wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


KERAJAAN PERSEKUTUAN PIMPINAN PAKATAN HARAPAN TIDAK PERNAH MEMINJAM UNTUK MEMBAYAR GAJI PENJAWAT AWAM, TIDAK SEPERTI KERAJAAN NEGERI KELANTAN, DAN INI TERBUKTI APABILA PENARAFAN KREDIT BERDAULAT MALAYSIA KEKAL TINGGI PADA PARAS A3 ATAU ADENGAN UNJURAN STABIL



Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan tidak pernah meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, tidak seperti kerajaan negeri Kelantan. Ini terbukti apabila penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau Adengan unjuran stabil. Sekiranya Kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.


Saya ingin tegaskan di sini bahawa Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian.


Tambahan lagi, Kerajaan sedang menepati sasarannya untuk merendahkan defisit fiskalnya daripada 3.7% berbanding KDNK pada tahun 2018, kepada 3.4% untuk tahun ini. Segala pinjaman Kerajaan adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan oleh pentadbiran terdahulu. Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman.

 

Dakwaan Datuk Seri Mohamad Hassan jauh meleset dan mudah disangkal

Semasa ucapan beliau di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan pada 25 November 2019, Datuk Seri Mohamad Hassan secara bersahaja mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

Dakwaan beliau adalah jauh meleset dan mudah disangkal. Bagi suku ke-3 2019, emolumen Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM19.9 bilion. Sebagai perbandingan, pendapatan Kerajaan dalam suku yang sama adalah berjumlah RM68.8 bilion. Ini bermakna pendapatan Kerajaan adalah 3 kali ganda lebih besar berbanding tanggungan emolumennya.

Jadual 1 membandingkan pendapatan dan emolumen Kerajaan untuk setiap suku tahun sejak suku ke-2 2018. Perbandingan tersebut menunjukkan bahawa pendapatan Kerajaan sentiasa lebih besar daripada emolumennya.

 

Jadual 1: Pendapatan dan emolumen Kerajaan Persekutuan 

Suku

Pendapatan

(RM bilion)

Emolumen
(RM bilion)
Pendapatan/Emolumen
(kali ganda)
S2 2018 52.5 19.9 2.6
SM 2018 58.9 19.6 3.0
S4 2018 67.2 20.4 3.3
S1 2019 63.7 19.3 3.3
S2 2019 62.1 20.6 3.0
S3 2019 68.8 19.9 3.5

 

Perangkaan ini sentiasa dikemas kini dan diumumkan untuk pengetahuan awam. Perangkaan terbaharu telah diterbitkan oleh Kementerian Kewangan pada muka surat 8 dalam laporan Ekonomi Malaysia Suku Tahunan. Laporan tersebut boleh dimuat turun secara percuma daripada laman web Perbendaharaan di https://www.treasury.gov.my/index.php/fiskal-ekonomi/ekonomi-malaysia-suku-tahunan.html

Kerajaan Persekutuan sentiasa berupaya membayar gaji penjawat awam, serta memenuhi obligasi kewangannya yang lain. Ini berlainan dengan situasi yang dialami oleh kerajaan negeri Kelantan. Kementerian Kewangan pada 14 Oktober 2019 telah meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan negeri Kelantan berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan negeri tersebut. Ini termasuk untuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung tahun 2019. Pada tahun 2018, Kerajaan Persekutuan juga telah mendahulukan wang sejumlah RM91.5 juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan sama demi kesejahteraan penduduk negeri Kelantan. Dengan ini, jelas sekali bahawa kritikan Datuk Seri Mohamad Hassan telah jauh tersasar dan sepatutnya dialihkan ke arah kerajaan negeri Kelantan, dan bukannya Kerajaan Persekutuan.  

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
28 November 2019