wrapper

Topik Popular

 

MERENCANA MASA HADAPAN DIGITAL MALAYSIA MELALUI
RANGKA KERJA MULTILATERAL, KEUSAHAWANAN,
KEMAKMURAN BERSAMA

 

UCAPAN OLEH
YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

Blum Hall
University of California, Berkeley


Isnin, 21 Oktober 2019


 

Maryanne McCormick
Pengarah Eksekutif Blum Center

Gregory Lablanc
Haas School of Business

Sarah Maxim
Naib Pengerusi, Center for Southeast Asia Studies

Ahli-ahli fakulti,

Tuan-tuan dan puan-puan,

Good afternoon dan selamat tengah hari.

PENDAHULUAN

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Blum Center for Developing Economies kerana sudi menjemput saya. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi sedikit tentang ekonomi Malaysia dan langkah-langkah yang sedang kami ambil untuk jadikan negara kami kalis masa hadapan dalam zaman digital ini.

PENYAH-INDUSTRIALISASI PRAMATANG DI MALAYSIA

2. Malaysia telah mengecap pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam pengindustrian bermula tahun 1970an. Perubahan ini telah menjadikan Malaysia yang pada waktu itu berasaskan pertanian kepada sebuah sweatshop dan smartshop serantau. Kini, kawasan-kawasan seperti Pulau Pinang, Lembah Kelang dan Selatan Johor mempunyai hab pembuatan serantau yang memenuhi permintaan global, dan menjadi tuan rumah kepada banyak syarikat Fortune 500 yang ternama. Hab-hab ini telah menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang pesat terutamanya dalam tahun 1990an sewaktu kami dianggap sebagai salah satu harimau ekonomi Asia.

3. Tetapi sesuatu telah terjadi semenjak itu. Bermula awal 2000-an, sektor pembuatan Malaysia, khususnya sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) mula melompong kesan dari pembukaan China dan kemunculan ekonomi-ekonomi baharu dengan struktur kos yang lebih rendah.

4. Kesan pelompongan ini telah membawa kepada penyah-industrian pramatang di Malaysia. Pembuatan berada di puncak pada awal 2000-an pada kira-kira 30% daripada KDNK kami. Ia telah berkurang kepada 22% setakat tahun lalu. Perkhidmatan bernilai rendah telah berkembang bagi menggantikan pembuatan, malah dalam sektor pembuatan itu sendiri, pertumbuhan pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi tidak berkembang.

5. Penyah-industrian ini telah diiringi oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Dari 1988 ke 1997, Malaysia telah mencatatkan pertumbuhan KDNK purata sebanyak 9.3% setiap tahun. Namun, ia telah berkurang kepada 5.1% sahaja sejak tahun 2000. Ini perkara yang sangat merunsingkan Malaysia, yang berazam mahu melonjak masuk ke dalam kalangan ekonomi-ekonomi maju berpendapatan tinggi.

6. Walau bagaimanapun,perubahan itu secara bersendirian tidak akan membahayakan Wawasan 2020 kami untuk muncul sebagai sebuah negara maju. Wawasan 2020 sebenarnya tersasar dari landasan disebabkan oleh skandal 1MDB yang menurut Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah mengubah Malaysia kepada sebuah kleptokrasi global yang sangat parah, dan telah memerangkap banyak institusi kewangan di negara-negara seluruh dunia yang terkait dengan skandal kewangan USD25 bilion, termasuk Goldman Sachs.

7. Tetapi kami masih punya harapan. Tahun lalu, rakyat Malaysia mengambil kesempatan dalam Pilihanraya Umum yang bersejarah apabila mereka menolak keluar dengan penuh berani kerajaan yang korup dan kleptokratik untuk kali pertama dalam 61 tahun, untuk sebuah pentadbiran yang demokratik dan bersih. Wawasan kami untuk menjadi sebuah negara maju mungkin telah dihambat oleh skandal 1MDB, tetapi proses memulih dan mengembalikan kedudukan kewangan kami sungguhpun menyulitkan akan meletakkan kembali di landasan yang benar daripada segi kewangan dan ekonomi. Kerajaan baharu ini juga akan menuntut pembayaran pampasan daripada mereka yang terlibat.

