wrapper

Topik Popular

 

UCAPAN PERASMIAN
OLEH YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
MAJLIS PERASMIAN
SEMINAR PERCUKAIAN KEBANGSAAN 2019

 

MANHATTAN BALLROOM
HOTEL BERJAYA TIMES SQUARE
KUALA LUMPUR


15 OKTOBER 2019


 

Terima kasih saudara/saudari Pengerusi Majlis.

Selamat Pagi dan Salam Harapan kepada semua.

Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Yang Berusaha Tuan Haji Adenan Che Semail
Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Merangkap Penasihat Jawatankuasa Pelaksana Cawangan Seminar Percukaian Kebangsaan 2019

Anggota Lembaga
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM

Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin

Para Pengerusi, Penceramah dan Ahli Panel Seminar Percukaian Kebangsaan 2019

Presiden Badan-Badan Profesional

Pegawai-pegawai daripada Kementerian Kewangan Dan Jabatan Audit Negara

Wakil-wakil media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan para peserta seminar yang dihormati sekalian

PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) atas komitmen yang diberikan dalam menganjurkan Seminar Percukaian Kebangsaan 2019.

2. Seminar Percukaian Kebangsaan atau SPK ini adalah inisiatif LHDNM menyampaikan maklumat percukaian secara terperinci yang berkait cadangan belanjawan serta pindaan melibatkan Akta-Akta Percukaian.

3. Kita bersyukur Belanjawan 2020 iaitu belanjawan kali kedua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan bertemakan“Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”telah berjaya dibentangkan pada Jumaat yang lalu.

ISU-ISU NASIONAL DAN IMBASAN SEMULA BAJET 2019

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Menerusi belanjawan kali pertama tahun lalu, pihak Kerajaan telah melakukan konsolidasi fiskal dengan menyemak semula defisit fiskal sebagai peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi meningkatkan daya saing dan kesejahteraan rakyat.

5. Pada tahun 2018, Kerajaan telah mencatatkan defisit fiskal sebanyak 3.7% dan berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran defisit 3.4% pada tahun 2019.

6. Semasa pembentangan Belanjawan tahun lalu, Kerajaan telah mengumumkan sasaran defisit 3% untuk tahun 2020. Walau bagaimanapun, berikutan peningkatan risiko kelembapan ekonomi dunia dan perbelanjaan luar jangka untuk menyelamatkan institusi bermasalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu memerlukan langkah tindakan fiskal awal. Demi memastikan ekonomi terus bertumbuh, Kerajaan kini menyasarkan defisit sebanyak 3.2% pada tahun 2020. Kerajaan menjangkakan defisit fiskal akan menguncup secara purata kepada 2.8% KDNK dalam jangka masa sederhana.

7. Antara beberapa tindakan proaktif yang memaparkan ketelusan atautransparencypihak Kerajaan adalah:

  1. Pertama: Pelaksanaan perakaunan akruan dan bukannya perakaunan tunai bagi memberi gambaran yang sebenar dan saksama berkenaan penyata kewangan pihak kerajaan terdahulu.
  2. Kedua:Mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Awam atau Public Finance Committee (PFC) bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaansecara berhemah. Ketelusan jawatankuasa ini memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa pihak kerajaan tidak sewenang-wenangnya meminjam atau menggunakan wang rakyat secara suka hati, tetapi meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara pokok dalam segala keputusan yang diambil.
  3. Ketiga:Memperkenalkan semula Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST).
  4. Keempat: Pihak kerajaan juga turut memperuntukkan perbelanjaan luar biasa RM19.4 bilion bagi membayar balik GST dan RM18.436 bilion bagi cukai pendapatan kepada rakyat. Sehingga 30 September 2019, sejumlah RM13.6 bilion telah pun dibayar balik kepada pembayar cukai. Bagi mereka yang telah menerima bayaran balik ini, kita berharap rakyat menghargai tindakan kerajaan dan sedar bahawa kerajaan hari ini bukan hanya bercakap kosong tetapi bercakap benar dan melaksanakan apa yang dijanjikan. Tindakan ini adalah akauntabiliti pihak kerajaan memulangkan semula wang rakyatnya dengan segera.
  5. Kelima: Selain Jawatankuasa Kewangan Awam, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (Tax Reform Committee atau TRC) juga ditubuhkan bagi membantu kerajaan, merapatkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan percukaian agar kutipan hasil selari pertumbuhan ekonomi. TRC juga melihat kembali insentif-insentif cukai yang diberikan selama ini sehingga menyebabkan kehilangan cukai kepada negara terutamanya dalam kalangan syarikat besar yang beroperasi untuk mengambil kesempatan daripada insentif dan mendapat pelepasan cukai.

