran apabila diperlukan.

8. Mekanisme ini akan membolehkan pencarum menabung untuk persaraan mereka dan pada masa yang sama pendapatan bolehguna tersebut boleh digunakan oleh mereka untuk menampung keperluan harian.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Kerajaan amat yakin bahawa KWSP mempunyai pengetahuan,pengalaman dan keupayaan yang mencukupi untuk mengendalikan program di peringkat kebangsaan secara besar-besaran. KWSP merupakan salah satu daripada dana tabungan persaraan tertua dan terbesar di dunia. Ia juga berkeupayaan untuk mengakses pangkalan data terbesar pekerja dan majikan dalam negara dengan lebih daripada 14 juta ahli dan lebih daripada 504,000 majikan di negara ini.

10. Namun, saya harus menekankan di sini bahawa #MalaysiaKerja bukanlah inisiatif KWSP sahaja. Sebaliknya, #MalaysiaKerja ini hanya boleh berjaya melalui usaha kerjasama antara majikan dan pembuat dasar.

11. Untuk memastikan pihak kami dapat melaksanakan #MalaysiaKerja dengan sempurna, kerajaan memerlukan maklumbalas daripada anda sekalian dan saya mengalu-alukan sebarang idea bernas dan sokongan yang padu daripada anda semua dalam persidangan mulai dari hari ini. Program #MalaysiaKerja ini sememangnya bercita-cita tinggi, dan unik kerana memberi insentif bukan sahaja kepada golongan pekerja, tetapi juga kepada majikan. Marilah kita sama-sama menjayakan #MalaysiaKerja, dan berikan peluang pekerjaan yang bermakna kepada 350,000 orang rakyat Malaysia dan menemukan mereka dengan kedudukan yang wajar dalam masyarakat.

12. Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin sekalian kerana sama-sama bertekad untuk membawa Malaysia menuju ke tahap yang lebih baik dan masa hadapan yang lebih cerah.

Terima kasih