wrapper

Topik Popular

 

KATA-KATA ALUAN
OLEH YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

KUMPULAN FOKUS BELANJAWAN 2020
MENINGKATKAN PERLINDUNGAN SOSIAL BAGI GOLONGAN YANG MEMERLUKAN

 


5 SEPTEMBER 2019 (KHAMIS)

 

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Yang Berbahagia Dato' Junaidah binti Kamarruddin
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat petang dan Salam Harapan

PENGENALAN

1. Selamat datang ke Kementerian Kewangan. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta kesudian para hadirin sekalian untuk hadir ke sesi dialog ini.

2. Kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2019. Dalam usaha menyediakan Belanjawan, pihak Kementerian Kewangan sedang mengadakan 12 sesi perbincangan kumpulan fokus bagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak dalam isu-isu terpilih yang ingin ditekankan oleh Kerajaan.

3. Terdapat kelainan dalam pelaksanaan perbincangan kumpulan fokus pada kali ini. Sebelum ini, proses Belanjawan dijalankan oleh Kementerian Kewangan secara bersendirian. Demi memupuk semangat kebersamaan, mulai tahun ini saya telah mengarahkan supaya proses Belanjawan melibatkan lebih ramai lagi pihak berkepentingan, dengan kerjasama daripada kementerian-kementerian lain dalam penganjuranperbincangan berdasarkan kepada agenda “Kemakmuran Bersama.”

TEMA PERBINCANGAN KUMPULAN FOKUS

4. Tema bagi kumpulan fokus pada hari ini adalah“meningkatkan perlindungan sosial bagi golongan yang memerlukan.” Perbincangan ini dianjurkan bersama antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Kementerian Kewangan.

PERLINDUNGAN SOSIAL DEMI KEMAKMURAN BERSAMA

5. Ekonomi Malaysia bagi suku ke-2 2019 telah berkembang dengan pesat pada 4.9% berbanding 4.5% di suku sebelumnya. Pertumbuhan ini berjaya mengatasi jangkaan pasaran dan menjadi Malaysia antara sekumpulan kecil negara yang berjaya tumbuh dengan lebih pantas pada tahun ini.

6. Akan tetapi, kita perlu sedar bahawa kemakmuran sesebuah negara tidak boleh diukur semata-matanya berdasarkan kepada pertumbuhan KDNK yang rancak, atau pencapaian status ekonomi berpendapatan tinggi.

7. Cabaran Kerajaan sekarang adalah bagi memastikan supaya pertumbuhan ekonomi negara adalah inklusif. Pertumbuhan ekonomi perlu diiringi dengan peningkatan mutu hidup rakyat yang dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Pembangunan inklusif memerlukan jaringan keselamatan sosial bersepadu yang mampu melindungi semua rakyat Malaysia, terutamanya rakyat yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik.

8. Walaupun sistem kesihatan awam Malaysia sedang berfungsi dengan baik melalui pembiayaan kerajaan, rakyat masih perlu menampung sebahagian daripada kos tersebut secara langsung. Menurut Bank Dunia, rakyat negara kita perlu menampung 38% daripada kos perubatan mereka secara tunai dan langsung (out-of-pocket spending). Sebagai perbandingan, di Thailand dan Singapura, nisbah tersebut masing-masing adalah sebanyak 12% dan 32%.

9. Ini ditambah fakta bahawa rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi atas pelbagai sebab, termasuklah akibat ketidakmampuan mereka untuk membuat simpanan. Sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015 mendapati bahawa 76% daripada rakyat tidak mampu menyediakan sekurang-kurangnya RM1,000 dengan serta-merta jika dilanda kemalangan. Kadar keterhutangan isi rumah pula adalah tinggi pada 83.0% berbanding KDNK pada tahun 2018, walaupun ia telah turun daripada 83.8% pada tahun 2017.

10. Kerajaan prihatin akan masalah ini dan pada awal tahun ini,Kerajaan telah memperkenal skim mySalam bagi meringankan kos perubatan bagi golongan B40. Skim tersebut memberi perlindungan takaful kesihatan secara percumauntuk kira-kira 3.8 juta individu berumur dari 18 sehingga 55 tahun. mySalam memberi pembayaran sebanyak RM8,000 seumur hidup bagi mereka yang disahkan menghidapi salah satu daripada 36 penyakit kritikal, sambil memberi bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital awam.

11. Kesihatan hanyalah satu faktor penting dalam isu perlindungan sosial. Terdapat pelbagai aspek lagi perlu diambil kira, seperti gaji dan pekerjaan. Panduan BelanjawanKu terbitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan bahawa seorang bujang memerlukan pendapatan “living wage” sekurang-kurangnya RM1,870 sebulan untuk mencapai taraf hidup yang memuaskan di Lembah Klang. KWSP juga menyatakan bahawa pasangan berkeluarga dengan dua anak pula memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM6,620 sebulan.

12. Isu perumahan sebagai sebuah hak asasi juga adalah satu perkara yang perlu ditangani. Dalam hal ini, Kerajaan telah pun melonggarkan syarat pinjaman bagi Dana Rumah Mampu Milik bernilai RM1 bilion yang diuruskan Bank Negara Malaysia. Sesiapa yang berpendapatan tidak melebihi RM4,360 sebulan yang ingin membeli rumah berharga tidak melebihi RM300,000 akan layak diterima ke dalam skim ini. Semua pemohon yang berjaya akan menikmati kadar faedah yang rendah pada 3.5% setahun, dengan tempoh pinjaman sepanjang 40 tahun. Pemohon juga akan mendapat pengecualian duti setem ke atas perjanjian jual beli dan perjanjian jualan.