8. Namun masih timbul persoalan, bagaimanakah caranya untuk kami mengatasi cabaran yang hebat untuk mengubah kembali Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah demokrasi yang biasa dan membosankan.

PERANG DAGANGAN DAN PENGORIENTASIAN SEMULA RANTAIAN BEKALAN GLOBAL

9. Tugas kami menjadi lebih sukar kerana perubahan aturan global, lebih-lebih lagidengan adanya perang dagangan dan tergendalanya rangka kerja antarabangsa secara multilateral demi unilateralisme yang mementingkan diri sendiri. Di bawah rangka kerja dagangan global terdahulu yang terbuka, fahaman konvensionaladalah untuk mengalihkan semua pembuatan ke China untuk memanfaatkan kelebihan struktur kos negara tersebut yang rendah dan ketersediaan tenaga buruh.

10. Perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat merobek fahaman itu dan menonjolkan betapa peting untuk tidak hanya bergantung kepada satu pihak. Pengajaran tentang kepentingan pempelbagaian ini akan diingat untuk sekian lama, dan ia sedang mengatur semula keseluruhan rantaian bekalan global secara tetap, yang menyebabkan peralihan seismik kepada dagangan, aliran modal dan teknologi.

11. Pelbagai syarikat hari ini mencari kawasan lindungan untuk mengelak daripada terperangkap dalam perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat. Setakat ini beberapa negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, telah mula mendapat peningkatan dalam pelaburan langsung asing hasil daripada pelencongan dagangan dan pelaburan yang disebabkan oleh perang dagangan.

12. Pelaburan asing yang diluluskan merentas semua sektor di Malaysia telah meningkat sekali ganda daripada RM25.1 bilion dalam separuh pertama 2018 kepada RM49.5 bilion sewaktu separuh pertama tahun ini. Sebahagian besar daripada pelaburan diluluskan tersebut dalam sektor pembuatan, dan US merupakan sumber terbesar pelaburan diluluskan iaitu sebanyak RM11.7 bilion, diikuti oleh China dengan RM4.8 bilion.

13. China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar, dah hakikat bahawa ia mencatat tempat kedua di belakang Amerika Syarikat menunjukkan kepentingan pelaburan Amerika Syarikat kepada Malaysia.

14. Malaysia setakat ini bernasib baik dan masih menunjukkan daya tahan di kala berlaku gelora di luar. Dalam suku kedua 2019, pertumbuhan KDNK negara memecut kepada 4.9% daripada 4.5% pada suku sebelumnya. Ini menjadikan Malaysia antara sebilangan negara dalam dunia yang mengalami pertumbuhan KDNK yang lebih besar dalam tempoh tersebut.

15. Namun demikian, saya ingin menekankan walaupun ada manfaat jangka masa pendek, dalam jangka masa panjang, tidak ada siapa yang menang dalam perang dagangan. Semua akan kalah. Jika ketegangan dagangan berterusan dan semakin keruh, jumlah kekayaan global untuk dikongsi juga akan berkurangan. Tiada jumlah pelencongan dagangan dan pelaburan akan dapat menampung kemerosotan keluaran global yang dijangka. IMF sudah pun menurunkan jangkaan KDNK 2019 mereka kepada 3.0% baru-baru ini, berbanding jangkaan awal mereka pada 3.9%. Masih ada sinar harapan apabila IMF menjangkakan pertumbuhan global akan bertambah baik kepada 3.4% tahun hadapan.

