wrapper

Topik Popular

KATA-KATA ALUAN
YB MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
SEMPENA
SESI FOCUS GROUP: MEMPROMOSI PELANCONGAN DAN
BIDANG-BIDANG STRATEGIK YANG LAIN DI SABAH
17 SEPTEMBER 2019 (SELASA)
DI HOTEL SHANGRI-LA TANJUNG ARU, KOTA KINABALU, SABAH



Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Bin Haji Apdal,
Ketua Menteri Sabah

Yang Berbahagia Datuk Dr. Mohd Yaakub Haji Johari
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) 

Yang Berusaha Tuan Mohd Yunus bin Charlie Charington,
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah Perbendaharaan Malaysia Sabah

Dif – dif kehormat 

Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Baharu,


PENGENALAN 

1. Untuk julung kalinya, di bawah pimpinan saya sebagai Menteri Kewangan kita menganjurkan sesi-sesi Focus Group untuk menerima cadangan dan pandangan daripada pihak industri dan orang awam bagi penyediaan Belanjawan Tahunan. Sesi ini adalah sesi yang ke-dua belas setakat ini. Input yang diterima pada hari ini akan menjadi panduan kepada penyediaan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan terhadap Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan SEDIA yang telah berusaha gigih untuk menjayakan sesi Focus Group ini. Di samping sesi Focus Group, Kementerian Kewangan juga telah menyediakan portal di laman sesawang iaitu Portal Belanjawan 2020 untuk menerima pandangan dan cadangan daripada semua rakyat Malaysia. Saya mengalu-alukan para hadirin untuk menyebarkan kepada rakan-rakan anda yang tidak dapat hadir pada hari ini untuk memberikan pandangan melalui saluran tersebut.

3. Perubahan pendekatan yang dilaksanakan ini agar bertujuan supaya Belanjawan Tahunan Negara menjadi lebih kolaboratif dan inklusif agar kita dapat mengecapi Kemakmuran Bersama menuju Tahun 2020. Ini selaras dengan agenda “Kemakmuran Bersama” yang telah ditekankan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed. Aspirasi tersebut adalah supaya semua rakyat Malaysia dapat bersama menikmati taraf hidup yang lebih baik dan selesa melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif menjelang tahun 2030.

4. Tema untuk perbincangan hari ini adalah mengenai promosi sektor pelancongan dan sektor strategik yang lain di Negeri Sabah.

Sektor Pelancongan

5. Secara keseluruhannya, sektor pelancongan telah menyumbang sebanyak 15% kepada ekonomi negara dengan nilai sebanyak RM84 bilion pada tahun 2018, berbanding RM82.2 bilion pada tahun 2017. Mengikut perangkaan Tourism Malaysia, ketibaan pelancong bagi tahun 2018 berjumlah 25.8 juta dan bagi separuh tahun pertama 2019 telahpun mencecah 13.3 juta pelancong. Di negeri Sabah sahaja, dianggarkan seramai 155,000 (DOSM, 2016) bekerja di sektor pelancongan. Malahan, Kota Kinabalu sentiasa dianugerahkan sebagai destinasi yang paling menarik di dunia sebagai destinasi persaraan oleh agensi antarabangsa (SEDIA, 2019). Saya mengucapkan syabas kepada YAB Ketua Menteri Sabah atas usaha tersebut.

6. Bagi menyokong usaha negeri mempergiatkan aktiviti pelancongan, dalam Belanjawan 2019, Kerajaan telah bersetuju untuk menyumbang balik kepada Kerajaan Negeri 50% daripada kutipan cukai pelancongan di negeri masing-masing. Sehingga Mac 2019, daripada RM67.7 juta yang diagihkan kepada semua Kerajaan Negeri, Negeri Sabah yang menerima jumlah yang tertinggi iaitu RM12.7 juta. Perkongsian hasil ini akan diteruskan dengan tujuan menyumbang kepada penyelenggaraan kemudahan pelancongan.

7. Melalui Belanjawan 2019, Kerajaan juga telah melancarkan Tabung Khas Pelancongan sebanyak RM500 juta. Pinjaman yang dikendalikan oleh Bank Perusahaan Kecil Dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) ini boleh digunakan untuk projek-projek pelancongan yang dipromosikan oleh kerajaan, menaik taraf bangunan bersejarah, pembinaan resort dan menyediakan produk berasaskan pelancongan. Bagi memanfaatkan lagi pengusaha pelancongan, terutamanya di Sabah, skop tabung tersebut telah diperluaskan untuk merangkumi pembiayaan bagi pengusaha kraftangan dan inap desa (homestay).

