wrapper

Topik Popular

 

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


WANG PENDAHULUAN UNTUK MEMBAYAR GAJI ANGGOTA KERAJAAN NEGERI DAN BAYARAN WANG EHSAN KEPADA KERAJAAN NEGERI KELANTAN


Kementerian Kewangan merujuk kepada isu pembayaran Wang Ehsan dan wang Pendahuluan kepada Kerajaan Negeri Kelantan, yang kini digunakan oleh parti pembangkang untuk menanam sentimen kebencian terhadap pemimpin Kerajaan Persekutuan. Sebelum ini, pembayaran Wang Ehsan diberikan secara tahunan kepada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan sebuah entiti Kerajaan Persekutuan secara 50:50.

Selepas peralihan kuasa pada 9 Mei 2018, YAB Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk membuat bayaran Wang Ehsan bahagian 50% tersebut, bukan kepada entiti Kerajaan Persekutuan, tetapi terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Maka buat pertama kalinya mulai tahun 2019, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan bayaran Wang Ehsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dengan bayaran terkini pada bulan September 2019.

Bayaran Wang Ehsan juga telah diawalkan kepada bulan September 2019, sedangkan pembayaran dijadualkan pada Januari 2020. Perlu ditegaskan bayaran Wang Ehsan dan perkara perihal petroleum dan Petronas bukanlah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan tetapi di bawah YAB Perdana Menteri.

Menteri Kewangan hanya menurut arahan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri. Adalah dikesali pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan kebencian dan memainkan sentimen dengan melontarkan fitnah bahawa saya cuba menghalang pembayaran dilakukan, walaupun hakikatnya pembayaran dibuat atas arahan Perdana Menteri.

YAB Dato' Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan telah mengesahkan bayaran Wang Ehsan kepada negeri Kelantan telahpun disalurkan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM15.75 juta pada 18 September 2019. Supaya mengelakkan terperangkap dalam kemelut perundangan, Kerajaan Persekutuan telah membuat bayaran dalam bentuk Wang Ehsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Namun perkiraannya adalah berasaskan 5% daripada hasil petroleum bagi menentukan bayaran tersebut kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Sukar difahami bagaimana Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menganggap pihak yang sebelum ini tidak menyalurkan bayaran Wang Ehsan kepada Kerajaan Negeri Kelantan sebagai rakan setia, tetapi Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan bayaran Wang Ehsan secara langsung kepada Kerajaan Negeri dianggap sebagai musuh ketat. Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa komitmen untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan telah dilaksanakan sungguhpun berhadapan pelbagai cemuhan dan fitnah.

Di samping itu, Kerajaan Persekutuan terus komited untuk membantu negeri-negeri yang menghadapi masalah kewangan. Dalam surat tanggal 12 September 2019, YB Pegawai Kewangan Negeri Kelantan telah memohon sekali lagi untuk bantuan Kerajaan Persekutuan dalam bentuk wang pendahuluan, untuk memenuhi obligasi perbelanjaan operasinya termasuk membayar gaji dan emolumen anggota pentadbiran Kerajaan Negeri. Sehubungan itu, saya telah meluluskan permohonan pendahuluan sebanyak RM100 juta pada 14 Oktober 2019, untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan membiayai perbelanjaannya termasuk pembayaran gaji anggota pentadbirannya sehingga hujung tahun 2019.

Wang pendahuluan RM100 juta bukan kali pertama Kerajaan Negeri Kelantan membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu untuk membantu bayar gaji warga perkhidmatan Kerajaan Negeri. Pada tahun 2018, permohonan wang pendahuluan sebanyak RM91.5 juta untuk membayar perbelanjaan operasinya termasuk gaji anggota Kerajaan Negeri Kelantan juga telah diluluskan.

Adalah diharapkan dengan adanya Wang Ehsan dan Pendahuluan ini dapat membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dan seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat negeri Kelantan.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan
Putrajaya
16 Oktober 2019