wrapper

Topik Popular

Siaran Media
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Terbitan Bon Samurai Siri Kedua


Kementerian Kewangan menanti arahan lanjut daripada YAB Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan dengan kenyataan beliau di Jepun semalam bahawa Malaysia mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan. Perdana Menteri berkata Malaysia telah menerima persetujuan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, bagi terbitan bon tersebut dan kini ia terpulang kepada YB Menteri Kewangan,Lim Guan Eng, untuk meneruskan rundingan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan telah menerima arahan Perdana Menteri pada bulan Jun 2019 untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan, setelah lawatan beliau ke Jepun pada akhir bulan Mei 2019, di mana Perdana Menteri Jepun telah menawarkan bon Samurai siri kedua. Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan untuk bersetuju secara prinsip, dengan butiran lanjut untuk diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Setelah rundingan Menteri Kewangan dengan pihak Kerajaan Jepun, khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan bon samurai tersebut, pihak JBIC telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman kepada 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun. Ini berbanding dengan 0.63 peratus oleh JBIC dengan tempoh matang 10 tahun, bagi pinjaman bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion yen pada bulan Mac tahun ini.

Sungguhpun kadar bon Samurai siri kedua yang ditawarkan kali ini adalah lebih rendah, YAB Perdana Menteri juga mengambil kira pandangan pelbagai pihak. Kementerian Kewangan bersiap sedia untuk bertindak sekiranya terbitan bon Samurai siri kedua diteruskan.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
8 September 2019