wrapper

Topik Popular

 

UCAPAN PEMBUKAAN
OLEH YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

MESYUARAT KUMPULAN FOKUS UNTUK BELANJAWAN 2020
MENINGKATKAN AKSES PEMBIAYAAN MELALUI INOVASI KEWANGAN

 


26 OGOS 2019
DI SURUHANJAYA SEKURITI, BUKIT KIARA

 

YBhg. Datuk Syed Zaid Albar
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Yang Berusaha Adnan Zaylani Mohamad Zahid
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat petang dan Salam Harapan

PENGENALAN

1. Berikutan daripada Konsultasi Belanjawan 2020 pada 27 Jun 2019,Kementerian Kewangan telah merancangkan 12 siri mesyuarat kumpulan fokus dengan pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi Kerajaan, pihak industri dan akademik serta Badan Bukan Kerajaan (NGO). Mesyuarat-mesyuarat kumpulan fokus ini bertujuan untuk mengumpulkan pandangan dan cadangan mengenai topik-topik tertentu untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober 2019.

2. Buat kali pertama, Kementerian Kewangan telah memperkenalkanproses penyedian bajet yang lebih kolaboratif. Terdahulu, Kementerian Kewangan sahaja yang menganjurkan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan fokus, tetapi pada kali ini Kementerian Kewangan telah bekerjasama dengan Kementerian lain untuk menyediakan Belanjawan yang lebih inklusif. Kumpulan fokus pertama telah diadakan bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan lebih daripada 100 syarikat teknologi di Cyberjaya. Kumpulan fokus kedua pula diadakan bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada hari Sabtu yang lepas, Kementerian Kewangan juga telah mengadakan perbincangan kumpulan fokus ketiga bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Tekonologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

3. Hari ini merupakan perbincangan kumpulan fokus keempat di mana Kementerian Kewangan akan membincangkan kaedah inovasi untukmeningkatkan akses kepada pembiayaan, terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia atas penganjuranperbincangan pada hari ini.

KEPENTINGAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA (PKS) PADA EKONOMI

4. PKS memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia. PKS telah menyumbang kepada 37% daripada KDNK Malaysia pada tahun 2018 dan angka ini dijangka akan meningkat kepada 41% menjelang tahun 2020. Sekitar 98.5% jumlah pertubuhan perniagaan di negara ini adalah terdiri daripada PKS, dan PKS merupakan majikan kepada dua pertiga pekerja di Malaysia.

5. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu memastikan bahawa PKS terus bersaing dan kekal relevan dalam ekonomi baru, terutamanya apabila ekonomi negara sedang dalam proses pendigitalan. Perbadanan Data Antarabangsa (ICD) meramalkan bahawa menjelang tahun 2020, lebih 21% daripada KDNK Malaysia akan berasaskan digital berbanding dengantahap semasa iaitu sebanyak 18%.

6. Kemunculan Industri 4.0 (IR 4.0) dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, automasi dan data besar telah memperkenalkan model baharu bagi menjalankan perniagaan dan menyebabkan model lama menjadi usang. Perusahaan perlu menyesuaikan dirinya denganIR 4.0 atau menghadapi risiko tertinggal dalam ekonomi baru ini.

7. Kerajaan akan membantu PKS memulakan proses pendigitalan dan mengorak langkah ke dalam ekonomi digital dengan memastikan mereka mempunyai dana yang mencukupi untuk berbuat demikian. Salah satu cara adalah dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk PKS.

AKSES PEMBIAYAAN UNTUK PKS

8. Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa skim untuk memangkinkan proses pendigitalan PKS. Ini termasuk skim jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) di mana RM2 bilion diperuntukkan untuk memudahkan akses pembiayaan kepada PKS yang memperkenalkan teknologi IR 4.0 dalam perniagaannya. Ini adalah sebahagian daripada skim jaminan untuk PKS yang berjumlahRM6.5 bilion, di mana RM1 bilion telah dikhaskan untuk bumiputera PKS. Kerajaan juga telah memperuntukkan RM3 bilion melalui Dana Transformasi Pendigitalan Industriyang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk mempercepatkan penggunaan teknologi baru, termasuk kecerdasan buatan, automasi dan data besar.

