wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


LAMAN WEB KHAS #belanjawan2020:KONGSIKAN CADANGAN ANDA


Rakyat Malaysia kini berpeluang untuk menyumbangkan idea dan cadangan dalam penyediaan Belanjawan Negara bagi tahun 2020 yang akan dibentangkan pada 11 Oktober 2019. Laman Web Khas #belanjawan2020 membolehkan semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan selaras dengan usaha Kerajaan untuk membina negara dan menyejahterakan Rakyat.

Dalam usaha ini, Kerajaan telah menganjurkan Majlis Konsultasi Belanjawan yang merupakan satu forum utama di mana pelbagai pihak dari sektor swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi dijemput untuk hadir bagi menyumbang idea dan cadangan yang konstruktif untuk dipertimbangkan sebagai input dalam merangka strategi dan langkah- langkah Belanjawan.

Di samping itu, beberapa siri konsultasi kumpulan fokus akan diadakan bersama Kerajaan Negeri seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah serta Kementerian-Kementerian bermula 9 Ogos 2019.

Justeru, rakyat boleh menggunakan pelbagai saluran medium untuk berkongsi input atau cadangan melalui laman web khas di alamat belanjawan2020.treasury.gov.my dan menggunakan tanda pagar (hashtag) #belanjawan2020 di media sosial Facebook, Instagram dan Twitter. Cadangan boleh dikemukakan mulai 9 Ogos hingga 11 September 2019.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

8 Ogos 2019