wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia

Pembaharuan Institusi, Kestabilan Politik, Transparensi Dan Akauntabiliti Fiskal, Pengurusan Dan Pengurangan Hutang Dan Liabiliti, Tadbir Urus Yang Baik Serta Pertumbuhan Ekonomi Yang Mampan Adalah Faktor Positif Dalam Pengekalan Penarafan Kredit Berdaulat Malaysia


Kementerian Kewangan menyambut baik pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dengan unjuran stabil oleh Fitch Ratings pada 18 Julai 2019. Keputusan untuk mengekalkan penarafan kredit Kerajaan Malaysia oleh Fitch Ratings, menyusuli pengekalan yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai 2019. Malaysia telah mengejutkan para skeptik yang menjangkakan penarafan kredit berdaulat negara akan diturunkan akibat beban hutang dan masalah salah tadbir urus yang berpunca daripada masalah legasi pentadbiran terdahulu.

Pembaharuan institusi yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempertingkatkan transparensi fiskal dan menangani kes-kes korupsi berprofil tinggi yang akan memperbaiki indikator pentadbiran Malaysia secara beransur-ansur telah berjaya meyakinkan Fitch Ratings dan S&P Global Ratings bahawa penarafan kredit berdaulat Malaysia layak dikekalkan.

Pembaharuan institusi adalah faktor positif dalam penarafan kredit

Agensi penarafan kredit menilai sesuatu kerajaan berdasarkan kepada beberapa faktor, termasuk disiplin fiskal, asas ekonomi, kestabilan politik dan kualiti institusi. Fitch menjangkakan bahawa kualiti institusi Malaysia akan bertambah baik berdasarkan kepada pelaksanaan tender terbuka dengan lebih meluas, transparensi fiskal, langkah-langkah anti-korupsi dan pembaharuan institusi yang menggalakkan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban fiskal.

Indeks Kebebasan Akhbar Dunia (World Press Freedom Index) yang diterbitkan Reporters Without Borders telah meletakkan Malaysia di tangga ke-123 pada tahun 2019, iaitu 22 anak tangga lebih tinggi berbanding kedudukan ke-145 pada tahun 2018. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki media terbebas di rantau Asia Tenggara. Tambahan lagi, kedudukan Malaysia telah naik 9 anak tangga ke tempat ke-15 daripada ke-24 dalam laporan Ease of Doing Business terbitan Bank Dunia pada tahun ini.

Menguruskan hutang dan liabiliti kerajaan

Pengesahan Fitch sekali lagi jelas membuktikan bahawa peningkatan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan Kerajaan apabila nisbah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah berjaya dikurangkan berbanding KDNK. Seperti yang dilaporkan, nisbah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDNK telah dikurangkan sebanyak 3.9 mata kepada 75.4% pada akhir-2018 daripada 79.3% pada akhir-2017.

Kerajaan juga yakin akan bahawa defisit fiskal akan berjaya dikurangkan daripada 3.7% pada tahun 2018 kepada 3.4% pada tahun 2019. Ini akan membantu meredakan kebimbangan yang wujud tentang tahap keberhutangan kerajaan. Dalam hal ini, Fitch mengunjurkan bahawa tahap hutang kerajaan berbanding KDNK akan beransur kurang dalam beberapa tahun yang akan datang kerana adanya pelan konsolidasi fiskal yang jelas.

Pertumbuhan ekonomi mampan adalah kelebihan Malaysia

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.6% pada tahun ini. Data jualan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa perdagangan borong dan runcit masing-masing telah tumbuh 5.6% dan 8.2% tahun- ke-tahun dalam tempoh Januari-Mei 2019. Kadar inflasi yang rendah dan stabil juga sedang menggalakkan pertumbuhan perbelanjaan. Dalam bulan Mei 2019, indeks harga pengguna naik hanya 0.2% tahun-ke-tahun, dan tidak berubah daripada kadar bulan sebelumnya.

Fitch dalam laporan globalnya turut menekankan penurunan 13% dalam jualan semikonduktor dunia untuk separuh pertama tahun 2019 berbanding tahun lepas, serta pertumbuhan permintaan yang berkurang untuk barangan modal dan jualan kenderaan sebagai faktor-faktor yang mempengaruhi kelembapan pertumbuhan perdagangan dunia. Walau bagaimanapun, statistik untuk Malaysia masih lagi positif.

Dalam tempoh Januari hingga Mei 2019, jumlah kenderaan yang dijual telah meningkat sebanyak 13% berbanding tempoh sama tahun lepas. Untuk separuh pertama tahun 2019, jualan Proton melonjak 60% kepada 43,518 unit, manakala jualan Perodua meningkat 4% kepada 121,782 unit berbanding tahun lalu. Perodua telah meningkatkan unjuran jualan mereka untuk tahun 2019, di mana kilang pembuatan mereka sudah beroperasi pada kadar kapasiti penuh, dan berkemungkinan besar akan berjaya capai jualan tahunan tertinggi pada tahun ini.

Pengeluaran perindustrian Malaysia juga sedang berkembang walaupun dunia berdepan dengan perang perdagangan Amerika Syarikat-China. Peralihan perniagaan serta lencongan perdagangan dan pelaburan telah menyumbang kepada peningkatan pelaburan langsung asing yang diluluskan sebanyak 73.4% kepada RM29.3 bilion pada suku pertama tahun 2019, berbanding hanya RM16.9 bilion pada tahun lepas. Peningkatan suku pertama 2019 ini didorong oleh kenaikan pelaburan langsung asing ke dalam sektor pembuatan sebanyak 127% kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Indeks pengeluaran perindustrian pada bulan Mei 2019 telah berkembang 4.0% tahun-ke-tahun mengatasi konsensus pasaran sebanyak 3.5% seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg. Eksport dalam bulan Mei juga telah mengatasi jangkaan pasaran apabila ia meningkat 2.5% tahun-ke-tahun. Lebih penting lagi, Malaysia akan terus dapat mengekalkan lebihan akaun semasa bagi melindungi ekonomi domestik daripada cabaran luaran.

Kadar pengangguran telah berkurang ke 3.3% dalam bulan Mei daripada 3.4% dalam bulan April, manakala sektor perbankan pula mempunyai modal yang mencukupi dengan akses kepada pasaran yang mempunyai tahap kecairan yang tinggi sambil diawasi oleh Bank Negara Malaysia yang bebas dan berwibawa. Perkembangan positif ini akan membawa kepada pertumbuhan KDNK yang mampan dalam suku ke-2 2019.

Penggunaan teknologi baharu akan meningkatkan produktiviti Malaysia dan seterusnya daya saing negara. Malaysia telah dinobatkan sebagai negara yang ke-22 paling berdaya saing dalam dunia oleh IMD dan inisiatif-inisiatif kerajaan berkaitan Industri 4.0 akan memastikan Malaysia kekal di hadapan.

Pihak Kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan institusi, mengekalkan kestabilan politik, transparensi dan akauntabiliti fiskal, mengurus pengurangan hutang dan liabiliti, tadbir urus baik serta pertumbuhan ekonomi mampan yang menjadi faktor- faktor positif dalam pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
20 Julai 2019