wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

YB TUAN LIM GUAN ENG


KEYAKINAN BAHAWA KERAJAAN AKAN MENEPATI SASARAN DEFISIT FISKAL SEBANYAK RM52 BILION ATAU 3.4% BERBANDING KDNK BUKAN SAHAJA BERDASARKAN PRESTASI AWAM TETAPI JUGA TERMASUK PENILAIAN OLEH PARA PELABUR DAN AGENSI PENARAFAN KREDIT ANTARABANGSA



Kerajaan akan menepati sasaran defisit fiskal sebanyak RM52 bilion atau 3.4%berbanding KDNK bukan sahaja berdasarkan prestasi awam tetapi juga termasuk penilaian oleh para pelabur dan agensi penarafan kredit antarabangsa.

Seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan bertarikh 26 September 2019, Kerajaan merancang aktiviti pembiayaannya secara tahunan. Sebarang analisa dari bulan ke bulan perlu mengambil kira belanjawan tahunan supaya kesimpulan yang tepat dapat dicapai.

Berdasarkan kepada anggaran tahunan 2019 dan rancangan pembiayaan yang terbaharu, Kerajaan akan menerbitkan RM135 bilion hutang langsung sambil menebus RM83 bilion. Oleh demikian, hutang langsung bersih yang akan diterbitkan untuk seluruh tahun 2019 adalah RM52 bilion. Rancangan pembiayaan ini adalah seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2019 dan diluluskan oleh Parlimen tahun lepas. Jadual 1 menunjukkan rancangan pembiayaan Kerajaan untuk seluruh tahun 2019, serta perangkaan sebenar untuk tempoh Januari-Oktober 2019 dan rancangan untuk tempoh November-Disember 2019.

Jadual 1: Penerbitan dan penebusan hutang langsung Kerajaan untuk tahun 2019

Butiran (RM) Bilion

Jan-Okt 2019

(Sebenar)

Nov-Dis 2019

(Rancangan)

Rancangan 2019
(A) (B) (A)+(B)
Penerbitan (1) 121.0 14.2 135.2
Penebusan (2) 61.7 21.6 83.3
Penerbitan bersih (1-2) 59.3 -7.4 51.9

Nota: Angka-angka tidak semestinya terjumlah disebabkan oleh penggenapan


Status sehingga Oktober 2019


Untuk tempoh Januari-Oktober 2019, Kerajaan telah menerbitkan RM121 bilion hutang langsung secara kasar. Ia merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)bernilai RM51.5 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) bernilai RM50.5 bilion, bil Perbendaharaan bernilai RM11.5 bilion dan instrumen-instrumen lain termasuk bon Samurai bernilai RM7.5 bilion. Pada masa yang sama, Kerajaan telah menebus RM61.7 bilion seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.

Secara khususnya bagi bulan Oktober 2019, Kerajaan telah menerbitkan hutang langsung bernilai RM10.0 bilion. Pada bulan yang sama, sebanyak RM11.8 bilion hutang langsung telah ditebus semula. Ini bermakna penerbitan bersih hutang langsung bagi bulan tersebut adalah -RM1.8 bilion (Jadual 2). Sesiapa yang mendakwa sebaliknya barangkali merupakan pembohong tegar, jahil atau tidak mampu membaca data kewangan secara tepat.

 

Jadual 2: Penerbitan dan penerbitan hutang langsung dalam bulan Oktober 2019

Butiran (RM bilion) Oktober 2019
Penerbitan (1) 10.0
Penebusan (2) 11.8
Penerbitan bersih (1-2) -1.8

Nota: Angka-angka tidak semestinya terjumlah disebabkan oleh penggenapan

 

Aktiviti pembiayaan bagi tempoh November-Disember 2019

Untuk 2 bulan terakhir 2019, Kerajaan merancang untuk menerbitkan RM14.2 bilion hutang langsung sambil menebus semula RM21.6 bilion. Dengan ini, penerbitan bersih hutang langsung dalam tempoh November-Disember 2019 adalah -RM7.4 bilion. Ini diterangkan dalam Jadual 1.

 

Jadual 3: Defisit fiskal bagi tahun 2018 dan 2019

Perincian 2018(Sebenar) 2019(Anggaran)
Jumlah RM53.4 bilion RM51.9 bilion
Berbanding KDNK 3.7% 3.4%

Kerajaan sentiasa mengamalkan transparensi dalam pentadbiran dan akan terus telus dalam melaporkan kedudukan fiskalnya secara menyeluruh.

 


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
2 November 2019