wrapper

Topik Popular

 

KATA-KATA ALUAN
OLEH YB TUAN LIM GUAN ENG
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

 

MESYUARAT KUMPULAN FOKUS 2019: MENERIMA EKONOMI DIGITAL

 


9 Ogos 2019

 

Yang Berhormat Gobind Singh Deo
Menteri Komunikasi dan Multimedia

Yang Berbahagia Dato’ Suriani Binti Ahmad
Ketua Setiausaha
Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Yang Berusaha Puan Surina Binti Shukri
Ketua Pegawai Eksekutif
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat petang dan Salam Harapan

Pendahuluan

1. Pada ketika ini, Kerajaan sedang menganjurkan sebuah siri perbincangan kumpulan fokus untuk mendapatkan pandangan dan saranan untuk Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan pada 11 Oktober 2019. Hari ini merupakan kumpulan fokus yang pertama, di mana kita akan berbincang tentang ekonomi digital dan cara-cara Kerajaan dapat memangkinkan pertumbuhan ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup rakyat, dan memenuhi agenda Kemakmuran Bersama yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

2. Saya ingin menyatakan penghargaan tertinggi saya kepada YB Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana sudi menjadi tuan rumah untuk perbincangan kumpulan fokus hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana telah meluangkan masa untuk bersama kami hari ini.

Membangunkan Ekonomi Digital

3. Antara 2010 dan 2018, ekonomi digital Malaysia telah berkembang sebanyak 9% dan ini lebih rancak daripada pertumbuhan KDNK. Ekonomi digital dijangka akan membentuk 20% daripada ekonomi kita berbanding 18% pada 2017.

4. Kita sedang berada di atas landasan yang betul untuk mencapai sasaran 20% tersebut. Menurut sebuah jangkaan daripada International Data Corporation (IDC), lebih 21% daripada KDNK Malaysia akan didigitalkan menjelang 2021.

E-Niaga dan DTFZ

5. Selain ruang pertumbuhan yang tradisional, kami juga sedang beri tumpuan kepada e-niaga (perniagaan elektronik). Kerajaan sedang menggalakkan perkembangan e-niaga melalui Zon Dagangan Bebas Digital (DTFZ). Peserta DFTZ dapat menikmati status MSC, di mana mereka akan menerima cuti cukai pendapatan syarikat selama 10 tahun bawah status perintis, dan elaun cukai pelaburan selama 5 tahun. Setakat ini, kira-kira 5,000 PKS telah mengambil bahagian, dan lebih ramai diminta untuk menyertai untuk memperkayakan ekosistem e-niaga Malaysia.

6. DFTZ berfungsi sebagai sebuah pusat khidmat setempat yang turut mengandungi hab e-pemenuhan (e-fulfilment) bagi membantu aktiviti pengeksportan, hab perkhidmatan satelit yang menawarkan perkhidmatan berkenaan dagangan rentas sempadan seperti pembiayaan, dan juga platform eService untuk melancarkan proses pelepasan kargo rentas sempadan.

Pembayaran Digital

7. Dalam perkara yang berkaitan, Kerajaan sedang mempromosikan penyebaran pembayaran digital, dan ini antara lain kerana ia sangat berkesan dalam menghalang berlakunya rasuah.

8. Kami sedar bahawa terdapat beberapa syarikat yang telah melakukan pelaburan besar dalam pembayaran digital seperti Grab, Boost, dan BigPay, selain beberapa bank-bank tempatan.

9. Kedua-dua e-niaga dan pembayaran digital memudahkan pendigitalan ekonomi. Sekiranya pengguna berasa selesa dengan teknologi, mereka akan menerimanya secara meluas dan kemudian akan mencari teknologi tersebut. Syarikat-syarikat yang gagal memenuhi permintaan tersebut akan sukar meneruskan perniagaan mereka.

10. Tetapi pendigitalan bukan sekadar daya saing di peringkat syarikat. Ia juga berkait dengan daya saing kebangsaan. Malaysia sedang berlumba untuk mendigitalkan ekonomi kita. Kita sangat menyedari yang jiran-jiran kita juga sedang memanjat talian nilai dan bersaing dengan kita untuk mendapatkan pelaburan dalam industri yang kita minati. Untuk menjadi juara, kita perlukan ekosistem yang boleh menyokong pelaburan teknologi tinggi, khususnya untuk yang berkait dengan teknologi Industri 4.0.

Industri 4.0 sebagai enjin pertumbuhan baharu

11. Industri 4.0 merupakan enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu. Kerajaan telah melancarkan skim jaminan sebanyak RM2 bilion bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) bagi memudahkan akses kepada pembiayaan untuk PKS yang berminat untuk menggunakan teknologi Industri 4.0 dalam perniagaan mereka. Kami juga telah menyediakan RM3 bilion menerusi Dana Transformasi Pendigitalan Industri yang diurus oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk mempercepatkan penerimaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, automasi, analitis data raya, dan robotik dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia.

12. Terdapat juga usaha-usaha lain yang berkaitan dengan Industri 4.0. Dalam Belanjawan 2019, Kerajaan menyediakan insentif cukai pendapatan sebanyak RM27,000 untuk menilai kesediaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menggunakan Industri 4.0 dan lain-lain pelepasan cukai untuk membangunkan modal insan yang diperlukan.

