wrapper

Topik Popular

KATA-KATA ALUAN

DARIPADA

YB TUAN LIM GUAN ENG

MENTERI KEWANGAN

MESYUARAT KUMPULAN FOKUS 2020

PENDEKATAN 3M

(MEMPERBAIKI, MENGGANTI DAN MEMULIHKAN) TERHADAP
KEMUDAHAN DAN KELENGKAPAN PERUBATAN KERAJAAN
DISIARKAN PADA 8 SEPTEMBER 2019

 

Yang Berhormat Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan

Yang Berbahagia Dato' Seri Dr Chen Chaw Min
Ketua Setiausaha, Kementerian Kesihatan Malaysia

Yang Berusaha Encik Ahmad Shariff Bin Hambali
Ketua Pegawai Eksekutif, Medical Device Authority


Tuan-tuan dan puan-puan,


Selamat pagi dan Salam Harapan,


PENDAHULUAN

1. Kerajaan sedang menganjurkan sebuah siri 12 perbincangan kumpulan fokus untuk mendapatkan pandangan dan saranan bagi Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober 2019. Kumpulan-kumpulan fokus ini akan mempertimbangkan isu-isu tertentu seperti yang telah diketengahkan pada Majlis Konsultasi Belanjawan yang diadakan pada 27 Jun 2019, dan juga memorandum-memorandum yang telah disampaikan oleh peserta industri, badan-badan pemikir, akademik, dan badan bukan kerajaan (NGO) kepada Kementerian Kewangan.

2. Salah sebuah isu utama yang telah dibangkitkan dalam memorandum-memorandum tersebut adalah berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang mampu diakses oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40. Perkhidmatan kesihatan adalah penting dalam membantu Malaysia memenuhi agenda “Kemakmuran Bersama.”

PERBELANJAAN KESIHATAN DI MALAYSIA

3. Antara 2010 dan 2018, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM193.6 bilion untuk penyediaan perkhidmatan kesihatan.

4. Seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, Kementerian Kesihatan telah menerima peruntukan sebanyak RM28.7 bilion, iaitu kirakira 9% daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2019. Peruntukan RM28.7 bilion bagi tahun 2019 untuk Kementerian Kesihatan merupakan peningkatan sebanyak hampir 8% berbanding peruntukan yang diterima Kementerian Kesihatan pada tahun 2018. Ini menjadikan Kementerian Kesihatan antara kementerian yang terbesar dari segi peruntukan.

5. Perbelanjaan tersebut membiayai penyediaan perkhidmatan kesihatan asas seperti kebersihan, keselamatan makanan dan vaksinasi. Perkhidmatan asas ini telah menyumbang kepada jangka hayat kita yang tinggi. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, secara purata seorang rakyat Malaysia pada tahun 2019 mempunyai jangka hayat selama 74.5 tahun.

6. Perbelanjaan untuk Kementerian Kesihatan adalah sebahagian daripada perbelanjaan sosial yang mencecah RM107 bilion pada tahun 2019, atau kira-kira 34% daripada jumlah besar Belanjawan 2019 merentasi beberapa kementerian lain.

7. Pada tahun 2018, Kerajaan mengelolakan sebanyak 2,881 klinik kesihatan dan komuniti, dan juga 14 hospital. Tambahan lagi, terdapat sejumlah 2.6 juta kemasukan ke dalam hospital kerajaan, berbanding 1.1 juta untuk hospital swasta. Jumlah ini mencerminkan kebergantungan rakyat Malaysia kepada perkhidmatan kesihatan awam.

8. Menyedari kepentingan perkhidmatan kesihatan berkualiti, beberapa langkah telah diperkenalkan oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2019. Ini termasuk peruntukan RM10.8 bilion untuk membiayai bekalan perubatan dan menaiktarafkan kualiti perkhidmatan kesihatan di klinik dan hospital awam.

9. Kerajaan juga memperuntukkan RM100 juta untuk program pengesanan kesihatan seluruh negara, Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA), untuk 800,000 orang yang berusia 50 tahun ke atas yang tergolong daripada isi rumah B40.

10. Sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan tahun ini untuk rawatan penyakit jarang jumpa dan Hepatitis C, serta untuk menangani masalah kebantutan kanak-kanak. Jumlah tersebut juga digunakan bagi menyediakan lebih banyak lagi perkhidmatan pengesanan dan rawatan hemodialisis, sambil mengembangkan program Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).