MENGINDUSTRIALISASIKAN SEMULA MALAYSIA

16. Malaysia memandang pengaturan semula secara tetap rantaian bekalan global sebagai peluang keemasan untuk menarik pelaburan baharu dan menghentikanpenyah-industrian pramatang kami. Saya percaya fahaman Negara Keusahawanan (Entrepreneurial State) memainkan peranan penting di sini. Kami mahu merancang sebuah polisi perindustrian yang tertumpu kepada usaha pengindustrian semula Malaysia, yang memerlukan intervensi secara terpilih daripada Kerajaan untuk mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik dan menstrukturkan insentif sekitar matlamat ekonomik dan sosial tertentu.

17. Konsensus politik semasa mengutamakan pasaran bebas, liberalisasi perdagangan, dan penyah-seliaan sektor kewangan. Akan tetapi, bagi sebuah negara kecil yang terbuka seperti Malaysia, tidak apa sekiranya pasaran bebas tetapi ia juga mesti adil, liberalisasi perdagangan mestilah berdasarkan aturan multilateral global yang diselia dan memelihara negara-negara kecil daripada amalan dagangan yang tidak adil, dan sektor kewangan yang dinyah-selia dalam era fintech tidak seharusnya membenarkan pelabur yang tidak bermaruah dan para spekulator wang daripada memperkayakan diri mereka sendiri dengan menghilangkan kawalan negara terhadap sistem ekonomi dan monetari masing-masing.

BELANJAWAN 2020 DAN INDUSTRI 4.0 DI MALAYSIA

18. Inilah latar belakang kepada pembentangan Belanjawan 2020 yang saya lakukan awal bulan ini. Mengapakan pendigitalan ekonomi begitu penting?

19. Berbeza dari 10-40 tahun lalu apabila pengindustrian hanya memerlukan bekalan pekerja mahir yang besar, infrastruktur fizikal yang baik, dan juga kedaulatan undang-undang secara teratur, hari ini terdapat dimensi baharu yang harus dipertimbangkan. Ianya berkenaan data dan kegunaannya.

20. Sifat industri sudah benar-benar berevolusi sejak Malaysia mengindustri pada tahun 1970an. Sebagai contoh, hari ini tidak cukup sekadar membuat televisyen, telefon atau kereta. Anda juga perlu mereka perisian bijak untuk menggunakan alat-alat tersebut untuk dapat mengambil serta dalam rantai bekalan bernilai tinggi. Agar usaha pengindustrian semula Malaysia berjaya, kita perlu menerima teknologi Industri 4.0 dengan selengkapnya.

21. Justeru, Malaysia telah menetapkan polisi kebangsaan Industri 4.0 tahun lalu, dan mengenal pasti 5 sektor untuk diutamakan daripada segi penerapan teknologi Industri 4.0. Sektor-sektor tersebut adalah E&E, peralatan dan mesin, kimia, alatan perubatan, dan aero-angkasa. Sektor-sektor ini mencakupi farmaseutikal, antara lain.

22. Secara lebih meluas, Malaysia juga sedang menaiktaraf tulang belakang digital kami dengan melaburkan RM21.6 bilion ke dalam Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dari 2019 ke 2023. Ini akan meluaskan kawasan liputan dan meningkatkan kelajuan internet jalur lebar dalam negara, dan pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan internet berkualiti tinggi pada harga mampu milik kepada rakyat Malaysia.

23. Kami perlukan sektor swasta untuk memimpin pertumbuhan ekonomi. Inilah sebab Negara Keusahawanan datang dengan perkongsian 4P yang menyeluruh antara sektor awam, sektor swasta, profesional dan rakyat untuk memaksimumkanmanfaat NFCP.

24. Apabila NFCP siap pada 2023, kami percaya tulang belakang digital Malaysia akan benar-benar bersedia untuk mengimplementasi 5G secara meluas. Ini akan memberikan Malaysia kelebihan penggerak utama dalam rantau ini untuk mengindustri semula secara lebih pantas. NFCP akan benar-benar menjadi kuasa pemboleh yang besar untuk penerimaan teknologi Industri 4.0 secara lebih meluas dan mendalam di Malaysia.

