wrapper

Topik Popular

Majlis Pelancaran

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 - 2023

oleh

YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad

Perdana Menteri Malaysia

23 Julai 2019

di

Sasana Kijang


Ucapan Alu-Aluan

Oleh

Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Malaysia

 

  1. Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad,
    Perdana Menteri Malaysia;

  2. Yang Berhormat M. Kula Segaran Murugeson,
    Menteri Sumber Manusia;

  3. Yang Berbahagia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus,
    Gabenor Bank Negara Malaysia;

  4. Tan Sri Abdul Hamid Bador,
    Ketua Polis Negara;

  5. Yang Berbahagia Datuk Syed Zaid Albar,
    Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; 

  6. Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias,
    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; 

  7. Encik Azaddin Ngah Tasir,
    Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit; 

  8. Encik Rafiz Azuan Abdullah,
    Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia;

  9. Tetamu-tetamu kehormat dan hadirin sekalian.

    Selamat pagi dan Salam Harapan!


Pembuka


  1. Bagi pihak Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network atau FEN), saya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi meluangkan masa untuk melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 – 2023, pada pagi ini.

  2. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menerajui usaha ini dengan ahli-ahli FEN yang lain, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

    Para hadirin sekalian,

  3. FEN telah ditubuhkan pada 2016 sebagai satu platform yang terdiri daripada institusi dan agensi yang komited untuk meningkatkan literasi kewangan rakyat Malaysia melalui sebuah Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 yang dibentangkan pada hari ini. Untuk tempoh pelaksanaan 5 tahun yang akan datang, Strategi Kebangsaan ini dijangka memerlukan perbelanjaan sebanyak RM1.87 juta yang dibiayai oleh ahli-ahli FEN.

    Status Semasa Literasi Kewangan di Malaysia

  4. Melalui kaji selidik yang telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi, 1 daripada 3 rakyat Malaysia merasakan mereka mempunyai pengetahuan kewangan yang rendah, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, tentu program ini akan bantu untuk memperbaikinya.

  5. Apa yang saya hendak tegaskan di sini adalah tentang literasi kewangan. Ada setengah pihak menganggap ia tentang kepentingan kita menjimatkan wang. Literasi kewangan bukanlah untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan wang sungguh pun harus berjimat cermat. Tetapi apa yang penting ialah bagaimana kita uruskan wang kita supaya perbelanjaan kita tidak melebihi pendapatan kita.

  6. Dari segi penggunaan dan perbelanjaan, kita mahu ia ditingkatkan tetapi biarlah ia secara berhemah supaya tidak melebihi pendapatan yang sedia ada. Ini perkara yang sukar dikuasai banyak pihak. Contohnya, dalam sebuah keluarga. Apabila kekurangan wang, mereka berhutang untuk berbelanja lebih, apabila berhutang dan tidak dapat membayar balik pinjaman, mereka pergi mencari along. Ini yang harus dielakkan.

  7. Berdasarkan Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Sudut Permintaan 2018 yang dilaksanakan oleh BNM, 9 daripada 10 rakyat Malaysia hanya tahu mendeposit wang bagi tujuan simpanan tanpa pengetahuan lanjut tentang konsep pelaburan. Manakala hampir 4 daripada 10 rakyat Malaysia juga tidak tahu bagaimana inflasi menghakis kuasa membeli.

  8. Kajian menunjukkan ramai dalam kalangan warga Malaysia yang tidak mempunyai wang simpanan walaupun untuk jangka masa pendek. Walaupun 8 daripada 10 rakyat Malaysia mendakwa mereka menyimpan secara tetap, simpanan tersebut kebiasaannya dikeluarkan pada akhir bulan untuk menampung perbelanjaan harian, setelah mereka gagal mengikut bajet yang telah dibuat. Kaji selidik AKPK pada tahun 2018 mendapati 3 daripada 10 rakyat Malaysia yang bekerja terpaksa meminjam untuk membeli barang keperluan asas.

  9. Apa yang lebih membimbangkan adalah majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai daya tahan kewangan (“financial resilience”) yang menyebabkan mereka terdedah kepada masalah kewangan. Contohnya, hanya 17% rakyat Malaysia yang mempunyai perlindungan insurans hayat dan takaful keluarga.

  10. Rata-rata rakyat Malaysia juga tidak yakin mereka mempunyai wang yang cukup untuk menampung kehidupan mereka selepas bersara. Berdasarkan statistik KWSP, 68% daripada mereka yang mencarum (ahli yang aktif) tidak mencapai simpanan minimum yang disyorkan selepas mencecah umur 55 tahun. Tanpa sistem persaraan yang terancang, lebih separuh daripada rakyat Malaysia ini akan terdedah kepada masalah kewangan di hari tua.

  11. Selain risiko menghadapi masalah kewangan, rakyat Malaysia juga terdedah kepada penipuan kewangan. Berdasarkan kasi selidik yang dibuat oleh SC pada tahun 2018, pelabur menganggap pulangan tahunan sebanyak 12.4% sebagai rendah, manakala 24% sebagai sederhana. Jangkaan pulangan yang tidak realistik ini meningkatkan risiko mereka ditipu kerana terlibat dengan skim-skim cepat kaya.

    Keperluan kepada Strategi Kebangsaan

    Para hadirin sekalian, 

  12. Bagi memastikan kejayaan Strategi Kebangsaan ini, penglibatan bersepadu daripada semua pihak dengan secara menyeluruh dan mudah difahami adalah penting supaya tidak ada golongan yang tercicir. Di sini, inisiatif-inisiatif Strategi Kebangsaan ini akan digabungkan dengan aktiviti-aktiviti literasi kewangan anjuran ahliahli FEN untuk mempelbagaikan proses penyampaian maklumat kepada orang ramai.

  13. Akhir sekali, bagi pihak FEN, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad atas kesudian untuk hadir pada pagi ini bagi menyempurnakan pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 -2023.

 

Sekian, terima kasih.