wrapper

Topik Popular

 

Siaran Media
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


MESKIPUN JUMLAH HUTANG DAN LIABILITI KERAJAAN DIKURANGKAN DARIPADA 79.3% BERBANDING KDNK PADA 2017 KEPADA 75.4% PADA 2018, HUTANG LANGSUNG BERTAMBAH DARIPADA 50.1% BERBANDING KDNK PADA 2017 KEPADA 51.2% PADA 2018 KERANA KERAJAAN PAKATAN HARAPAN MENOLAK AMALAN PEMBIAYAAN LUAR BELANJAWAN BAGI MENYEMBUNYIKAN HUTANG-HUTANG YANG MERAGUKAN



Meskipun jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan dikurangkan daripada 79.3% berbanding KDNK pada tahun 2017, kepada 75.4% pada tahun 2018, hutang langsung bertambah daripada 50.1% berbanding KDNK pada tahun 2017 kepada 51.2% pada tahun 2018 kerana Kerajaan Pakatan Harapan menolak amalan pembiayaan luar belanjawan bagi menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan.


Setelah Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mei 2018, semakan semula yang menyeluruh telah dilaksanakan terhadap obligasi kewangan Kerajaan dan ia mengesahkan bahawa hutang dan liabiliti Kerajaan sehingga akhir 2017 adalah sebanyak RM1.087 trilion. Angka ini turut disahkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dianggotai wakil Kerajaan dan pembangkang dalam laporan mereka bertarikh 17 Julai 2019.


Sebahagian besar daripada jumlah ini merupakan hutang dan liabiliti yang sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu. Ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.


Liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan Kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai “Kerjasama Awam Swasta (PPP)” atau “Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI)”. Namun, kos pembiayaan, risiko dan obligasi kesemua projek ini dipikul oleh Kerajaan Persekutuan. PPP dan PFI telah disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah.


Kerajaan baharu ini telah mendapat pengiktirafan daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis pelaburan atas peningkatan dalam ketelusan dan tahap tadbir urus yang baik. Walaupun kedudukan kewangan Kerajaan telah menjadi lebih telus, mereka telah berulang kali mengesahkan taraf kredit negara pada A-/A3 sejak itu yang mengisyaratkan keyakinan mereka bahawa Kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang konkrit untuk menangani kelemahan-kelemahan yang wujud.


Malah dalam tempoh masa yang singkat, jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan telah berjaya dikurangkan secara ketara daripada 79.3% berbanding KDNK pada 31 Disember 2017 kepada 75.4% pada tahun seterusnya. Ini dipaparkan dalam Jadual 1 di bawah di mana komponen “Lain-lain liabiliti” telah dikurangkan daripada 19.0% kepada 12.8% berbanding KDNK. Hutang 1MDB juga telah dikurangkan daripada 2.8% kepada 2.2% berbanding KDNK.

 

Jadual 1: Jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan berbanding KDNK pada 2017 dan 2018

Komponen 2017 2018
Hutang Langsung 50.1% 51.2%
Jaminan Kerajaan Yang Ditanggung Dan Dibiayai Oleh Kerajaan (Committed government guarantees) 7.4% 9.2%
1Malaysia Development Bhd ( hutang bersih) 2.8% 2.2%
Lain-lain liabiliti (PPP, PFI & PBLT) 19.0% 12.8%
Jumlah hutang dan liabiliti 79.3% 75.4%

 

Hutang langsung meningkat daripada 50.1% berbanding KDNK pada tahun 2017 kepada 51.2% pada tahun 2018 untuk membiayai defisit kewangan secara langsung, tanpa Kerajaan perlu menggunakan kaedah pembiayaan luar belanjawan untuk menyembunyikan hutang-hutang yang meragukan seperti yang diamalkan oleh pentadbiran dahulu.

Pada masa yang sama, jaminan kerajaan meningkat disebabkan oleh projek-projek yang sedang diteruskan, seperti MRT2 dan Lebuhraya Pan-Borneo menerusi DanaInfra, serta LRT3 menerusi Prasarana. Jadual 2 menyenaraikan peningkatan utama bagi jaminan kerajaan.

 

Jadual 2: Peningkatan utama bagi jaminan kerajaan (RM bilion)

Bil Jaminan Kerajaan 2017 2018 Peningkatan
1 DanaInfra Nasional Berhad 42.2 52.7 10.5
2 Malaysia Rail - Link Sdn Bhd (ECRL) 14.5 18.9 4.4
3 Prasarana Malaysia Sdn Bhd 26.5 31.4 4.9
4 SSER (TSGP & MPP) 2.9 7.9 5.0
5 Sentuhan Budiman Sdn Bhd (1MDB) - 0.8 0.8
6 SRC International Sdn Bhd - 3.6 3.6

 

Kerajaan sedar bahawa projek-projek tersebut bakal meningkatkan jumlah jaminan kerajaan secara ketara dalam tahun-tahun akan datang. Oleh itu, Kerajaan telah berjaya merunding semula kos projek-projek mega tersebut. Kos keseluruhan bagi LRT3 telah dikurangkan daripada RM31.6 bilion daripada RM16.6 bilion, kos pembinaan MRT2 dikurangkan daripada RM39.4 bilion kepada RM30.5 bilion, manakala kontrak pembinaan ECRL dengan China Communications Construction Company (CCCC) telah dikurangkan daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion. Pengurangan kos untuk 3 projek ini sahaja dapat mengurangkan jumlah jaminan kerajaan dengan sekurang-kurangnya RM46 bilion, jika dibandingkan dengan jumlah kos sekiranya semua projek tersebut diteruskan tanpa sebarang usaha rasionalisasi.

Untuk projek TGSP dan MPP SSER, RM8.3 bilion atau 88% daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM9.4 bilion telah dibayar oleh SSER meskipun hanya 13% kerja dilaporkan selesai. Walau bagaimanapun, sehingga kini tidak terdapat bukti bahawa sebarang kerja telah dilakukan. Projek yang penuh dengan skandal ini telah dihentikan. Pemimpinpemimpin kerajaan terdahulu masih gagal menjelaskan mengapa RM8.3 bilion, atau 88% daripada kos kontrak, telah dibayar sedangkan hampir tiada kerja dilakukan.

Penyahlaburan dan Pengembalian Aset

Pejabat Perdana Menteri berkuasa sepenuhnya dalam menyahlabur pelbagai aset bukan-teras dan bukan-kritikal untuk mengimbangkan kembali portfolio Kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam. Hasil daripada penyahlaburan, apabila dikembalikan kepada perbendaharaan Kerajaan dalam bentuk dividen, akan diperuntukkan ke arah pengurangan hutang dan liabiliti Kerajaan.

Kerajaan sedang berusaha secara aktif untuk mendapatkan kembali aset untuk dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB di serata dunia. Sebanyak RM925.1 juta telah dapat dikembalikan sehingga kini, tidak termasuk penjualan kapal layar mega Equanimity untuk RM523 juta. Jumlah ini dan hasil usaha pengembalian akan datang akan digunakan sepenuhnya untuk membayar kembali hutang-hutang 1MDB.

Walaupun dibebani kekangan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu, Kerajaan Persekutuan tetapi komited terhadap usaha konsolidasi fiskal, dan pada masa yang sama memastikan Malaysia dapat kekal berkembang secara mampan, walaupun suasana ekonomi global adalah lemah.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 September 2019