wrapper

Topik Popular

Ucapan oleh

YB TUAN LIM GUAN ENG

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

PERBINCANGAN KUMPULAN FOCUS BELANJAWAN 2020:

MOVING UP THE VALUE CHAIN FOR THE ELECTRICAL &

ELECTRONICS INDUSTRY

di

KULIM GOLF & COUNTRY RESORT (KGCR)

KULIM HI-TECH PARK, KEDAH

AHAD, 15 September 2019, 2.30 PM


 

Yang Berusaha Pengerusi Majlis,

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Utama Haji Mukhriz Mahathir
Menteri Besar Kedah

Yang Berhormat Tuan Tan Kok Yew
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan Negeri Kedah

Yang Berbahagia Datuk Seri Issace
Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)

Yang Berbahagia Dato' Asri bin Hamidin @ Hamidon
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan

Yang Berbahagia Dato’ Haji Norizan Khazali
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Kedah

Panel Penceramah

YBhg. Dato-dato, Tuan-tuan serta Hadirin Sekalian

Para hadirin yang dihormati sekalian,


PENDAHULUAN

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Kedah, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta semua pihak yang terlibat dalam merancang dan mengatur majlis perbincangan hari ini.

2. Saya berbesar hati dengan kehadiran dan penyertaan para peserta industri di platform ini yang diadakan dengan tujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas ke arah penyediaan Belanjawan 2020.

SEKTOR E&E DI MALAYSIA 

3. Sebagai negara pengeksport barangan elektrik & elektronik yang ke7 terbesar di dunia, sektor E&E adalah asas kepada industri pembuatan negara secara khususnya, dan juga kepada ekonomi domestik secara amnya.

4. Dari tahun 2016 sehingga tahun 2018, sebanyak RM30 bilion pelaburan E&E telah dibuat. Daripada nilai tersebut, 44.4% dilaburkan di Koridor Utara atau Northern Corridor Economic Region (NCER). Pulau Pinang sebagai hab E&E utama di Malaysia telah menyumbang pelaburan bernilai RM9.93 bilion. Kedah menyumbang sebanyak RM1.85 bilion, manakala Perak telah menyumbang RM1.58 bilion. Tambahan lagi untuk separuh tahun pertama 2019, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM9.2 bilion. Walau bagaimanapun, manfaat yang diterima Malaysia daripada lencongan perdagangan dan pelaburan akibat perang perdagangan ini tidak akan berterusan.

5. Pada tahun lepas, industri E&E telah menyumbang 38% daripada jumlah eksport Malaysia, yang membolehkan negara menikmati lebihan dagangan barangan bernilai RM120.3 bilion. Sektor E&E yang besar telah mencipta pekerja nilai tinggi dan khusus, sambil mengembangkan ekosistem tempatan yang membolehkan wujudnya sebuah hab pembuatan yang mampan di rantau ini

6. Akan tetapi, kita perlu berusaha untuk memenuhi permintaan global semasa dan masa hadapan terutama sekali dengan kemunculan Industri 4.0, serta orientasi semula rantai bekalan dunia yang disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

7. Bagi memastikan peranan besar Malaysia dalam rantai bekalan E&E dunia tidak terhakis, kita mesti mencari jalan terbaik dan inovatif untuk mengukuhkan lagi ekosistem domestik bagi sentiasa maju dari segi reka bentuk dan pembangunan, dan inovasi.

PERANAN KERAJAAN DAN DASAR INDUSTRIALISASI

8. Dasar industrialisasi Malaysia telah membuahkan hasil. Pada tahun 1987, sektor pertanian merangkumi 20.0% daripada ekonomi Malaysia tetapi pada tahun 2000, hanya 8.6% ekonomi Malaysia terdiri daripada sektor tersebut. Pada masa yang sama, sektor pembuatan telah mengambil alih peranan pertanian dan ini dapat diperhatikan apabila peranan sektor pembuatan telah meningkat kepada 30.9% daripada 19.8%. Saiz jumlah perdagangan Malaysia pula telah mencecah 220% berbanding KDNK. Pada tahun 2018, nisbah ini masih lagi tinggi pada 140% berbanding KDNK.

9. Proses industrialisasi ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah tinggi yang dulunya hanyalah pengeluar pertanian dan perlombongan utama dunia. Pada tahun 2018, KDNK per kapita Malaysia dari segi pariti kuasa membeli pada harga malar adalah USD28,176 dan ini setanding dengan sesetengah negara Eropah.

10. Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan Kerajaan sebagai pemudahcara dan juga sebagai penggerak industrialisasi.

