wrapper

Topik Popular

 

TEKS UCAPAN

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Perak

27 August 2019, 2:00 – 5:00 petang

Kinta Riverfront Hotel and Suites, Ipoh, Perak

 

TALKING POINTS FOR YBMK

 

Yang Amat Berhormat Dato Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu
Menteri Besar Perak

YB Teresa Kok
Menteri Kementerian Perusahaan Utama (MPI)

Yang Berhormat Tuan Haji Zainal Azman Abu Seman
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Tan Yew Chong
Ketua Setiausaha
Kementerian Industri Utama

Yang Berusaha Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Pemangku Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

Yang Berusaha Encik Chew Jit Seng
Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC)

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perak

Pegawai-pegawai Kerajaan, Dif-dif kehormat,

Tuan-tuan dan puan- puan sekalian

“Salam Sejahtera dan Salam Harapan”

 

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

 

PENGENALAN.

1.   Susulan daripada Konsultasi Belanjawan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan pada 27 Jun 2019, Kerajaan sedang menjalankan 12 perbincangan focus group bagi mendapatkan pandangan mengenai isu dan cadangan bagi penyediaan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Focus group ini adalah sesi keempat yang telah diadakan setakat ini. .

2.   Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Menteri Besar yang sanggup meluangkan masa untuk turut sama dalam sesi ini. Kementerian Kewangan sentiasa komited dalam menyokong agenda pembangunan di negeri Perak.

3.   Sekalung penghargaan juga kepada YB Puan Teresa Kok, Menteri Perusahaan Utama selaku hos dan tidak lupa kepada para hadirin sekalian yang sudi hadir untuk sesi dialog ini.

4.   Terdapat kelainan dalam pelaksanaan perbincangan focus group pada kali ini. Sebelum ini semua sesi dijalankan oleh Kementerian Kewangan secara bersendirian. Selaras Malaysia Baharu yang lebih inklusif, proses penyediaan belanjawan adalah lebih kolaboratif kerana melibatkan perbincangan dan kerjasama dengan semua kementerian, Kerajaan Negeri serta pemegang taruh yang berkaitan.

5.   Tema untuk perbincangan hari ini adalah mengenai Mengekalkan Daya Tahan Sektor Komoditi sejajar dengan agenda “Kemakmuran Bersama” yang telah disarankan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Mei lepas. Aspirasi tersebut adalah supaya rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang lebih baik dan selesa melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif menjelang tahun 2030.

 

CABARAN SENTIMEN ANTI-SAWIT NEGARA KESATUAN EROPAH (EU) DAN MENANGKIS PERSEPSI NEGATIF : PENANAMAN SAWIT PUNCA KEMUSNAHAN ALAM SEKITAR

6.   Negara terus menghadapi bantahan dan cabaran sentimen anti-sawit daripada negara barat khususnya EU yang telah berikrar untuk mengharamkan sawit sebagai bahan bakar bermula tahun 2021 iaitu 2 tahun daripada sekarang. Susulan kenyataan ini, baru-baru ini YAB Perdana Menteri bersama-sama Presiden Indonesia telah menandatangani surat bantahan bersama kepada EU berhubung rancangan mereka untuk melarang penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit.

7.   Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan yang mengaitkan penebangan hutan dengan penanaman sawit. Tuduhan-tudahan ini boleh menjejaskan kesejahteraan sosioekonomi rakyat khususnya kehidupan 650,000 pekebun kecil dan 1.5 juta lagi dalam rantaian bekalan minyak sawit.

8.   Dakwaan ini adalah tidak berasas sama sekali kerana industri sawit di negara ini dilaksanakan dengan mampan dan bertanggungjawab seiring dengan matlamat di peringkat antarabangsa iaitu Sustainable Development Goals selain komited dengan perjanjian Sidang Kemuncak Bumi di Rio pada tahun 1992 bagi memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah diliputi hutan.

 

MENGHADAPI CABARAN HARGA GETAH DUNIA YANG RENDAH

9.    Kerajaan sedar bahawa pekebun getah turut menerima cabaran yang getir berikutan harga getah yang masih rendah di pasaran global berbanding kemuncaknya pada awal tahun tahun 2017 lalu. Selain itu, musim yang tidak menentu seperti hujan yang berterusan dan kemarau telah sedikit sebanyak menjejaskan produktiviti getah.

10.  Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta melalui RISDA dan LIGS bagi tujuan pemberian Bantuan Musim Tengkujuh Tahun 2018/2019. Pemberian BMT bertujuan menjaga kebajikan pekebun kecil/ pengusaha getah sewaktu musim tengkujuh selain daripada pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG). Dalam usaha mengurangkan kesan kejatuhan harga getah, Kerajaan meningkatkan paras harga pengaktifan cup lump daripada RM2.20/kg kepada RM2.50/kg mulai 1 Januari 2019 bagi skim IPG.

 

PROSPEK CHINA DAN LANGKAH USAHA BERTERUSAN KERAJAAN DALAM MEMASTIKAN INDUSTRI KOMODITI TERUS BERDAYA TAHAN

11.  Dalam pada itu, negara dapat menarik nafas lega kerana China, selaku rakan dagang terbesar Malaysia bagi minyak dan produk sawit selepas EU dan India, telah menandatangani memorandum persefahaman untuk membeli tambahan 1.9 juta tan minyak sawit Malaysia dengan anggaran nilai RM4.56 bilion bagi tempoh 5 tahun bermula tahun 2019.

12.  Dalam hal ini, strategi Malaysia adalah dengan meningkatkan produktiviti dan hasil daripada penanaman sawit, berbanding meluaskan kawasan penanaman melalui penebangan hutan yang tidak terkawal. Kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk memastikan eksport sawit ke Eropah mencapai perakuan Malaysia Sustainable Palm Oil (MSPO) menjelang 1 Januari tahun 2020.

13.  Bagi tujuan ini, Kerajaan telah bersetuju menyediakan dana pinjaman mudah dengan kadar serendah 2% bagi penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM500 juta dan RM50 lagi untuk input dan bahan penanaman sawit. Selain itu, Kerajaan juga menyediakan geran RM100 juta bagi membantu pekebun kecil bagi mendapatkan pensijilan MSPO.

14.  Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan nasib para pekebun kecil terus terbela pada ketika industry komoditi terus menerima cabaran yang hebat di peringkat global. Dalam hal ini, usaha-usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil menerusi integrated cropping disamping usaha penanaman secara intercropping akan dipergiatkan.

 

PENUTUP

Pada sesi ini, saya berharap untuk mendengar pandangan, cadangan dan idea-idea serta pendekatan baharu bagi mendokong usaha Kerajaan ke arah kemampanan industri komoditi di negara kita.

Sekian terima kasih.

Kementerian Kewangan Malaysia
29 Januari 2019