wrapper

Topik Popular

 

TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

 

PADA 4 OKTOBER 2019 (JUMAAT)
JAM 8.30 PAGI


DEWAN UTAMA,BLOK TENGAH,
KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN,PUTRAJAYA


 

YBHG.TAN SRI AHMAD BADRI BIN MOHD ZAHIR
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBHG.DATUK SITI ZAUYAH BINTI MD DESA
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar)

YBHG.DATO’ ASRI BIN HAMIDON
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan)

YBHG.DATO’ OTHMAN BIN SEMAIL
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan)

Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi

YBhg.Tan Sri/Datuk/Dato’/Tuan/Puan yang saya hormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Harapan dan Salam Sayangi Malaysiaku,

MUKADIMAH

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada warga Kementerian Kewangan yang dapat meluangkan masa untuk hadir dalam perhimpunan berkala ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kita dan menginsafi hala tuju dan dasar Kerajaan,ke arah mencapai wawasan Kemakmuran Bersama.

2. Suka saya meneruskan ucapan saya padahari ini dengan berkongsi sebuah pantun;

Dalam Bakul Semangkuk Pengat,
Elok Letak Di Atas Dulang,
Kita Berhimpun Membawa Semangat,
Warga MOF Insan Cemerlang.

BELANJAWAN 2020

3. Kita semua sedia maklum bahawa Pembentangan Belanjawan 2020 akan diadakan pada 11 Oktober 2019 (Jumaat ), jam 4.00 petang di Parlimen, Malaysia. Tahun ini kita telah menambah baik proses sumbangan saranan dan pandangan untuk memberikan peluang kepada orang awam untuk sama-sama memberi pandangan dan menyumbangkan idea untuk memperkasakan lagi Belanjawan 2020.

4. Ini telah dilakukan secara serampang dua mata, di mana MOF telah mengadakan 12 siri mesyuarat kumpulan fokus Belanjawan 2020, dan juga platform atas talian menerusi laman web khas Belanjawan 2020 dan media sosial yang dibuka dari 9 Ogos 2019 hingga 6 Oktober 2019.

5. Pandangan daripada masyarakat amat penting dalam memastikan pihak Kerajaan, dan khususnya MOF, menyedari isu-isu dan cabaran yang dihadapi orang ramai hari ini, di samping memberi ruang untuk MOF menjelaskan pembaharuan dan penambahbaikan usaha yang telah dilakukan untuk meningkatkan kemakmuran negara. Kesemua pandangan tersebut telah dikumpul dan dinilai secara terperinci oleh Pasukan Belanjawan.

6. Saya ingin menyatakan penghargaan saya atas usaha Pasukan Belanjawan 2020 yang telah bersengkang mata saban hari untuk membuat persediaan Belanjawan 2020.Tugas anda untuk membantu Malaysia capai wawasan Kemakmuran Bersama, seperti yang telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bukanlah perkara yang mudah, tetapi ia sangatlah penting bagi memastikan hasil kemajuan ekonomi negara dapat dirasai keseluruhan rakyat Malaysia.

Warga MOF yang saya kasihi sekalian,

KE ARAH PERKEMBANGAN EKONOMI MAMPAN

7. Pengutamaan pertumbuhan ekonomi mampan dapat memastikan kejayaan mencapai sasaran kemakmuran bersama. Sehingga kini, ekonomi Malaysia masih lagi berkembang secara sihat meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi sedunia.

8.Kerajaan positif tentang prospek perkembangan ekonomi yang mampan untuk separuh tahun kedua. Seperti yang kita sedia maklum,ekonomi Malaysia terus berkembang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2019 menunjukkan pertumbuhan pada kadar 4.9% ( 1Q 2019 : 4.5% ). Pertumbuhan KDNK setinggi 4.9% ini mengatasi konsensus pasaran serendah 4.7% seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg. Pada masa yang sama, Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang sebanyak 4.6% untuk 2019. Kerajaan akan terus mengutamakan perkembangan ekonomi demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi iaitu kemakmuran bersama

9. Harus ditekankan bahawa Kerajaan komited untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT),ekoran masalah kewangan yang diwarisi. Perlu ditegaskan Kerajaan dibebankan dengan kemelut kewangan dan penyelewengan yang membabitkan RM150 bilion, ataupun bernilai hampir RM5,000 bagi setiap rakyat Malaysia.Saya ingin berterima kasih kepada warga MOF atas kerjasama dan kesetiaan yang telah diberikan dalam menjalankan tugas tanggungjawab. Bak kata pepatah, “Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”.Mari kita menunjukkan idea, idealisme, inovasi, reformasi, institusi dan integriti dalam perjalanan kerja kita.

