wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

 

SIARAN MEDIA
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


PELAKSANAAN INISIATIF e-TUNAI RAKYAT SEBANYAK RM450 JUTA DENGAN RM30 SETIAP ORANG, BAKAL DILANCARKAN PADA JANUARI 2020


Persiapan akhir bagi pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia kini sedang giat dijalankan dan bakal dilancarkan pada Januari 2020. Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta ini telah diumumkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2020 dan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.

Kementerian Kewangan telah melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah ini merupakan usaha komprehensif bagi memastikan inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan serta menerapkan ciri-ciri keselamatan untuk pengguna.

Antara lain, kerja-kerja pelaksanaan ini merangkumi usaha membangun mekanisme serta proses dan prosedur yang diperlukan oleh inisiatif ini. Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan e-dompet yang secara kolektif menyediakan platform sedia ada yang mempunyai jumlah pengguna aktif sedia yang besar serta rangkaian pedagang yang luas untuk inisiatif e-Tunai Rakyat.

Khazanah akan mengumumkan pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan bagi membolehkan inisiatif ini dilancarkan dalam tempoh yang ditetapkan, serta dapat memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaannya pada Januari 2020.

Melalui inisiatif e-Tunai Rakyat, warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000, layak menerima RM30 setiap seorang bagi dibelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali perkhidmatan e-dompet terpilih. Selain itu, pengendali perkhidmatan e-dompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan. Maklumat lanjut tentang cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan edompet yang dipilih dalam masa terdekat.

Program e-Tunai Rakyat adalah sejajar dengan agenda Kemakmuran Bersama yang bertujuan untuk mengurangkan halangan untuk akses kepada teknologi digital dan untuk menjadikan proses digitalisasi untuk semua. Kami yakin bahawa inisiatif e-Tunai Rakyat ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan pedagang tempatan serta akan dapat membantu mencapai matlamat yang disasarkan iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai masyarakat dan ekonomi digital yang maju. Adalah dijangkakan RM30 yang diberikan kepada setiap orang mungkin ditambah nilainya berpandukan kepada syarat-syarat dan tawaran oleh pengendali perkhidmatan.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guang Eng

Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
19 Disember 2019