wrapper

Topik Popular

Ucapan

YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

insigHT2019
MEDICAL TRAVEL MARKET INTELLIGENCE CONFERENCE

MALAYSIA HEALTHCARE TRAVEL COUNCIL

24 SEPTEMBER 2019
FOUR SEASONS KUALA LUMPUR


 

Yang Berhormat Dato’ Haji Amiruddin Haji Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan

Yang Berhormat Dr. Lee Boon Chye
Timbalan Menteri Kesihatan

Yang Berbahagia Ms. Sherene Azli
CEO Malaysia Healthcare Travel Council

Yang Berbahagia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan

Yang Berbahagia Datuk Dr. Kuljit Singh
Presiden Association of Private Hospitals of Malaysia

Yang Berusaha En. Ahmad Taufek Omar
Naib Presiden Eksekutif dan Pegawai Ketua Eksekutif, TM One

Selamat pagi dan Salam Harapan,

 

PENGENALAN

1. Saya berbesar hati untuk berdiri di sini dan berkongsi tentang bagaimana kita dapat membawa industri Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, secara satu per satu. Industri pelancongan kesihatan telah berkembang dengan pesatnya sejak 10 tahun yang lalu.

2. Persidangan insigHT pada tahun ini adalah bertemakan kepada “Differentiation for Excellence,” yang menekankan usaha untuk membekalkan produk dan perkhidmatan yang sedia ada secara lebih kreatif. Pelancongan kesihatan adalah popular di seluruh dunia, terutamanya di kalangan negara yang menawar value proposition yang menarik.

3. Reputasi sistem kesihatan Malaysia sebagai sistem yang berkualiti dan selamat adalah faktor utama yang membezakan kita daripada pesaing-pesaing yang lain. Sebagai mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, saya memahami kelebihan ini. Negeri tersebut telah berjaya mewujudkan hab rawatan berasaskan kepada keyakinan pelanggan dan pemberian perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

4. Sepanjang 5 tahun yang lepas, industri pelancongan kesihatan secara purata telah tumbuh antara 10%-12% setahun.

5. Asia Pasifik merupakan pemain industri utama dunia, di mana rantau ini menguasai 25% daripada nilai pasaran dunia. Nilai pasaran rantau Asia Pasifik dianggarkan berjumlah sekitar USD4 bilion berdasarkan kepada maklumat yang diterbitkan oleh International Medical Travel Journal (IMTJ) dan ia diunjurkan untuk berkembang kepada USD9.5 bilion pada tahun 2022.

6. Industri pelancongan kesihatan telah tumbuh lebih pesat berbanding kadar pertumbuhan dunia dan untuk rantau ini. Dari segi pendapatan, kadar pertumbuhan tahunan dalam tempoh 2015-2018 adalah 17% secara purata. Dalam tahun 2018, industri tersebut telah menjana RM1.5 bilion pendapatan yang disumbangkan oleh 1.2 juta pelancong kesihatan.

7. Kegiatan ekonomi merangkumi perbelanjaan untuk pengangkutan, penginapan dan aktiviti pelancongan. Sebagai sebuah subsektor, pelancongan kesihatan menyumbang sebanyak 7.6% daripada pendapatan pelancongan dan ia dijangka akan tumbuh dengan lebih pesat.

8. Rancangan Malaysia ke-10 dan ke-11 telah menyasarkan subsektor ini untuk berkembang setinggi 25% dengan RM1.8 bilion pendapatan hospital serta impak ekonomi setinggi RM8 bilion pada tahun 2019.

9. Sektor kesihatan swasta yang telah menerima pelbagai insentif seperti elaun cukai pelaburan telah mewujudkan sebanyak 15,000 pekerjaan setakat ini. Pada masa yang sama, jumlah katil untuk sektor swasta juga telah meningkat kepada 15,000 unit di seluruh negara.

10. Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan telah mengumunkan pemberian geran padanan bernilai RM100 juta untuk aktiviti pemasaran antarabangsa dan program promosi. Malaysia Health Tourism Council pula telah diperuntukkan RM20 juta untuk membantu Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan sektor ini, serta bekerjasama dengan hospital swasta untuk menjenamakan Malaysia sebagai sebuah destinasi terunggul bagi pelancongan kesihatan.

11. Sektor pelancongan kesihatan akan menggalakkan penyediaan peralatan dan perkhidmatan yang lebih baik. Pengembangan industri ini akan membawa kepada economies of scale dari segi penggunaan teknologi untuk rakyat Malaysia, sambil memberikan rawatan untuk pesakit-pesakit antarabangsa. Di sini, saya ingin menekankan betapa pentingnya faktor keselamatan pesakit, clinical-based outcomes, pembangunan pusat kecemerlangan yang berterusan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan, serta pengenalan rawatan perintis yang inovatif.

12. Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 yang berlangsung bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Program ini akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan pada harga berpatutan. Ia juga akan membantu memenuhi wawasan Kemakmuran Bersama yang diperkenalkan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

13. Kementerian Kewangan akan terus menyokong industri ini melalui insentif cukai dan mewujudkan rangka kerja pembangunan perniagaan yang membolehkan pelancongan kesihatan berkembang dengan mampan. Turut diumumkan tahun lalu, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan pada pesakit di pusat kesihatan swasta, berbanding caj 6% bawah GST.

14. Komitmen pihak Kerajaan ini telah menarik hampir RM10 bilion pelaburan swasta dalam tahun 2019, di mana lebih daripada RM1 bilion adalah pelaburan asing dan lebih daripada RM8 bilion adalah pelaburan domestik.

15. Antara pelaburan baharu tersebut adalah Medical City Pulau Pinang yang melibatkan pelaburan RM2 bilion untuk membina hospital swasta yang terbesar di Malaysia dengan 1,000 katil, serta penubuhan sebuah hospital swasta milikan asing.

16. Melalui kerjasama awam-swasta yang sebenar, kita akan berganding bahu untuk membina kekuatan bersama dan memastikan supaya semua pihak dapat memanfaatkan segala pelaburan mereka. Kami ingin hendak menekankan bahawa kerajaan ini komited untuk membuat keputusan secara pantas. Kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama untuk meluluskan pelaburan, yang dipengerusikan secara bersama oleh saya, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Datuk Darell Leiking. Jika sebelum ini, pelaburan dari luar dan tempatan memerlukan antara 6-9 bulan untuk mendapatkan kelulusan akhir, ini akan diluluskan secara bulanan.

17. Bagi membuktikan komitmen Kerajaan terhadap pertumbuhan industri pelancongan kesihatan, kita akan mentauliahkan hospital swasta Malaysia yang berkelayakan sebagai hospital perdana (flagship hospital) untuk pelancongan kesihatan. Kita telah pun mengenal pasti beberapa hospital untuk dimasukkan dalam senarai Malaysian Flagship Medical Tourism Hospital. Hospital-hospital tersebut adalah:

a) Institut Jantung Negara

b) Sunway Medical Centre

c) Thomson Hospital Kota Damansara

d) Ramsay Sime Darby Subang Jaya Medical Centre

e) Prince Court Medical Centre

f) Mahkota Medical Centre

g) Island Hospital

h) Gleneagles Penang

i) KPJ Ampang Puteri


18. Kerajaan Malaysia akan terus menyokong hospital-hospital yang berkelayakan untuk berkembang merentasi sempadan.

19. Dengan ini, saya melancarkan persidangan insigHT2019. Saya berharap supaya semua para hadirin akan menerima manfaat daripada persidangan ini.

Sekian, terima kasih.