wrapper

Topik Popular

SIARAN MEDIA
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


KETERANGAN KEMENTERIAN KEWANGAN MENGENAI ISU PENGEMASKINIAN SENARAI PANEL DI BAWAH KONTRAK PANEL BERPUSAT (KPB) BAGI BEKALAN DAN PENGHANTARAN PERABOT PELBAGAI JENIS KEPADA SEMUA AGENSI KERAJAAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA


Kementerian Kewangan ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada 11 September 2019 berhubung dakwaan Kementerian Kewangan tidak berlaku adil terhadap 33 syarikat perabot Bumiputera daripada senarai Kontrak Panel Berpusat (KPB).

Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa pada 22 Jun 2018, Kementerian Kewangan telah menyenaraikan 87 syarikat pengeluar perabot Bumiputera sebagai panel di bawah KPB Perabot untuk tempoh 3 tahun iaitu mulai 1 Julai 2018 sehingga 30 Jun 2021. Syarikat yang terbabit dikehendaki untuk mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh satu(1) tahun kontrak berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2019 (tarikh akhir mendapatkan pensijilan). Kegagalan untuk mematuhi syarat tersebut akan menyebabkan syarikat terbabit digugurkan secara automatik daripada senarai KPB. Sebanyak 54 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan FRIM PCS dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 30 Jun 2019. Manakala status kemaskini setakat 11 September 2019 untuk baki 33 syarikat yang gagal memperoleh sijil dalam tempoh tersebut menunjukkan hanya 13 syarikat telah berjaya mendapatkan pensijilan, 15 syarikat masih dalam proses pengujian dan 5 syarikat lagi langsung tidak mengemukakan permohonan kepada FRIM.

Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan FRIM PCS merupakan inisiatif Kerajaan di bawah Program Pemerkasaan Industri Perabot Bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan kualiti perabot yang dikeluarkan oleh syarikat perabot Bumiputera supaya mampu menembusi pasaran luar dan pada masa yang sama, perabot yang dibekalkan kepada Kerajaan turut mendapat jaminan kualiti.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah dilantik sebagai regulator memandangkan FRIM merupakan badan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai Badan Pensijilan Produk oleh Furniture Industry Research Association (FIRA) dan Jabatan Standard Malaysia. Bagi memastikan industri bersedia dengan penguatkuasaan pensijilan ini, Kementerian Kewangan bersama FRIM telah mengadakan 17 siri libat urus dengan pengusaha-pengusaha yang terlibat termasuk ahli Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera (PETRA). Sehubungan itu, Kementerian Kewangan sangat menghargai kerjasama yang ditunjukkan oleh majoriti pengusaha yang telah berjaya mendapatkan pensijilan PCS dalam tempoh yang ditetapkan. Ini membuktikan pengusaha Bumiputera yang terlibat bersedia untuk meningkatkan produk mereka ke satu standard yang lebih tinggi. 

Bagi menangani isu kegagalan mendapatkan pensijilan FRIM PCS ini, kali terakhir Kementerian Kewangan telah mengadakan sesi perbincangan pada 8 Ogos 2019 bersama semua persatuan yang terlibat iaitu Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera (PETRA), Persatuan Usahawan Perabot Bumiputera Kebangsaan Malaysia (PUPUK), Persatuan Perabot Makmal Sains (PEMASA) dan Persatuan KayuKayan & Perabot Bumiputera (PEKA). Pada perjumpaan tersebut, antara perkara yang telah dipersetujui adalah untuk menyampaikan pertimbangan kepada Kerajaan agar memberi kelonggaran kepada pengusaha-pengusaha yang masih belum selesai proses pensijilan manakala syarikat yang langsung tidak menunjukkan minat untuk pengujian produk mereka, digugurkan daripada senarai panel KPB Perabot. 

Kementerian Kewangan sangat prihatin dengan rayuan daripada ahli persatuan yang masih belum selesai proses pengujian produk mereka. Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh bagi mendapatkan pensijilan FRIM PCS selama 6 bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember 2019. Kelonggaran ini tidak melibatkan 5 syarikat yang langsung tidak mengemukakan produk mereka untuk pensijilan FRIM PCS. Namun demikian, sekiranya syarikat masih berminat untuk menyertai KPB Perabot, pengusaha-pengusaha ini boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan, tertakluk kepada syarikat telah memperolehi pensijilan FRIM PCS dalam tempoh lanjutan ini. 

 

Sayangi Malaysiaku!

Dato’ Wira Haji Amiruddin Bin Haji Hamzah
Timbalan Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia

11 September 2019