10. Berkenaan aspek ini, Kementerian telah membuat suatu dasar yang diharapkan akan mengadakan reformasi pentadbiran dengan membenarkan sebarang penjimatan oleh kementerian dan agensi untuk disalurkan kembali kepada mereka untuk kegunaan masing-masing. Saya juga ingin menyatakan bahawa Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA) dan Anugerah Kreativiti dan Inovasi (CIA) setinggi maksima RM30,000 masing-masing,akan diberikan kepada anggota pentadbiran yang telah mendedahkan salahlaku/penyelewengan,ataupun memperkenalkan kaedah kreatif dan inovatif yang dapat memberi penjimatan kewangan.

11. Status penilaian bagi kedua-dua anugerah ini kini di peringkat terakhir, setelah menerima penyertaan dan kertas cadangan daripada warga MOF. Kedua-dua anugerah ini dinilai dan dievalusi oleh jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sendiri.Pemenang kedua-dua anugerah ini akan diumumkan dalam sebuah majlis pemberian anugerah yang dijangka akan diadakan dalam bulan November.

MAJLIS PERASMIAN PORTAL MLA 3.0, APLIKASI MUDAH ALIH CEP DAN TREASURY ACTIVE LEARNING CENTRE (T.A.L.C.)

12. Sebentar lagi, saya akan merasmikan Portal MLA 3.0, Aplikasi Mudah Alih CEP dan Treasury Active Learning Centre (T.A.L.C.). Untuk makluman semua “Master Licensing Agreement" (MLA) merupakan inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia dengan usaha sama Prestariang dan Microsoft.

13. MLA adalah kontrak perolehan perisian Microsoft berpusat yang mana Prestariang Systems Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai pembekal tunggal untuk semua jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri. Value Added Services (VAS) pula merupakan program nilai tambah yang ditawarkan kepada pelanggan MLA, antaranya ialah Pusat Kecemerlangan, Portal MLA dalam talian dan aplikasi mudah alih. Ketiga-ketiga komponen ini bernilai sebanyak RM1.1 juta, di mana T.A.L.C bernilai sebanyak RM650 ribu, manakala nilai penyelenggaraan dan pelaksanaan portal dan aplikasi tersebut adalah RM450 ribu sepanjang tempoh kontrak berlangsung.

14. Dalam pada itu, Pusat Kecemerlangan (T.A.L.C.) merupakan sebuah makmal yang dilengkapi dengan prasarana abad 21 serta teknologi Microsoft terkini bagi menyokong aspirasi ke arah Kerajaan Digital. Manakala Portal MLA berserta Aplikasi Mudah Alih CEP merupakan salah satu cara inisiatif pelanggan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut tentang MLA serta membuat penebusan CEP secara atas talian.

15. Penubuhan Pusat Kecemerlangan (T.A.L.C) ini membenarkan warga MOF untuk mempelajari dan mengalami secara langsung teknologi ruang pekerjaan dan komunikasi terkini secara fleksibel,ke arah meningkatkan tahap produktiviti warga MOF.

PENUTUP

16. Akhir kata, saya sekali lagi menyeru supaya warga Perbendaharaan mempertingkatkan azam dari semasa ke semasa dan menanamkan tekad bagi meningkatkan lagi momentum dalam menggalas tugas dan amanah yang dipertanggungjawab demi mencapai visi, misi dan objektif kementerian. Saya amat yakin dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tinggi, kita berupaya mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun hadapan.

Sekian, terima kasih.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 Oktober 2019