9. Walau bagaimanapun, menurut kaji selidik Pembiayaan PKS 2018 yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, kesukaran akses pembiayaan adalah salah satu daripada 10 faktor utama yang mengekang pertumbuhan PKS. Sebab-sebab kesukaran akses pembiayaan yang disebutkan termasuk cagaran yang tidak mencukupi, kekurangan dokumentasi, aliran tunai terhad untuk memenuhi kewajiban pembayaran balik, proses permohonan yang rumit serta risiko tinggi yang terlibat dalam usaha perniagaan. Ini berpunca dari peraturan sedia ada dalam sistem perbankan tradisional yang mengakibatkan pendekatan konservatif terhadap risiko.

10. Tanpa mengambil kira peringkat kitaran hayat PKS yang mungkin mempengaruhi pilihan pembiayaan yang tersedia, PKS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada sumber luaran. Akibatnya, lebih daripada 70% keperluan pembiayaan PKS diperoleh secara dalaman seperti daripada ahli keluarga atau simpanan peribadi, manakala 30% diperoleh dari institusi kewangan seperti bank dan institutkredit mikro. Walaupun peratusan pinjaman PKS kepada jumlah pinjaman perniagaan adalah sebanyak 50.2%, peningkatan jumlah pinjaman yang dikeluarkan kepada PKS adalah kecil pada 3%, ataupun sebanyak RM127.4 bilion yang telah dikeluarkan dalam tempoh Januari hingga Mei 2019, berbanding dengan RM123.4 bilion untuk tempoh yang sama tahun lepas.

11. PKS bukan sahaja memerlukan dana untuk perbelanjaan operasi, tetapi juga ia diperlukan bagi mengembangkan perniagaan secara strategik sambil meningkatkan nilai tambah dalam suasana teknologi yang sering berubah. Menurut SME Corp Malaysia, tujuan-tujuan utama PKS memerlukan pembiayaan adalah untuk memenuhi keperluan modal kerja, pembelian dan penyewaan jentera, peningkatan atau pengemaskinian proses pengeluaran, dan aktiviti kaji selidik.

12. Kira-kira 90% pembiayaan yang diperoleh oleh PKS adalah daripada institusi kewangan, manakala baki 10% adalah daripada pasaran modal. Di sini, kerajaan mempunyai peranan untuk membantu mempelbagaikan ekosistem pembiayaan, terutamanya bagi PKS.

13. Pembiayaan melalui pasaran modal dan platform-platform inovatif seperti Pasaran LEAP, pendanaan masyarakat berbentuk ekuiti atau equity crowdfunding (ECF), pembiayaan antara rakan setara atau peer-to-peer(P2P), ekuiti persendirian dan venture capital perlu diterokai dengan lebih mendalam sebagai salah satu sumber pembiayaan bagi PKS dan start-up. PKS sekarang mempunyai pelbagai peluang pembiayaan untuk semua peringkat kitaran perniagaan melalui kaedah ECF dan P2P yang mampu membekalkan mereka dengan modal serendah RM1,000 sehingga RM3 juta.

14. Dengan kemajuan teknologi fintech, penyelesaian pembiayaan telah menjadi lebih peribadi, menarik dan mudah diakses melalui pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan pada kadar yang kompetitif. Sejak 2015, 900 PKS telah berjaya mendapatkan pembiayaan bernilai RM344 juta melalui lebih daripada 3,400 transaksi.

15. Seperti yang dilaporkan Bank Dunia pada tahun 2018, rakyat Malaysia mempunyai bakat keusahawanan yang mengagumkan, dan mereka berjaya menghasilkan beberapa start-up yang tersohor di Asia Tenggara seperti Grab and Fave. Akses dan peluang pembiayaan yang lebih meluas mampu menjadikan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebihinklusif dan mampan.

PENUTUP

16. Peluasaan akses PKS kepada pembiayaan kewangan secara berkesan memerlukan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta. Saya berharap sesi perbincangan kita pada hari ini akan membuahkan hasil.

Terima kasih.

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
26 OGOS 2019