25. Tetapi kami tidak hanya menunggu selama lima tahun. Ada lagi persediaan asas yang lain yang harus dilakukan. Teknologi 5G sudah pun mula diuji di Malaysia. Langkah-langkah dalam Belanjawan 2020 pula akan membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk melakukan pendigitalan, dan membenarkan mereka untuk menjadi lebih produktif dengan menggunakan teknologi baharu.

26. Kami juga menyediakan insentif secara langsung bernilai lebih daripada RM21 bilion untuk tempoh lima tahun kepada PKS, syarikat-syarikat besar tempatan, dan juga syarikat multinasional untuk meningkatkan produktiviti ekonomi Malaysia melalui pelaburan dalam teknologi baharu.

27. Malah sejak tahu lalu, Kerajaan telah menyediakan sejumlah dana yang besar sama ada dalam bentuk jaminan pinjaman ataupun geran bernilai sekitar RM10 bilion untuk menggalakkan pendigitalan dan penerimaan teknologi IR4.0 seperti kecerdasan buatan, automasi, data raya, dan robotik dalam kalangan perniagaan-perniagaan Malaysia.

28. Tidak dilupakan jua, kami sedang menyediakan rangka kerja kawal selia untuk membenarkan penubuhan perbankan maya pada 2020 mengikut jangkaan. Ini bakal memodenkan lagi sistem perbankan kami, mengurangkan kos dan membenarkan pembangunan secara merangkum.

29. Kami perlu meneroka penggunaan peringkas perundangan (regulatory guillotine) untuk memudahcarakan pendigitalan ekonomi yang lebih pesat, terutamanya terhadap keperluan dan peraturan yang tidak diperlukan yang memakan masa, tanpa melupakan keperluan untuk mencipta Kemakmuran Bersama. Jika dilakukan dengan baik, peringkas perundangan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi daripada jumlah pekerjaan yang hilang. Pada masa yang sama, kerajaan-kerajaan juga tidak mahu kehilangan kawalan dan kami sedang mendapatkan input daripada peserta industri akan cara terbaik untuk melakukan perkara ini.

GANGGUAN DAN KEMAKMURAN BERSAMA

30. Pengenalan teknologi baharu penting memandangkan Industri 4.0 akan menyebabkan gangguan yang hebat kepada mana-mana ekonomi. Bank Dunia menjangkakan sebanyak 75 juta pekerjaan di seluruh dunia akan lenyap disebabkan automasi. Kebanyakan pekerjaan ini tidak akan diganti.

31. Malaysia juga sedang mengalami peralihan kepada era Industri 4.0 dan kami mahu menguruskan peralihan tersebut dengan baik. Inilah sebab mengapa kami telah memperkenalkan agenda Kemakmuran Bersama. Pertumbuhan ekonomi secara sendirinya tidak mencukupi. Kita juga harus pastikan hasil daripada pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi dengan baik di seluruh pelusuk masyarakat. Ketegangan sosial dan tunjuk perasaan jalanan yang berlaku di seluruh dunia sudah cukup sebagai bukti akan kepentingan Kemakmuran Bersama. Rakyat perlukan sebab untuk percaya yang mereka mempunyai taruhan yang adil dalam pertumbuhan ekonomi kebangsaan.

32. Dalam Belanjawan 2020, kami mempunyai program pekerjaan baharu yang besar yang dipanggil #MalaysiaKerja, yang menyasarkan perbelanjaan RM6.5 bilion untuk tempoh lima tahun untuk menciptakan 350,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun untuk belia, graduan menganggur dan wanita, pada masa yang sama melatih semula atau menaik taraf kemahiran pekerja dengan latihan teknikal dan vokasional (TVET). #MalaysiaKerja menggunakan pendekatan serampang dua mata yang meningkatkan insentif untuk rakyat Malaysia bekerja dan mengurangkan kos pengambilan pekerja untuk majikan yang menggajikan rakyat Malaysia.

