wrapper

Topik Popular

Siaran Media
MENTERI KEWANGAN MALAYSIA
YB TUAN LIM GUAN ENG


KEMENTERIAN KEWANGAN KOMITED DALAM MEMASTIKAN OBLIGASI PEMBAYARAN PEMBIAYAAN SRC INTERNATIONAL SDN BHD DIPENUHI DAN SENTIASA MEMATUHI JADUAL PEMBAYARAN BALIK KEPADA KWAP


Seperti yang sedia maklum, SRC International Sdn Bhd (SRC) telah ditubuhkan sebagai anak syarikat kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 7 Januari 2011. Objektif penubuhan SRC adalah untuk mengenal pasti dan melabur dalam projek yang berkaitan dengan cari gali, pengekstrakan, pemprosesan dan perdagangan sumber tenaga konvensional dan sumber asli diperbaharui dan mineral termasuk memperoleh dan memegang saham, stok atau sekuriti syarikat. Pegangan saham SRC telah dipindah milik kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) pada 15 Februari 2012 dengan kaedah pengambilalihan saham melalui bayaran interim dividend-in-specie.

Malangnya SRC juga terlibat secara langsung dalam skandal penyelewengan kewangan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan tanpa didedahkan kepada orang awam.

Merujuk kepada skandal kewangan yang dihadapi SRC, syarikat berkenaan telah mengalami situasi kewangan yang kritikal sejak tahun 2015, sehingga menyebabkan ia tidak dapat memenuhi obligasi pembayaran pembiayaan dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). SRC telah meminjam sebanyak RM4 bilion daripada KWAP pada 26 Ogos 2011 (pinjaman pertama berjumlah RM2.0 bilion) dan 27 Mac 2012 (pinjaman kedua yang berjumlah RM2.0 bilion) yang dijamin penuh oleh Kerajaan Persekutuan. Memandangkan pembiayaan berkenaan dijamin oleh Kerajaan dan bagi mengelakkan kejadian keingkaran pembayaran balik pinjaman (event of default), adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk mematuhi jadual pembayaran balik pembiayaan berkenaan.

Sejak tahun 2015, Kementerian Kewangan komited dalam memastikan obligasi pembayaran dipenuhi dan sentiasa mematuhi jadual pembayaran balik kepada KWAP agar tidak berlakunya “default” dan kepentingan KWAP dan pesara terus terjamin dan dilindungi. Jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi pihak SRC International Sdn Bhd adalah sebanyak RM1,691,822,628.05. Daripada jumlah berkenaan, pembayaran terkini yang dibuat adalah pada 29 Ogos 2019 iaitu sebanyak RM344,681,265.07 yang merangkumi RM300 juta prinsipal dan faedah sebanyak RM44,681,265.07.

Berdasarkan jadual pembayaran balik, tarikh pembayaran berikutnya adalah pada 30 September 2019 melibatkan amaun sebanyak RM43,023,748.31 (faedah). Jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada baki pembiayaan sebanyak RM3,807,858,447.99 yang akan berakhir pada tahun 2022.

Kementerian Kewangan akan memastikan peruntukan secukupnya disediakan bagi menyelesaikan pembiayaan berkenaan kepada KWAP, yang membuktikan kemampuan Kerajaan Persekutuan (sungguhpun terdesak dalam aspek fiskal) untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

 

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
2 September 2019