wrapper

Topik Popular

Siaran Media
MENTERI Kewangan Malaysia
YB TUAN LIM GUAN ENG

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Mengesahkan Undang-Undang GST Telah Dilanggar Dan Wang Bayaran Balik GST Yang Gagal Dikembalikan Kepada Para Pembayar Cukai Telah Digunakan Untuk Tujuan Lain


Pada awal bulan Ogos 2018 apabila saya buat pertama kalinya memberitahu Dewan Rakyat bahawa terdapat tunggakan bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018, ramai para pembayar cukai terperanjat bahawa Akaun Amanah Bayaran Balik GST hanya mengandungi RM150 juta untuk melunaskan segala tunggakan bayaran balik GST. Tunggakan bayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion ini melibatkan 121,429 syarikat yang antaranya adalah kumpulan korporat terbesar di Malaysia seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Apabila GST diperkenalkan pada bulan April 2015, semua pembayar cukai telah dimaklumkan dan mempercayai bahawa Akta dan Peraturan GST jelas memperuntukkan mekanisme bayaran balik GST. Menurut mekanisme tersebut, segala kutipan GST akan dimasukkan terus ke dalam Tabung Bayaran Balik GST supaya bayaran balik dapat dilakukan oleh Kerajaan dalam masa 14 hari selepas Penyata GST (GST-03) difailkan secara elektronik (Carta 1).

Malangnya, kutipan GST tidak dimasukkan terus ke dalam Tabung Bayaran Balik GST, dan ini menyebabkan bayaran balik tersebut hanya dilakukan lebih daripada setahun kemudian. Sememangnya, wang bayaran balik GST yang dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan telah digunakan untuk tujuan lain oleh kerajaan terdahulu. Kelewatan pembayaran balik GST ini telah mengakibatkan para pembayar cukai mengalami kesulitan kewangan.

PAC dalam laporannya telah mengesahkan bahawa terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam bayaran balik GST:

i . Adalah amat jelas, Akta GST telah dilanggar seperti yang dimaklumkan oleh Peguam Negara kepada pihak PAC. Akta GST memerlukan kutipan GST dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran balik GST dibuat dalam masa 14 hari bekerja. Akan tetapi, ini telah gagal dilakukan seperti yang diperuntukkan oleh Akta GST. Sebaliknya, kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan. Peguam Negara menyatakan amalan ini menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah, serta tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014 (Carta 2).

ii . Kutipan GST milik pembayar cukai yang dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan telah digunakan oleh Kerajaan terdahulu untuk tujuan lain, dan seterusnya mengakibatkan kelewatan dalam membayar balik bayaran balik GST. Hanya sebahagian daripada kutipan GST (kira-kira 35% daripada jumlah kutipan GST) telah dipindahkan ke Tabung Bayaran Balik GST.

Rumusan laporan PAC menunjukkan bahawa Kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan GST untuk tujuan lain, dan seterusnya menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM19.25 bilion. Ini kerana Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei 2018 hanya mempunyai RM150 juta. Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sedangkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST.

Dalam hal ini, PAC telah mengesyorkan dua langkah berkaitan:

  1. Pentadbiran Kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.
  2. Pegawai-pegawai Kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran Kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih (without fear or favour), terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan yang lebih berakauntabiliti.

Kementerian Kewangan akan menghormati kedua-dua syor utama PAC ini bagi memastikan segala pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai wang bayaran balik GST oleh kerajaan terdahulu` tidak akan berulang lagi.

Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng

Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

16 Julai 2019