wrapper

Topik Popular

Siaran Media
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA BERKEMBANG SECARA MAMPAN DALAM SEPARUH KEDUA 2019 BERIKUTAN PERTUMBUHAN EKSPORT JULAI 2019 YANG MENGATASI JANGKAAN PASARAN DAN PENINGKATAN PELABURAN ASING YANG DILULUSKAN SEBANYAK 97.2% UNTUK SEPARUH PERTAMA TAHUN INI


Eksport Malaysia untuk bulan Julai 2019 telah meningkat sebanyak 1.7% kepada RM88.0 bilion daripada RM86.5 bilion setahun yang lalu meskipun suasana antarabangsa kekal mencabar akibat ketegangan perdagangan yang memburuk dan kelembapan pertumbuhan ekonomi global. Pertumbuhan tersebut mengatasi jangkaan pasaran yang menjangkakan eksport Malaysia jatuh 2.5% tahun-ke-tahun, seperti yang dikumpul oleh Bloomberg (Jadual 1).

 Jadual 1: Pertumbuhan Eksport Sebenar Berbanding Jangkaan untuk Julai 2019

  Pertumbuhan Sebenar Pertumbuhan Jangkaan

Eksport

tahun - ke - tahun

1.7 % -2.5%

 

Daya tahan eksport negara telah menginjak lebihan dagangan Malaysia untuk bulan Julai 2019 naik sebanyak 75.6% kepada RM14.3 bilion, daripada RM8.1 bilion pada bulan yang sama tahun lalu. Ini merupakan lebihan dagangan yang tertinggi dalam sejarah untuk bulan Julai, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ekonomi Malaysia dijangka berkembang dengan mampan dalam suku ketiga 2019, setelah KDNK berkembang pesat pada kadar 4.9% dalam suku kedua.

Untuk tempoh Januari-Julai 2019, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM81.6 bilion, iaitu 15.9% lebih besar daripada RM70.5 bilion yang dicatat dalam tempoh Januari-Julai 2018. Imbangan dagangan yang sihat ini akan mengekalkan akaun semasa negara dalam keadaan lebihan untuk tahun ini, dan melindungi ekonomi domestik daripada ketidaktentuan yang meningkat akibat faktor-faktor global berikutan perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlarutan.

Lencongan dagangan antara sebab permintaan untuk barangan Malaysia meningkat

Kesan daripada lencongan dagangan telah membantu eksport Malaysia ke China dan Amerikat Syarikat dalam bulan Julai 2019 masing-masing meningkat setinggi 3.8% dan 7.9% berbanding setahun yang lalu. Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sebuah laporannya baru-baru ini menyatakan Malaysia telah meraut pasaran import negara China dan Amerika Syarikat yang lebih besar untuk barangan tertentu.

Dalam tempoh Julai 2018 sehingga April 2019, bahagian Malaysia untuk alatan semikonduktor fotosensitif dan transistor diod yang diimport oleh Amerika Syarikat meningkat sekitar 10% dan 6%, masing-masing. Dalam tempoh yang sama, bahagian Malaysia untuk barangan petrokimia yang diimport oleh negara China meningkat hampir 25%.

Lencongan pelaburan turut berlaku

Malaysia juga mendapat manfaat daripada lencongan pelaburan. Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan bahawa pelaburan asing yang diluluskan untuk separuh pertama 2019 telah meningkat 97.2% kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion pada tahun lalu (Jadual 2).

 Jadual 2: Pelaburan Asing Diluluskan Merentas Semua Sektor

Tahun Pelaburan Diluluskan
2016 RM59.0 bilion
2017 RM54.4 bilion
2018 RM80.1  bilion
Januari - Jun 2019 RM49.5 bilion

Pelaburan pembuatan diluluskan daripada AS telah melonjak kepada RM11.7 bilion pada tempoh yang sama daripada RM307 juta tahun lalu. Pada tahun 2018, jumlah FDI yang diluluskan meningkat sebanyak 47.1% kepada RM80.1 bilion daripada RM54.4 bilion pada tahun 2017. Lonjakan dalam pelaburan diluluskan daripada AS untuk separuh pertama 2019 mempamerkan keyakinan pelabur Amerika Syarikat ke atas Malaysia. Keyakinan ini juga dicerminkan oleh syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di dalam negara.

Berdasarkan kepada sebuah kaji selidik yang dijalankan oleh American Malaysian Chamber of Commerce (AMCHAM) pada tahun 2019, 76% daripada 37 syarikat yang disurvei, termasuk Agilent, Dell, Freescale, Motorola, Texas Instruments dan Western Digital berkata bahawa mereka merancang untuk mengembangkan pelaburan mereka di Malaysia dalam tempoh 5 tahun yang akan datang. AMCHAM juga percaya bahawa suasana perniagaan domestik akan bertambah baik, berdasarkan kepada dapatan yang menunjukkan bahawa dua pertiga daripada syarikat yang disurvei akan mengembangkan perniagaan mereka dalam masa terdekat.

Kerajaan akan meneruskan usaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya daripada China dan Amerika Syarikat, ke dalam negara untuk menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi untuk semua rakyat Malaysia. Kementerian Kewangan juga akan mengawasi keadaan ekonomi negara secara rapi supaya langkah-langkah yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dapat diambil dengan segera jika perlu.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
6 September 2019