wrapper

Topik Popular

Siaran Media
menteri Kewangan Malaysia
YB TUAN LIM GUAN ENG


Pengutamaan Pertumbuhan Ekonomi Mampan Dapat Memastikan Kejayaan Mencapai Sasaran Kemakmuran Bersama Setelah Kebimbangan Berlakunya Deflasi Reda Apabila Kadar Inflasi Malaysia Untuk Jun 2019 Meningkat Kepada 1.5% Tahun-ke-Tahun Daripada 0.2% Untuk Mei 2019


Pengutamaan pertumbuhan ekonomi mampan dapat memastikan kejayaan mencapai sasaran kemakmuran bersama setelah kebimbangan berlakunya deflasi reda apabila kadar inflasi Malaysia untuk Jun 2019 meningkat kepada 1.5% tahun-ke-tahun daripada 0.2% untuk Mei 2019. Peningkatan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk bulan Jun 2019 sebanyak 1.5% tahun-ke-tahun juga disebabkan oleh perubahan dalam rejim percukaian.

Dalam bulan Jun 2018, kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah dikadarsifarkan untuk memenuhi janji Kerajaan untuk menambah baik kesejahteraan ekonomi rakyat, dan telah digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Meskipun terdapat peningkatan harga untuk bulan Jun, kadar inflasi untuk enam bulan pertama 2019 masih kekal pada 0.2% tahun-ke-tahun (Jadual 1).

Jadual 1: Kadar inflasi untuk Januari ke Jun 2019

Tempoh Inflasi (tahun-ke-tahun)
Januari -0.7%
Februari -0.4%
Mac 0.2% 
April 0.2%
Mei  0.2%
Jun  1.5%
Separuh tahun pertama 2019  0.2%

Ini menjawab kebimbangan tentang kemungkinan deflasi apabila indeks harga pengguna telah menurun sedikit sebanyak 0.7% dan 0.4% tahun-ke-tahun masing-masing untuk Januari dan Februari 2019, sebelum meningkat 0.2% tahun-ketahun setiap bulan untuk Mac, April dan Mei. Selain penggantian GST dengan SST, pengurangan paras siling harga runcit untuk RON95 daripada RM2.20 seliter kepada RM2.08 seliter telah membantu mengurangkan kadar inflasi dan meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Perkembangan ekonomi yang berterusan dan mapan

Kadar inflasi yang secara amnya rendah dan stabil berlaku semasa ekonomi sedang berkembang mapan. Kadar pertumbuhan indeks pertumbuhan perindustrian Malaysia telah berkembang lebih daripada konsensus pasaran untuk bulan ketiga secara berturut-turut sedangkan pada Mei 2019, ia telah berkembang 4.0% tahun-ke-tahun mengatasi unjuran pasaran sebanyak 3.5% tahun-ke-tahun seperti dilaporkan oleh Bloomberg. Eksport untuk bulan Mei 2019 telah meningkat 2.5% tahun-ke-tahun, yang juga melebihi jangkaan pasaran.

Jualan borong dan runcit meningkat 5.6% dan 8.2% tahun-ke-tahun masing-masing untuk tempoh Januari-Mei 2019. Tambahan lagi, jualan kenderaan untuk lima bulan pertama 2019 meningkat 13% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menunjukkan bahawa terdapat pertumbuhan permintaan domestik yang sihat untuk separuh pertama tahun ini.

Petunjuk-petunjuk ini mengisyaratkan bahawa pertumbuhan suku kedua KDNK adalah menggalakkan, setelah ekonomi Malaysia berkembang dengan mampan sebanyak 4.5% tahun-ke-tahun untuk suku pertama 2019. Kerajaan positif tentang prospek perkembangan ekonomi yang mampan untuk suku kedua. Pada masa yang sama, Bank Dunia mengunjurkan KDNK Malaysia akan berkembang sebanyak 4.6% untuk 2019. Kerajaan akan terus mengutamakan perkembangan ekonomi, dan mempertimbangkan belanjawan pengembangan demi memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat dan mencapai sasaran ekonomi iaitu kemakmuran bersama.

 
Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

26 Julai 2019