LHDNM DAN PROGRAM KHAS PENGAKUAN SUKARELA

Para Hadirin sekalian,

8.Dalam Belanjawan 2019 yang lalu, Kementerian Kewangan Malaysiatelah mengarahkan LHDNM melaksanakan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

9. PKPS ini telah bermula pada 3 November 2018 dan telah berakhir 30 September yang lalu dengan menawarkan penyelesaian kepada pembayar cukai yang mempunyai masalah pematuhan cukai untuk melapor pendapatan sebenar mereka, terutamanya mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara.

10. PKPS merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia dalam menyejahterakan rakyat menerusi percukaian, iaitu memberi peluang kepada mereka untuk tampil membuat pengisytiharan dengan pengurangan penalti dari 300% ke 10% dan 15% sahaja sepanjang tempoh PKPS berlangsung.

BELANJAWAN 2020 DAN CABARAN GLOBAL

Hadirin yang dihormati sekalian,

11. Kedudukan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 4.9% pada suku kedua 2019 berbanding4.5% di suku sebelumnya. Ini menunjukkan daya tahan negara kita yang berdepan cabaran ekonomi dunia dapat ditangani secara bijaksana oleh pihak kerajaan.

12. Walaupun kadar KDNK setinggi 4.9% ini mengatasi konsensus pasaran serendah 4.7% seperti yang dikumpulkan Bloomberg, hakikatnya Belanjawan 2020 ini menjadi tugasan paling mencabar bagi pihak Kerajaan Pakatan Harapan.

13. Sungguhpun begitu, Kerajaan komited dalam terus menyejahterakanrakyat. Bagi maksud tersebut, Kerajaan telah melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

14. Program #MalaysiaKerja dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130,000 orang pekerja asing dengan melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

15. #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.Kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentiftamat melebihi 90 peratus, serta membina modal insan daripada kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh.

16. Apabila kita melihat kepada hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2020, ia dijangka berada pada angka RM244.5 bilion

17. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding RM233.3 bilion pada tahun 2019 tanpa mengambil kira dividen PETRONAS secara one-off sebanyak RM30 bilion bagi bayaran balik GST dan cukai pendapatan tertunggak.

18. Hasil cukai kekal sebagai penyumbang utama hasil Kerajaan pada tahun hadapan dengan jumlah kutipan RM189.9 bilion atau 77.7% daripada jumlah hasil. Jumlah ini mewakili 11.8% daripada KDNK.Manakala sasaran kutipan cukai langsung yang perlu dikutip oleh LHDNM bagi tahun 2020 adalah berjumlah RM154.676 bilion.

19. Oleh itu, bagi memastikan sumber hasil Kerajaan terus terpelihara bagi tujuan merealisasikan teras-teras yang digariskan di bawah Belanjawan 2020 ini, Kerajaan akan memperluas asas hasil, mengurangkan jurang cukai dan meningkatkan kecekapan cukai bagi memastikan kutipan hasil yang mampan.

20. Matlamat ini akan dicapai antara lain dengan merasionalisasi insentif cukai, mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan cukai melalui pengauditan yang berkesan.

21. Antara polisi menangani isu-isu demikian telah pun diumumkan dalam Belanjawan 2020. Sebagai contoh, selaras dengan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama, Kerajaan telah mengumumkan banjaran cukai baharu bagi kategori pembayar cukai yang mempunyai pendapatan bercukai melebihi RM2 juta. Ini bertujuan untuk mendokong prinsip cukai progresif, di mana kumpulan yang mempunyai pendapatan yang tinggi, sewajarnya membayar cukai yang lebih tinggi.

22. Pada masa yang sama, untuk meningkatkan kutipan cukai dan memperluaskan asas cukai, Kerajaan akan memperkenalkan Nombor Pengenalan Cukai atau Tax Identification Number (TIN) kepada semua perniagaan atau individu yang mencecah usia 18 tahun serta mempunyai hasil pendapatan bermula 2021.

23. Bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lancar, sesi libat urus akan diadakan dengan pihak berkepentingan pada tahun hadapan. Antara objektif pelaksanaan inisiatif ini adalah untuk memastikan tidak ada pembayar cukai yang gagal melaksanakan tanggungjawab percukaian masing-masing, selain memberi keadilan kepada pembayar cukai yang sekian lama menjalankan tanggungjawab mereka membayar cukai yang sepatutnya.

24. Selain memantau aktiviti ekonomi yang sedia ada dalam jaringan data LHDNM, Kerajaan juga serius dalam menangani isu ekonomi bayangan atau shadow economy. Kajian menunjukkan saiz shadow economy Malaysia adalah sekitar 21% daripada KDNK negara, iaitu satu angka yang cukup besar.