NYAH-INDUSTRIALISASI PRA-MATANG

11. Peranan Kerajaan bertambah penting apabila kita menyedari bahawa Malaysia mengalami proses nyah-industrialisasi (deindustrialisation) terlalu awal dan terlalu pantas sejak tahun 2000.

12. Pada tahun 2018, sektor pembuatan hanya terdiri daripada 21.6% berbanding KDNK, iaitu 9.3 mata peratusan lebih rendah daripada tahun 2000. Dalam subsektor pembuatan berteknologi tinggi, kesan nyah-industrialisasi pra-matang adalah lebih hebat. Anggaran menunjukkan bahawa peranan subsektor tersebut telah berkurang daripada 15.3% berbanding KDNK pada tahun 1999 kepada hanya 7.9% pada tahun 2016.

13. Sektor perkhidmatan tradisional dengan nilai tambah rendah sedang berkembang pesat, manakala pertumbuhan perkhidmatan dengan nilai tambah tinggi adalah kurang memberangsangkan. Apa yang memburukkan keadaan lagi adalah pertambahan kebergantungan Malaysia kepada sektor intensif buruh berkos rendah.

14. Ini menyumbang kepada penurunan pertumbuhan produktiviti. Dalam tempoh 1985-1996, produktiviti negara telah berkembang 3.9% secara purata setahun. Dalam tempoh 2011-2016, ia tumbuh pada kadar 2.5% setahun.

INDUSTRIALISASI SEMULA UNTUK MALAYSIA

15. Untuk menjadi sebuah negara perindustrian dan ekonomi berpendapatan tinggi, kita perlu menangani proses nyahindustrialisasi pra-matang dengan menjalankan dasar industrialisasi semula. Kerajaan mempunyai peranan besar dalam hal ini.

16. Kerajaan bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan pelaburan dalam Malaysia dan memperbaiki kedudukan negara dalam rantai bekalan global. Campur tangan kerajaan diperlukan untuk memperhebat daya saing nasional, menaikkan produktiviti, menyaring pelaburan dalam sektor strategik, menjalankan semula industrialisasi berdasarkan eksport dan menyusun semula insentif ke arah sasaran politik menggalakkan keusahawanan.

17. Akan tetapi, ini tidak bermakna Kerajaan tidak percaya kepada dasar pasaran bebas. Dasar pasaran bebas dipegang selagi ia adalah adil. Liberalisasi perdagangan diperlukan selagi negara-negara kurang maju mendapat peluang untuk bersaing secara adil. Liberalisasi kewangan perlu melindungi pemegang saham minoriti daripada spekulator dan para oportunis. Jaring keselamatan perlu diwujudkan dan dipelihara untuk melindungi mereka yang tidak mendapat manfaat daripada dasar liberalisasi kerana kita tidak boleh hidup dalam dunia zero-sum game.

PERANG PERDAGANGAN DAN ORIENTASI SEMULA RANTAI BEKALAN DUNIA

18. Pada masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China semasa Malaysia sedang menaiki rantaian nilai. Pergolakan global ini memberikan Malaysia satu lagi sebab untuk meningkatkan daya saing Malaysia dan memastikan pangkalan-pangkalan pembuatan negara, terutamanya bagi sektor E&E, sentiasa relevan dalam rantai bekalan dunia yang baharu.

19. Kita mesti sedar yang Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang sedang berusaha untuk mendapatkan manfaat daripada proses orientasi semula rantai bekalan dunia. Ekonomi seperti Thailand dan Vietnam sedang bersungguh-sungguh untuk menjadikan pangkalan pembuatan mereka terikat dengan erat dalam rantai bekalan global. Malaysia berada dalam satu perlumbaan penting yang akan menentukan landasan pertumbuhan ekonomi untuk dekad-dekad yang mendatang, seperti mana proses industrialisasi Malaysia yang lampau telah memperhebatkan pertumbuhan ekonomi negara selama kira-kira 4 dekad.

20. Walaupun Malaysia berdepan dengan persaingan yang hebat, saya yakin faedah berbanding (comparative advantage) dan kelebihan daya saing (competitive advantage) kita akan mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan dan pelaburan. Malaysia mempunyai infrastruktur berkualiti tinggi, populasi yang boleh bertutur pelbagai bahasa dengan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas, pekerja mahir, kedaulatan undang-undang serta pelindungan ke atas hak intelek yang kuat, dan hubungan erat dengan pasaran dunia. Langkah-langkah pembaharuan juga telah menjadikan institusi negara lebih dipercayai dan telus. Tambahan lagi, Malaysia merupakan negara yang ke-15 paling mudah untuk menjalankan perniagaan di kalangan 190 negara seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia.