PERANAN WANITA DALAM EKONOMI NEGARA

13. Di samping melindungi golongan yang memerlukan, Kerajaan juga mahu mengetengahkan peranan wanita dalam pembangunan negara. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita terus meningkat dari 54.7% pada 2018 kepada 55.2% pada tahun 2019. Untuk menjadi sebuah negara maju, kadar penyertaan wanita Malaysia perlu ditingkatkan melebihitahap 60% yang sering dicapai di negara-negara maju seperti Jepun. Kerajaan ingin terus memudahkan wanita bekerja dan ini boleh dilakukan melalui pindaan terhadap Akta Kerja, seperti meningkatkan tempoh cuti bersalin dan memperkenal klausa khas anti diskriminasi dan gangguan seksual. Kerajaan juga akan meneruskan inisiatif untuk membolehkan wanita kembali bekerja (returning to work after a career break).

14. Inisiatif untuk meningkatkan penglibatan wanita di peringkat lembaga pengarah di Malaysia juga telah bertambah baik. Pada Disember 2016, wanita hanya menyumbang 16.6% komposisi ahli lembaga dalam 100 syarikat tersenarai teratas dan setakat Ogos 2019peratusan ini telah meningkat sebanyak 7 mata peratusan kepada 23.7%. Di samping itu pada Januari 2018, 7 daripada 100 syarikat tersenarai teratas tidak mempunyai wanita di peringkat lembaga pengarah. Sejak Februari 2019, senario ini tidak lagi wujud di kalangan 100 syarikat tersenarai teratas di Bursa Malaysia.

15. Sukacita saya maklumkan bahawa di bawah Kerajaan sekarang, terdapat sekurang-kurangnya 3 wanita yang mempengerusi bank-bank Malaysia, iaitu Maybank, Bank Rakyat dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Malah, saya telahpun mencadang nama seorang lagi wanita untuk menjadi pengerusi sebuah lagi bank yang berwibawa di Malaysia.Jika tiada arang melintang, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat. Bilangan 4 wanita sebagai pengerusi bank in adalah lebih ramai berbanding semasa kerajaan lama, apabila hanya sebuah bank sahaja mempunyai pengerusi wanita. Ini adalah peningkatan penglibatan wanita di tahap profesional yang tertinggi dan Kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan peranan wanita yang berkebolehan tinggidalam bidang perbankan, dan dalam bidang-bidang lain. Ini adalah pencapaian besar yang menunjukkan bahawa lantikan wanita pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak terhenti di situ sahaja.

BELANJAWAN 2019

16. Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM107 bilion kepada sektor sosial yang merangkumi pelbagai kementerian. Ini bersamaan dengan 34% daripada jumlah besar perbelanjaan Belanjawan 2019. Secara khususnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai peruntukkan sebanyak RM2.4 bilion pada tahun ini .

17. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM98 juta telah diperuntukkan Kerajaan untuk program bagi golongan OKU (RM26 juta), kanak-kanak (RM25 juta), wanita (RM16 juta), warga emas (RM11 juta), keluarga (RM11 juta) dan golongan gelandangan (RM9 juta). Program-program ini bertujuan memastikan kebajikan golongan tersebut dapat dijaga selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya, Dasar Kanak-kanak Negara, Dasar Wanita Negara, Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Sosial Negara.Pelbagai insentif cukai juga diberikan kepada majikan bagi membantu golongan OKU, wanita dan warga emas untuk memperoleh peluang pekerjaan, Melalui Belanjawan 2019, Kerajaan telah meluaskan skop insentif potongan cukai tambahan bagi majikan yang menggaji golongan warga emas yang sebelum ini hanya diberikan kepada golongan OKU.

18. Di sini, saya mahu tegaskan betapa pentingnya kita membantu golongan yang memerlukan dan juga kumpulan B40 terlibat dalam pendigitalan ekonomi Malaysia, terutama apabila ekonomi negara akan terus didigitalkan daripada 18% daripada KDNK sekarang kepada 21% pada tahun 2022. Kita perlu memastikan supaya semua rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses kepada perkhidmatan digital. Di zaman ekonomi baharu ini, boleh dikatakan bahawa akses kepada internet bukan lagi satu kemewahan, tetapi ia adalah satu hak asasi manusia.

19. Pada masa yang sama, Kerajaan juga perlu merasionalisasi dan mengoptimumkan segala perbelanjaan sosial berjumlah RM107 bilion, terutamanya yang berkaitan dengan bantuan Kerajaan. Ini adalah kerana jumlah ini diuruskan oleh beberapa kementerian berlainan yang mengakibatkan pertindihan fungsi dan bantuan. Sektor awam perlu mengurangkan pertindihan fungsi tersebut bagi memastikan bantuan Kerajaan mempunyai impak tertinggi dan benar-benar disalurkan kepadagolongan yang memerlukan.

PENUTUP

20. Pada sesi ini, saya berharap untuk mendengar pandangan dan idea ikhlas anda bagi membantu Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan yang inklusif.

21. Dengan, saya ingin menjemput YAB Timbalan Perdana Menteri untuk meneruskan sesi ini.

Sekian, terima kasih.