SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
BAYARAN RM2.38 BILION KEPADA 11.06 JUTA PENERIMA BPN 2.0, TERMASUK PEMOHON BAHARU, MULAI 21 JANUARI 2021
Merujuk kepada pengumuman pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan) oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Januari 2021, Kementerian Kewangan ingin memaklumkan bahawa bayaran Fasa Kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) kepada 11.06 juta penerima merangkumi 10.6 juta penerima BPN sedia ada, serta sekitar 460 ribu penerima baharu akan dipercepatkan. Penerima baharu tersebut telah diluluskan semasa tempoh permohonan/rayuan dibuka pada 15 Oktober hingga 15 November 2020 lalu.
Semakan kelulusan boleh dibuat mulai 15 Januari 2021 di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my. Bayaran ini akan disalurkan seperti berikut:
Jenis Penerima |
Tarikh Pembayaran Mulai |
Cara Pembayaran |
B40 | 21 Januari 2021 | Terus dikreditkan ke dalam akaun bank |
M40 | 21 Januari 2021 | Terus dikreditkan ke dalam akaun bank |
Penerima tanpa akaun bank | 25 Januari 2021 | Di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN). Pihak BSN akan mengeluarkan panduan SOP dari semasa ke semasa |
Penerima di Sabah dan Sarawak tanpa akaun bank |
Mulai awal bulan Februari sehingga 1 April 2021 | Lokasi-lokasi bakal diumumkan pada akhir bulan Januari |
BPN 2.0 merupakan sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN) bernilai RM10 bilion yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 September 2020 lalu. Inisiatif BPN 2.0 tersebut disalurkan melalui dua fasa pembayaran, iaitu pada bulan Oktober 2020 dan Januari 2021. Bayaran fasa kedua BPN2.0 ini akan disalurkan dengan pecahan seperti berikut:
Kategori & Pendapatan Bulanan |
B40 Isi Rumah RM4,000 ke bawah |
B40 Bujang RM2,000 ke bawah |
M40 Isi Rumah RM4,001 hingga RM8,000 |
M40 Bujang RM2,001 hingga RM4,000 |
Jumlah |
Fasa Pembayaran | RM1.21 bilion | RM0.7 bilion | RM0.29 bilion | RM0.18 bilion | RM2.38 bilion |
Jumlah Penerima | 3.81 juta | 4.08 juta | 1.43 juta | 1.74 juta | 11.06 juta |
Secara keseluruhanya, jumlah penerima BPN 2.0 merangkumi 11.06 juta penerima (5.82 juta individu bujang, dan 5.24 juta penerima isi rumah) dengan jumlah bayaran/peruntukan sebanyak RM7.18 billion setakat ini.
Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
13 Januari 2021