Infrastruktur Awam Digital Untuk Menyokong 5G

13. Bagi menyokong pendigitalan ekonomi dan penerimaan luas industri 4.0 oleh masyarakat, Kerajaan sedang menyediakan infrastruktur digital yang diperlukan dengan menyiapkan perbelanjaan sebanyak RM4.2 bilion untuk menyediakan sambungan gentian optik berkelajuan tinggi kepada sekolah-sekolah dan zon perindustrian terpilih.

14. Ini sebahagian daripada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan (NFCP) yang dirancang untuk menambah baik kualiti dan capaian perkhidmatan jalur lebar, mengurangkan harga perkhidmatan jalur lebar, dan meningkatkan penetrasi internet berkualiti tinggi di seluruh Malaysia. Projek NFCP yang dipimpin oleh rakan sekerja saya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, memerlukan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion antara 2019 dan 2023.

15. Sebahagian besar daripada pelaburan NFCP akan dibiayai oleh Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) yang diurus oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan juga dibiayai oleh sektor swasta.

16. Pelan ini akan meningkatkan lagi kelajuan internet di Malaysia, dan menjadikan ekonomi kita bersedia untuk penerapan 5G.

Memastikan Internet Jalur Lebar mampu dimiliki rakyat

17. Kami juga sedang bekerja untuk menjadikan internet jalur lebar lebih mampu dilanggani semua, dan setakat ini Kerajaan telah mencatat beberapa kejayaan.

18. Bank Dunia baru-baru ini meuar-uarkan kejayaan apabila mereka menyatakan bahawa harga purata untuk perkhidmatan jalur lebar asas Malaysia dengan kelajuan 30Mbps telah jatuh sebanyak 30% pada tahun 2018. Dalam tahun yang sama, harga purata pelan 1Gbps jatuh sebanyak 40%, semata-mata kerana Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP). Dengan perkhidmatan jalur lebar yang lebih murah, Bank Dunia menyatakan bahawa jumlah langganan perkhidmatan jalur lebar tetap dengan kelajuan 100Mbps di Malaysia telah meningkat sebanyak lapan kali, kepada 1.2 juta pelanggan di penghujung 2018.

19. Namun begitu, kadar penetrasi masih rendah di kawasan pedalaman dan masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan perkhidmatan jalur lebar mampu dimiliki semua rakyat Malaysia.

Bakat untuk ekonomi baharu

20. Kita memerlukan semua bakat yang kita ada untuk membangunkan ekonomi digital kita. Masalahnya ialah ramai daripada mereka yang berbakat berada di luar negara. Kami sedang berusaha untuk memanggil mereka pulang dan mengekalkan bakat yang sudah ada dalam negara.

21. Pada masa yang sama, kita perlu mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja kita, dan mempersediakan mereka dengan kemahiran baharu seperti pengekodan supaya mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan, lebih-lebih lagi apabila pekerjaan sedang mengalami risiko ditiadakan akibat penggunaan automasi. Di semua sekolah, kolej dan universiti, kita harus memastikan sukatan pelajaran kita sesuai dengan dunia di luar bilik darjah, supaya graduan muda kita bersedia untuk pasaran kerja.

Cabaran-cabaran dalam ekonomi digital Malaysia

22. Walaupun kita telah mendapat beberapa kejayaan, masih banyak cabaran sebelum Malaysia dapat menyertai era digital secara sepenuhnya. Ekonomi digital kita harus dibuka supaya kita boleh mendapatkan ruang yang adil di mana bukan hanya peserta-peserta besar yang mampu meraih manfaat daripada ekonomi digital. Kita perlu mencari titik tengah yang sesuai yang dapat membenarkan firma asing besar dan syarikat tempatan yang lebih kecil untuk sama-sama beroperasi, bekerjasama, dan berkembang.

23. Pada masa yang sama, terdapat juga bahaya ketidaksetaraan digital dalam kalangan rakyat Malaysia. Masih terdapat mereka yang terlalu miskin untuk mampu memiliki sebuah telefon pintar, dan mereka tiada capaian kepada perkhidmatan digital atau cara-cara pembayaran digital.

24. Akhir sekali, saya akui terdapat undang-undang dan penyeliaan Kerajaan yang mungkin ketinggalan zaman. Kita harus menstruktur semula undang-undang ini, memansuhkan yang sudah lapuk, dan meliberalisasikan yang lain untuk meningkatkan daya saing dan mengangkat potensi kita.

25. Untuk terus membangunkan ekonomi digital, saya, bersama- sama dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, akan menubuhkan jawatankuasa bersama kementerian untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh syarikat- syarikat yang sedang bekerja dalam ruang pendigitalan di peringkat tertinggi. Ini antara lain, akan membenarkan Kerajaan untuk mempercepatkan permohonan untuk pelaburan dan pada masa yang sama menyelesaikan sebaran isu yang dibangkitkan sektor swasta dengan lebih pantas. Ini menunjukkan ketinggian iltizam kerajaan terhadap pendigitalan ekonomi Malaysia.

Penutup

26. Melalui sesi ini, saya berharap kita dapat mengenal pasti jurang- jurang yang wujud dan bekerja sama untuk mempercepatkan pendigitalan ekonomi dan tingkatkan daya saing dan produktiviti. Saya mengalu-alukan perbincangan yang menanti.

Terima kasih.