PEMBAYARAN DIGITAL DAN JURANGDIGITAL: KETERSEDIAAN, KETERCAPAIAN, DAN KEMAMPUAN

33. Kemakmuran Bersama harus mengambil berat kemajuan yang telah dilakukan pembayaran digital dan juga mata wang digital, dan juga jurang digital yang ia ciptakan. Halangan kepada akses mestilah direndahkan untuk menjadikan proses pendigitalan kita menjadi lebih inklusif. Suka saya tekankan bahawa ia berkenaan dengan ketersediaan, ketercapaian, dan kemampuan.

34. Untuk merapatkan jurang, Malaysia menggunakan kaedah inovatif untuk mempercepatkan pendigitalan pembayaran dalam negara sebagai langkah pertama menuju ke masyarakat nirtunai. Malaysia akan menyediakan rangsangan digital bernilai sebanyak RM450 juta kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan bahawa tahap pendapatan tertentu pada Januari dan Februari 2020. Program ini berfungsi menerusi perpindahan wang secara elektronik secara sekali kepada rakyat Malaysia menerusi e-dompet mereka.

35. Pendekatan pelbagai hala penting untuk menjadikan pembayaran dan mata wang digital adil dan diyakini. Kita tidak boleh benarkan ruang digital didominasi beberapa pemain-pemain besar, sedangkan kepentingan mereka mungkin tidak sejajar dengan kepentingan awam. Sebarang perkembangan ekonomi digital tidak boleh menyebabkan kehilangan kuasa kawalan negara.

36. Minggu lalu, saya mempengerusikan sebuah mesyuarat bersempena MesyuaratTahunan 2019 Bank Dunia-IMF di Washington DC, dan sebuah negara kecil di kepulauan Pasifik menyatakan keresahan mereka tentang kesan pembayaran digital terhadap kestabilan kewangan negara dan kawalan mereka ke atas polisi monetari. Pembayaran digital membiayai transaksi tempatan, tanpa memerlukan wang yang berkenaan melalui ekonomi domestik.

37. Ini bermaksud hasil negara sedang dibawa keluar daripada ekonomi tempatan tanpa memanfaatkan penduduk tempatan. Apa yang lebih merisaukan ialah kerajaan yang bertanggungjawab untuk menyelenggara pelbagai infrastruktur awam, baik pelabuhan, jalan raya, dan kemudahan awam termasuk rangkaian gentian optik yang membenarkan transaksi atas talian itu dilakukan pada mulanya – tidak dapat menerima hasil percukaian yang diperlukan untuk mengekalkan masyarakat yang sihat.

38. Malaysia cukup besar untuk menghadapi masalah ini dengan baik setakat ini, tetapi akan tiba masa untuk negara-negara bekerjasama di peringkat global untuk memastikan ekonomi digital bekerja untuk rakyat, dan bukan sahaja untuk beberapa syarikat multinasional. Di penghujung hari, kita mesti menasihatkan diri sendiri bahawa ekonomi ini adalah untuk para individu dan masyarakat, dan ruang digital ini hanya alat untuk menambah baik kehidupan kita.

 

KESIMPULAN

Perjalanan masih jauh tetapi saya percaya Malaysia sedang menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam mendigitalkan ekonomi kami dan memungkinkan penerimaan teknologi Industri 4.0, dan pada masa yang sama mengurangkan jurang digital. Untuk menutup jurang tersebut, ekonomi digital harus menuruti prinsip 3A: ketersediaan (Availability), ketercapaian (Accessibilty), dan kemampuan (Affordability) sumber-sumber ini. Inilah satu-satunya cara untuk memastikan ekonomi digital bersifat inklusif dan menambah baik mata pencarian kita bersama. Marilah kita menyediakan orang muda untuk masa hadapan, pada masa yang sama kita menyediakan masa hadapan untuk orang muda.

Terima kasih.