21. Ini menjadikan Malaysia sebuah tempat selamat yang baik semasa pelbagai syarikat sedang mencari dan mencipta rantai bekalan yang baharu untuk mengelak daripada menjadi mangsa perang perdagangan. Dalam separuh tahun pertama 2019, pelaburan asing yang diluluskan telah naik 97.2% kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu. Daripada RM49.5 bilion tersebut, RM25.1 bilion adalah untuk sektor pembuatan. Ini setelah Malaysia mencatatkan nilai pelaburan asing yang diluluskan yang tinggi dalam sejarah pada tahun 2018, iaitu sebanyak RM80.1 bilion dengan RM58.0 bilion pelaburan pembuatan.

22. Kerajaan sedang bertungkus-lumus menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi. Di samping memberi pelbagai insentif pelaburan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Pelaburan I atau National Committee on Investment I (NCII) yang dipengerusi bersama oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan saya sebagai Menteri Kewangan. NCII akan mempercepatkan proses kelulusan pelaburan dan membantu Malaysia menjadi proaktif semasa perubahan pasaran berlaku dengan pantas. Dalam mesyuarat pertama kami, NCII telah meluluskan 3 projek bernilai RM2.2 bilion daripada sumber tempatan dan asing.

23. Pelaburan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara sebanyak RM21.6 bilion adalah antara strategi Kerajaan untuk menjalankan industrialisasi semula Malaysia melalui kerjasama awam-swasta dalam era Industri 4.0. Dengan liputan yang lebih meluas, kelajuan yang lebih pantas serta kos mampu milik, Malaysia akan bersedia dengan lebih cepat untuk penggunaan teknologi 5G berbanding pesaing-pesaing lain.

PULAU PINANG DAN KEDAH SEBAGAI KLUSTER E&E

24. Laporan Economic Impact Survey 2018/19 for the E&E sector oleh Dewan Perniagaan Amerika Syarikat Malaysia (AMCHAM) ada menyebutkan bahawa kebanyakan ahli E&E mereka bertumpu di sekitar Pulau Pinang dan Lembah Klang. Pulau Pinang mendahului dengan 27 pelaburan dan ini diikuti oleh Lembah Klang dengan 10 pelaburan. Kedah mempunyai 5. Perak dan Perlis masing-masing mempunyai 2 dan 1 pelaburan.

25. Kedah mempunyai ekosistem pembuatan yang menyokong fungsi Pulau Pinang sebagai hab serantau Asia Tenggara. Kawasan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) merupakan hab untuk syarikat-syarikat E&E yang terkenal dan ini memperkayakan lagi rantai bekalan E&E di utara Malaysia. Kejayaan ini boleh diulang oleh negeri-negeri NCER yang lain melalui kerjasama serantau untuk mewujudkan rangkaian bekalan yang mempunyai pembekal domestik dan syarikat perkhidmatan pembuatan yang kompeten.

26. Satu contoh kerjasama tersebut adalah penubuhan hab test engineering Asia Tenggara di Pulau Pinang. Program kolaborasi untuk kegiatan penyelidikan & pembangunan & komersialisasi dalam test engineering akan diperluaskan ke Kulim Hi-Tech Park, Kedah Science & Technology Park, Chuping Valley Industrial Area di Perlis, dan ke Perak Hi-Tech Industrial Park.

PEMBANGUNAN BAKAT

27. Kemajuan pesat membawa kepada pengenalan teknologi, mesin dan peralatan baharu. Tenaga kerja kita tiada pilihan selain daripada seiring melakukan perubahan untuk maju. Mereka harus dilatih secara berterusan dalam pengendalian teknologi baharu. Mereka juga mesti diberi kepercayaan untuk menggunakan teknologi penggolak (disruptive technology) dan mengurus operasi serantau dan global.

28. Penubuhan Pusat Kecemerlangan untuk E&E di NCER penting bagi membangunkan bakat yang sedia diterima oleh industri, dan menaikkan industri tempatan dalam rantai nilai untuk pembuatan berteknologi tinggi bagi syarikat multinasional (MNC), syarikat besar tempatan (LLC), dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta start-up.

29. Saya ingin menyatakan bahawa NCIA adalah badan terulung dalam program pembangunan bakat. Antara program tersebut adalah NCER Talent Enhancement Programme (NTEP) untuk kemahiran tinggi dan empowerNCER untuk kemahiran asas.

PENUTUP

30. Sebagai perintis dalam industri E&E sejak tahun 1970an, Kerajaan memerlukan pandangan pakar untuk memajukan lagi sektor ini dan menjalankan industrialisasi semula. Sumbangan anda di sini akan membantu Kerajaan memperuntukkan sumber nasional bagi mengembangkan lagi sektor ini dan seterusnya, memenuhi agenda “Kemakmuran Bersama.”

Sekian, terima kasih.