wrapper

Topik Popular

Siaran Media
  KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

KETUA SETIAUSAHA PERBENDAHARAAN MEMBERI SOKONGAN PENUH KE ARAH MEMASTIKAN BAYARAN BALIK GST RM19.4 BILION DIKEMBALIKAN KEPADA SYARIKAT


Saya selaku Ketua Setiausaha Perbendaharaan ingin menegaskan sokongan penuh ke atas usaha YB Menteri Kewangan untuk memastikan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion dikembalikan kepada syarikat yang membuat tuntutan dan telah melalui proses verifikasi JKDM antaranya adalah kumpulan korporat terbesar di Malaysia seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd. Saya bersependapat dengan rumusan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa sungguhpun tidak ada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Saya juga menyokong rumusan PAC bahawa kerajaan sebelum ini telah memasukkan semua hasil kutipan GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu dan kemudiannya dipindahkan secara berperingkat apabila diperlukan dan seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pembayaran Balik GST ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST. Ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 seperti yang dinyatakan oleh Peguam Negara.

Saya sama sekali tidak mahu sebarang laporan media oleh pihak tertentu mengenai Laporan PAC disalah tafsir yang boleh menimbulkan salah faham atau persoalan awam mengenai hubungan saya dengan YB Menteri Kewangan. Sejak dilantik sebagai KSP pada tahun lepas, saya mempunyai hubungan baik dan memberi kerjasama penuh kepada YB Menteri Kewangan dan turut serta dalam pelbagai tugas rasmi di luar negara dan yang terkini adalah lawatan kerja ke Republik Rakyat China pada awal bulan Julai 2019.

Saya menghargai keterbukaan YB Menteri Kewangan untuk mendengar semua idea dan menghormati perbezaan pandangan dalam mencapai keputusan yang terbaik bagi mencapai visi YB Menteri Kewangan ke arah urus tadbir CAT –Cekap,Akauntabiliti danTelus.

Dengan usaha bersungguh-sungguh ini dan semangat berpasukan, Kementerian Kewangan juga telah berjaya meyakinkan agensi penarafan kredit untuk mengekalkan taraf kredit antarabangsa Malaysia pada tahap A-atau A3; mengendalikan hutang dan liabiliti negara yang mencecah RM1 trilion dan menjayakan terbitan bon dengan lancar seperti bon samurai sebanyak Yen 200 bilion pada awal tahun ini.

DATUK AHMAD BADRI MOHD ZAHIR

Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

16 Julai 2019