25. Oleh itu, Kerajaan mengarahkan LHDNM untuk terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efektif dan efisien, serta meningkatkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan mengikut ruang lingkup perundangan yang ada selain meningkatkan kompetensi warga kerja LHDNM.

26. LHDNM perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi Big Data yang ada dalam mengesan pembayar cukai culas ini yang masih tidak berada dalam jaringan percukaian negara.

27. Saya pasti kewujudan Pelan Transformasi Hasil (TH) LHDNM akan memantapkan sistem percukaian LHDNM khususnya dalam meningkatkan pematuhan cukai, menutup kebocoran dan ketirisan hasil, seterusnya meningkatkan kutipan hasil negara.

28. TH juga menekankan pemodenan infrastruktur yang mampu meningkatkan keupayaan ICT dan keselamatan siber. Selain itu, keupayaan analitik data juga dapat dioptimumkan dengan membolehkan penyaluran dan penyimpanan data menggunakan teknologi cloud yang lebih menjimatkan kos.

29. Pelaksanaan TH mampu memberi manfaat kepada 3 pihak berkepentingan iaitu:

  1. Pertama: Manfaat kepada negara kerana TH mampu meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap sistem percukaian yang adil, cekap dan telus.
  2. Kedua: Manfaat kepada LHDNM kerana TH mampu mewujudkan budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan warga Hasil (Hasil High Performing Culture) sebagai asas kecemerlangan penyampaian perkhidmatan percukaian di negara ini.
  3. Ketiga: Manfaat kepada orang awam berdasarkan misi utama LHDNM iaitu memberikan perkhidmatan yang berorientasikan 11 pelanggan (customer centric). Platform khidmat pelanggan dalam talian yang dikenali sebagai MyTax berfungsi sebagai pusat sehenti dalam talian beroperasi secara masa nyata (real time) bagi semua urusan percukaian.

30. Sungguhpun penguatkuasaan itu perlu bagi tujuan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem percukaian negara, namun LHDNM perlu sentiasa memaparkan imej mesra pelanggan dan profesional dalam semua urusan melibatkan rakyat. Dengan erti kata lain, LHDNM perlu tegas tapi mesra.

31. Sedia maklum, Malaysia adalah ahli dalam Global Forum OECD. Dan yang terkini, LHDNM bersama-sama tiga buah negara yang lain telah menerima undangan OECD untuk menyertai Advisory Group on BEPS Implementation and Impacts, iaitu satu kumpulan penasihat berkaitan pelaksanaan dan implikasi BEPS. Ini merupakan satu penghormatan buat negara kita Malaysia, khususnya LHDNM kerana peranan dan penglibatan kita di persada percukaian antarabangsa mendapat perhatian pihak-pihak yang berkenaan.

32. Sebagai makluman, the OECD Inclusive Framework on BEPS telah membentangkan rangka kerja pelaksanaan atau Programme of Work, pencukaian aktiviti ekonomi digital kepada kumpulan Menteri Kewangan G20 pada Jun 2019 yang lepas.

33. Lanjutan daripada programme of work (PoW) yang telah diluluskan oleh Menteri Kewangan G20 tersebut, OECDstatutory bodies atau working partysedang giat meneliti semua cadangan yangdikemukakan melalui PoW berkenaan, bagi melihat keboleh-laksanaannya oleh semua negara, dan bukan hanya memberi 12 manfaat kepada negara maju, membangun atau sebagainya. Satu keputusan berkenaan perkara ini dijangka akan dapat dicapai menjelang penghujung 2020.

34. Bagi menunjukkan komitmen dan dalam usaha mencapai timeline yang ditetapkan oleh G20, pada 09 Oktober 2019 yang lepas, pihak sekretariat OECD telah mengeluarkan dokumen konsultasi awam (public consultation document) berkenaan kaedah pencukaian yang dicadangkan di bawah PoW tersebut

PENUTUP

Hadirin sekalian,

35. Adalah jelas, kemakmuran sesebuah negara tidak hanya boleh diukur berdasarkan kerancakan angka KDNK sahaja, atau pencapaian status ekonomi berpendapatan tinggi, tetapi pertumbuhan ekonomi perlu seiring dengan peningkatan mutu hidup rakyat yang dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Sekian, terima kasih.

36. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada LHDNM atas penganjuran seminar percukaian kebangsaan ini. Semoga LHDNM dan semua pengamal percukaiandapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik, penuh integriti demi kesejahteraan negara, demi kemakmuran bersama. Sayangi Malaysiaku. Malaysia Bersih.

Sekian, terima kasih.

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia
15 Oktober 2019