wrapper

Topik Popular

Siaran Media
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


KEMENTERIAN KEWANGAN KOMITED DALAM MEMASTIKAN OBLIGASI PEMBAYARAN PEMBIAYAAN SRC INTERNATIONAL SDN BHD DIPENUHI DAN SENTIASA MEMATUHI JADUAL PEMBAYARAN BALIK KEPADA KWAP



Syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) merupakan sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2012. SRC telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan. Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (USD1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk:

  • BSI Bank di Switzerland (lebih USD800 juta)
  • Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (USD 250 juta)
  • sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (USD 60 juta).


Memandangkan sebahagian besar dana ini telah digunakan di merata dunia, Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan seberapa banyak dana RM4 bilion tersebut. SRC telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran pembiayaan dengan KWAP.

Pinjaman RM4 bilion tersebut adalah sebahagian daripada jaminan yang ditanggung dan dibiayai (committed government guarantee) oleh Kerajaan. Perkara ini telah disembunyikan oleh pentadbiran lama dan hanya didedahkan selepas Kerajaan Persekutuan bertukar pada 9 Mei 2018. Jelas sekali pinjaman RM4 bilion yang dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan adalah sebahagian daripada skim penyelewengan kewangan dan salah laku “kleptokrasi” yang melibatkan skandal 1MDB. Kerajaan baru akan memastikan bahawa salah laku yang menyebabkan kerugian besar kepada Kerajaan dan rakyat tidak berulang lagi.

Kementerian Kewangan pada 1 Oktober 2019 telah membuat pembayaran faedah sebanyak RM43,023,748.31 kepada KWAP. Dengan itu, jumlah pembayaran balik yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi pihak SRC setakat ini adalah sebanyak RM1.73 bilion. Berdasarkan kepada jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran faedah pembiayaan yang berikutnya adalah pada 28 Februari 2020 melibatkan amaun sebanyak RM37,806,311.73.

Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan berdasarkan jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan ke arah kelangsungan dana persaraan penjawat awam.


Sayangi Malaysiaku! 

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
2 Oktober 2019