8. Di samping itu, Kerajaan juga telah menyediakan dana Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion. Tabung ini dikendalikan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di mana Kerajaan memberi subsidi faedah 2 peratus dan dengan itu, membolehkan pinjaman pada kadar faedah rendah iaitu di antara empat hingga lima perpuluhan lima peratus dan Kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan berusaha untuk merendahkan kadar faedah lagi. Tabung ini disediakan bagi menyokong usahawan industri pelancongan yang membangunkan infrastruktur pelancongan terutamanya hotel, taman tema dan pusat konvensyen.

9. Tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia dan Kerajaan telah mensasarkan peningkatan ketibaan pelancong ke tahap 30 juta. Saya pasti Negeri Sabah akan menyumbang kepada pencapaian pertumbuhan pelancongan tersebut. Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan peruntukan tambahan untuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan berharap agar para peniaga dan pengusaha sektor pelancongan di seluruh negara khususnya di Negeri Sabah dapat memberikan cadangan yang baik kepada saya melalui saluran-saluran yang disebut tadi. Kerajaan mementingkan pendekatan usahasama dan dengan itu, dalam Belanjawan 2019, sejumlah RM100 juta telah disediakan sebagai geran sepadan untuk program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa. Kemakmuran bersama hanya akan tercapai melalui tanggungjawab bersama untuk memajukan ekonomi negara secara amnya dan pelancongan secara khususnya.

Sektor strategik yang lain (Pertanian, Pengilangan, Seni dan Budaya) 

10. Bersama-sama kita pada pagi ini adalah tokoh-tokoh perniagaan daripada sektor strategik yang lain di Sabah. Di bawah SEDIA, pelbagai insentif untuk menggalakkan pelaburan dan perniagaan. Sebanyak RM172.38 bilion pelaburan telah diluluskan sejak penubuhan SEDIA pada tahun 2008. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM83.23 bilion telah direalisasikan sehingga tahun ini dan setakat suku kedua tahun 2019 sahaja. Kerajaan menjangka angka ini akan meningkat lagi sehingga akhir tahun.

11. Sabah dan Sarawak akan terus mendapat peruntukan yang paling besar dalam Belanjawan 2020 sama seperti Belanjawan 2019. Bagi merancakkan lagi pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana, di bawah Belanjawan 2019 Kerajaan telah mengumumkan Dana Pembiayaan PKS sebanyak RM4.5 bilion dengan 60% jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera. Kerajaan juga telah mengurangkan kadar cukai pendapatan Korporat daripada 18% kepada 17% bagi PKS yang berpendapatan bercukai sehingga RM500,000 dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta. Sebanyak RM20 juta telah disediakan untuk kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” untuk membantu pengilang dan penyedia perkhidmatan tempatan mendapat akses ke pasaran yang banyak.

12. Bagi menggalakkan pembangunan sama rata di seluruh negeri Sabah, Kerajaan juga menyediakan insentif cukai Less Developed Area. Insentif ini diperkenalkan bagi kawasan yang menerima pelaburan yang lebih rendah. Di bawah skim ini, syarikat berkelayakan yang baru ditubuhkan di kawasan yang kurang dibangunkan layak dipertimbangkan pengecualian cukai 100% sehingga 15 tahun.

13. Satu Jawatankuasa Nasional Berkenaan Pelaburan yang dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Kewangan dan YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah ditubuhkan dan telah bermesyuarat buat kali pertama. Melalui mesyuarat tersebut, jawatankuasa tersebut telah meluluskan sebanyak 3 projek pelaburan bernilai RM2.2 bilion, termasuk projek di Sabah. Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi membantu mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan perniagaan dalam usaha menarik lebih banyak pelabur untuk melabur di Malaysia.

14. Kerajaan sentiasa menggalakkan pelaburan yang berimpak tinggi dan persekitaran perniagaan yang dapat menjana peluang kerja baharu dan pendapatan yang tinggi kepada rakyat. Saya berharap sesi ini dapat memberikan cadangan-cadangan yang dapat menyokong hasrat tersebut.

Sekian, terima kasih.