wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


KENYATAAN MENGENAI PENGECUALIAN DUTI / CUKAI KE ATAS PEMBELIAN KENDERAAN RASMI EXCO PULAU PINANG OLEH KERAJAAN NEGERI


Dasar Kerajaan menetapkan bahawa perolehan kereta saloon/motokar jenis pemasangan tempatan (CKD) sahaja oleh Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri layak menikmati pengecualian duti/cukai di bawah perintah-perintah berikut:

  1. Butiran 7 dan 8 Perintah Duti Eksais (Pengecualian) 2017; dan
  2. Butiran 3, 4 dan 5 Perintah Cukai Jualan (Orang Yang Dikecualikan Daripada Pembayaran Cukai) 2018.

Manakala perolehan kereta saloon / motokar jenis import (CBU) yang dibuat oleh mana-mana Jabatan Persekutuan dan Negeri tidak layak menikmati pengecualian duti/cukai di bawah perintah tersebut.

Ia selaras dengan dasar perolehan Kerajaan yang memperuntukkan bahawa perolehan kenderaan jabatan hanya boleh dibuat melalui pengilang tempatan atau kenderaan pemasangan tempatan (CKD) kecuali jika terdapat keperluan khusus kepada jabatan berkenaan seperti Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 7.3.

Sehubungan itu, perolehan Toyota Camry (CKD) oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2013 telah mendapat pengecualian duti/cukai melalui Perintah di atas kerana model tersebut merupakan kereta saloon/motokar jenis CKD ketika itu.

Walau bagaimanapun memandangkan model tersebut tidak lagi dipasang dalam negara, perolehan Toyota Camry import oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun ini tidak layak menikmati pengecualian duti/cukai melalui perintah di atas.

Kementerian Kewangan ada menerima permohonan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 4 Mac 2019 untuk pengecualian duti / cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut tetapi tidak dipertimbangkan, selaras dengan dasar semasa yang berkuat kuasa. Permohonan dari Kerajaan Negeri Selangor juga telah diterima pada 28 November 2018 dan keputusan yang sama dibuat di mana pengecualian duti/cukai tersebut juga tidak dipertimbangkan.

Bagi perolehan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Kewangan tidak pernah menerima permohonan untuk pengecualian duti / cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut dan tiada kelulusan pernah diberikan kepada Kerajaan Negeri Perak berhubung pengecualian duti / cukai yang terlibat. Perlu ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan tidak meluluskan pengecualian duti/cukai kepada Kerajaan negeri untuk motokar import CBU. Oleh itu, dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah mendapat pengecualian duti / cukai yang tidak diluluskan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak benar.

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
27 Ogos 2019