wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

YB TUAN LIM GUAN ENG


BACAAN PMI PEMBUATAN MALAYSIA UNTUK OKTOBER 2019 YANG NAIK KE PARAS TERTINGGI DALAM TEMPOH 6 BULAN AKAN MEMBANTU MALAYSIA MENCAPAI SASARAN PERTUMBUHAN KDNK 4.7% UNTUK TAHUN 2019



Indeks Pengurus Pembelian atau Purchasing Managers’ Index (PMI) untuk sektor pembuatan Malaysia naik ke paras tertinggi dalam tempoh 6 bulan ke 49.3 mata untuk Oktober 2019, daripada 47.9 mata untuk September 2019. Bacaan PMI pembuatan yang tertinggi bagi tempoh 6 bulan ini akan membantu Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 4.7% untuk tahun 2019.

Peningkatan PMI secara mendadak daripada 47.9 mata bagi bulan September ke 49.3 mata bagi bulan Oktober merupakan antara kenaikan yang terbesar dan ia memberikan keyakinan bahawa ekonomi negara akan terus tumbuh secara mampan. Kebanyakan negara berdepan dengan cabaran perang perdagangan yang hebat sehinggakan Kerajaan Singapura menyatakan bahawa mereka dianggap bernasib baik sekiranya negara tersebut dapat merekod sebarang pertumbuhan untuk tahun ini.

Kenaikan PMI dalam bulan Oktober didorong oleh peningkatan jumlah tempahan dan juga output pembuatan. Unjuran perniagaan sedang bertambah baik dan ini telah meyakinkan lebih banyak pengeluar merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka. Oleh itu, jumlah pekerja di kalangan syarikat sektor pembuatan telah meningkat.

Perangkaan tenaga buruh terbaharu menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh di Malaysia telah naik kepada 68.6% dalam bulan Ogos 2019, iaitu peningkatan 0.1 mata peratusan daripada bulan Julai 2019. Jumlah mereka yang bekerja juga telah naik setinggi 1.9% tahun-ke-tahun kepada 15.19 juta orang. Kadar pengangguran pula kekal rendah dan stabil pada 3.3%.

Seperti dalam pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan telah mengunjurkan bahawa KDNK 2019 negara akan berkembang secara mampan pada kadar 4.7%. Berdasarkan kepada perangkaan KDNK separuh tahun pertama yang mencatatkan pertumbuhan setinggi 4.7%, lebihan dagangan yang terbesar dalam tempoh 9 bulan pertama bernilai RM100.9 bilion, dan peningkatan bacaan PMI pembuatan secara berterusan, Kerajaan yakin ekonomi Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan KDNK 4.7% untuk tahun 2019. Sekiranya pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dapat diselesaikan dengan baik, maka prospek Malaysia untuk mencapai pertumbuhan mampan yang lebih pesat akan menjadi lebih cerah.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
6 November 2019