wrapper

Topik Popular

Siaran Media
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


KERAJAAN SEDANG BERUSAHA UNTUK MENDAPATKAN KEMBALI DANA UNTUK MEMBAYAR HUTANG RM4 BILION YANG DIPINJAM DARIPADA KWAP KEPADA SRC


Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan.

SRC merupakan sebuah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2012. Oleh itu, beban kewangan SRC hari ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion (USD1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk :

  • BSI Bank di Switzerland (lebih USD800 juta)
  • Bank Julius Baer & Co. Ltd di Hong Kong (USD 250 juta)
  • sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (USD 60 juta).

Memandangkan sebahagian besar dana ini telah digunakan di merata dunia, Kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk mengembalikan seberapa banyak dana RM4 bilion tersebut.

Justeru, Kerajaan melalui SRC sedang giat mengambil tindakan sivil untuk tujuan tersebut dan bekerja dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk menjejak wang tersebut, selain bekerja dengan penasihat undang-undang untuk menentukan tindakan sivil yang boleh diambil bagi mendapatkan kembali aset SRC.

Langkah-langkah untuk mengembalikan wang di atas adalah tidak termasuk sebahagian dana SRC berjumlah RM42 juta yang didakwa telah diselewengkan dari SRC, yang merupakan perkara subjek 7 pertuduhan jenayah yang mana prosiding kes tersebut masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Segala dana yang dapat dikembalikan kepada SRC dalam usaha di atas akan digunakan untuk membayar balik pinjaman daripada KWAP. Pada masa yang sama, ini akan mengurangkan bebanan Kerajaan untuk membayar balik pinjaman tersebut bagi pihak SRC, dan melebihkan peruntukan kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 September 2019