11. Kerajaan telah memperkenalkan skim mySalam mulai tahun ini. Skim ini merupakan sebuah program perlindungan kesihatan percuma yang melindungi 3.8 juta rakyat Malaysia berusia daripada 18 sehingga 55 tahun dalam kumpulan B40. Skim ini memberikan pembayaran one-off sebanyak RM8,000 buat mereka yang telah didiagnosis menghidapi salah satu daripada 36 penyakit kritikal. Skim ini turut menyediakan pembayaran pendapatan gantian sebanyak RM50 sehari bagi mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setahun.

12. Program mySalam akan membantu mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan out-of-pocket dalam kalangan rakyat Malaysia. Dengan kata lain, ia akan mengurangkan kos sara hidup bagi golongan B40. Menurut Bank Dunia, 38% perbelanjaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia datang secara langsung daripada individu. Kadar ini lebih tinggi berbanding beberapa negara jiran kita. Sebagai contoh, perbelanjaan kesihatan out-of-pocket di Singapura dan Thailand masing-masing adalah 31% dan 12%.

CABARAN MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN

13. Perubahan cara hidup mempunyai kesan ke atas penyampaian perkhidmatan kesihatan. Malah, sistem kesihatan awam bukan sahaja perlu mengambil kira akan penyampaian perkhidmatan kepada semua rakyat Malaysia, tetapi ia juga perlu mengurus kos rawatan yang kian meningkat. Ini terutama sekali apabila usia profil demografi Malaysia semakin meningkat. Pada tahun 2020, 7% daripada rakyat Malaysia akan berumur 65 tahun dan ke atas. Pakar mengunjurkan bahawa nisbah ini akan naik ke 14% pada tahun 2045. Ini akan meningkatkan keperluan perkhidmatan kesihatan.

14. Kerajaan mengambil berat akan masalah monopoli pembekalan perubatan yang menyumbang kepada peningkatan kos. Kerajaan sedang mengkaji kontrak antara pihak Kerajaan dan pihak Pharmaniaga, serta cara terbaik untuk menangani masalah monopoli bekalan perubatan dalam sistem kesihatan awam. Buat masa ini, monopoli bekalan perubatan memakan kos melebihi RM1.1 bilion setahun kepada Kerajaan.

15. Saya ingin menyeru Kementerian Kesihatan menjalankan reformasi pentadbiran supaya penjimatan wang atau perkhidmatan yang lebih efisien dapat dicapai tanpa perbelanjaan tambahan. Adalah menjadi dasar baharu Kementerian Kewangan di mana apa-apa penjimatan wang ekoran daripada reformasi pentadbiran ini akan disalurkan balik supaya ia dapat dikecapi oleh Kementerian yang berjaya menjalankan reformasi pentadbiran ini. Dengan ini diharapkan insentif sedemikian akan menggalakkan lebih banyak usaha ke arah reformasi pentadbiran melalui kaedah kreatif dan inovatif, dan bukan semata-mata memohon perbelanjaan tambahan sahaja. Saya percaya sistem kesihatan awam dan pihak Kerajaan secara amnya akan dapat berbelanja dengan lebih efisien, dan membantu menangani masalah kos sara hidup rakyat, jika kita mampu meningkatkan persaingan yang sihat dalam pasaran pembekalan perubatan.

PENUTUP

16. Tumpuan Kerajaan Persekutuan ialah untuk memastikan kemudahan dan kelengkapan perubatan yang sedia ada dapat berfungsi dengan baik. Apa gunanya kita membina yang baru kalau yang lama diabaikan sehingga tidak dapat menjalankan peranan mereka? Dalam lawatan saya ke seluruh negara, saya perhatikan keabaian ini amat serius kerana ia telah berlarutan selama 15 tahun. Oleh itu adalah perlu satu pendekatan 3M (Memperbaiki, Mengganti Dan Memulihkan) kemudahan dan kelengkapan perubatan kerajaan, atau 3Rs (Repairs, Replace And Restore) diamalkan. Ia akan membabitkan kos yang tinggi dan tidak mungkin dapat disempurnakan dalam satu tahun tetapi suatu permulaan mestilah dibuat.

Terima kasih.