wrapper

Topik Popular

 

SIARAN MEDIA

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA

YB TUAN LIM GUAN ENG


Sebagai Pengerusi Southeast Asia Voting Group Constituency WBG-IMF 2019, Malaysia Akan Terus Menyokong Multilateralisme Untuk Mencapai Pertumbuhan Secara Mampan Dan Juga Perdagangan Bebas dan Adil 


Malaysia hari ini mengambil tempat sebagai Pengerusi Southeast Asia Voting Group (SEAVG) Kumpulan Bank Dunia (WBG) - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama ke-52 kelompok tersebut. Mesyuarat tersebut diadakan di Washington DC pagi ini sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Tahunan WBG-IMF 2019 yang terdiri daripada 10 negara ASEAN, Nepal, dan beberapa negara kepulauan Pasifik.

Dalam Mesyuarat Gabenor-Gabenor Bersama yang saya pengerusikan, mesyuarat telah membincangkan prospek pertumbuhan global, kesan perang dagangan, dan berkenaan ekonomi digital yang menggunakan Malaysia sebagai contoh. 

IMF menjangkakan KDNK dunia akan berkembang 3.0% tahun ini, suatu pengurangan daripada jangkaan awal mereka pada 3.3%, dan antara sebabnya ialah ketegangan dagangan yang berterusan.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global dijangka akan lebih pesat pada 3.4% pada 2020 daripada 3.0% pada 2019. Pertumbuhan KDNK 2020 yang lebih pesat pada 3.4% berbanding kadar pertumbuhan 3% pada 2019 sejajar dengan prospek Malaysia untuk jangkaan pertumbuhan Belanjawan 2020 pada kadar yang lebih tinggi iaitu 4.8%, berbanding kadar pertumbuhan yang dijangka untuk 2019 iaitu 4.7%.

Multilateralisme dan kolaborasi antarabangsa adalah perkara asas yang memungkinkan implementasi yang berterusan, padu, dan berintegrasi merentas sempadan. Multilateralisme yang memanfaatkan semua bersifat inklusif dan merupakan hasil lebih baik daripada unilateralisme yang hanya mahu menguntungkan sesebuah negara.

Di penghujungnya, seperti perang dagangan antara US dan China yang telah membawa kebinasaan lingkungan kepada negara lain, unilateralisme akan merugikan semua pihak. Malaysia akan terus menyokong multilateralisme untuk mendapatkan perdagangan bebas dan adil, dan juga liberalisasi perdagangan yang tidak melumpuhkan secara tidak adil dan mengenakan tarif pada negara membangun. Malaysia menyeru semua negara untuk berganding bahu ke arah meluaskan kolaborasi antarabangsa untuk mencapai hasil perdagangan yang saling memanfaat.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
18 Oktober 2019