wrapper

Topik Popular

Siaran Media
  MENTERI Kewangan Malaysia
YB TUAN LIM GUAN ENG


Malaysia Mengatasi Jangkaan Pasaran Apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Bagi Bulan Mei 2019 Naik 4.0%, Dan Berserta Dengan Trend Eksport Dan Permintaan Domestik Yang Kukuh Dalam Bulan Yang Sama, Menggambarkan Pertumbuhan Ekonomi Suku Ke-2 2019 Yang Mapan


Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan bahawa indeks pengeluaran perindustrian (IPP)—iaitu sebuah pengukur output kilang tempatan dalam sektor pembuatan, perlombongan dan penghasilan tenaga elektrik—meningkat setinggi 4.0% berbanding setahun lalu. Bagi tempoh Januari-Mei 2019, IPP Malaysia berkembang sebanyak 3.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018. Pada 3 Julai 2019 pula, S&P Global Ratings’ (Standard and Poor’s) telah mengesahkan semula penarafan kredit Malaysia pada A- dengan jangkaan stabil.

Ini berbeza dengan trend pengeluaran perindustrian di ekonomi-ekonomi Asean lain yang sedang menguncup dalam bulan yang sama. Di Filipina, Singapura dan Thailand, pengeluaran perindustrian mereka masing-masing jatuh 2.1%, 2.4% dan 4.0% tahun-ke-tahun. Tambahan lagi, ekonomi Singapura bagi suku ke-2 2019 hanya berkembang 0.1% tahun-ke-tahun, dan ini bersamaan dengan penguncupan 3.4% suku-ke-suku. Ahli ekonomi HSBC iaitu Encik Joseph Incalcaterra menyatakan bahawa statistik terbaru dari Singapura merupakan “penunjuk awal kelembapan pertumbuhan ekonomi di rantau ini” akibat daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlanjutan.

Walaupun begitu, Kementerian Kewangan percaya peningkatan pengeluaran perindustrian tempatan yang kukuh untuk bulan Mei 2019, berserta dengan pertumbuhan berterusan bagi eksport dan permintaan domestik, menggambarkan pertumbuhan ekonomi yang mapan untuk suku ke-2 tahun 2019. Bank Dunia juga mengunjurkan ekonomi Malaysia untuk tumbuh 4.6% untuk seluruh tahun 2019. Data berasingan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar pengangguran untuk bulan Mei telah turun ke 3.3% daripada 3.4% pada bulan April. Jumlah penggangur dalam bulan Mei telah mengurang kepada 519,800 orang, berbanding 523,300 orang dalam bulan April.

Pertumbuhan pengeluaran perindustrian mengatasi jangkaan pasaran untuk kali ketiga berturut-turut

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) untuk bulan Mei 2019 meningkat 4.0% tahunke-tahun dan ini mengatasi konsensus pasaran seperti yang dikumpulkan oleh Bloomberg yang menjangkakan pertumbuhan 3.5% sahaja. Ini adalah kali ketiga berturut-turut pengeluaran perindustrian Malaysia mengatasi jangkaan pasaran (Jadual 1).

Jadual 1: Perbandingan antara pertumbuhan pengeluaran perindustrian dan jangkaan pasaran, seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg bagi bulan Mac, April dan Mei 2019

Bulan Sebenar
(tahun-ke-tahun)
Konsensus pasaran
(tahun-ke-tahun)
Mac 3.1% 2.3%
April 4.0% 2.5%
Mei 4.0% 3.5%

Pertumbuhan IPP yang kukuh juga dapat dilihat dalam nilai jualan pembuatan yang meningkat 6.7% kepada RM69.7 bilion untuk bulan Mei daripada RM65.5 bilion setahun lalu. Pada masa yang sama, nilai eksport untuk bulan Mei tumbuh 2.5% tahun-ke-tahun dan sekali lagi mengatasi jangkaan pasaran serendah 2.2%. Seperti pertumbuhan IPP, peningkatan eksport bulan Mei disumbangkan oleh pengembangan permintaan global untuk barangan elektrikal & elektronik dan kimia buatan Malaysia.

Pengembangan eksport dan pengeluaran perindustrian menunjukkan bahawa ekonomi negara adalah kukuh sambil mengatasi cabaran luaran. Malaysia sedang menerima manfaat daripada perang perdagangan menerusi peralihan perniagaan serta fenomena lencongan perdagangan dan pelaburan. Pelaburan langsung asing atau foreign direct investment (FDI) yang diluluskan untuk semua sektor dalam suku pertama 2019 meningkat 73.4% kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion setahun lalu. Peningkatan ini disebabkan oleh kenaikan 127% untuk FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion setahun lalu.

Pertumbuhan permintaan domestik yang kukuh

Selain daripada statistik perindustrian dan perdagangan, terdapat beberapa penunjuk lain yang membayangkan trend ekonomi yang memberangsangkan. Kadar inflasi bagi bulan Mei 2019 kekal rendah dan stabil pada 0.2%. Jualan kenderaan juga menggambarkan kekukuhan pertumbuhan permintaan domestik apabila jumlah jualan kenderaan bagi bulan Mei 2019 naik 41% kepada 60,780 unit berbanding 42,977 unit setahun lalu. Untuk tempoh Januari-Mei 2019, 253,808 unit kenderaan telah dijual dan ini adalah 13% lebih tinggi daripada jualan yang dibuat pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jadual 2: Statistik terpilih bagi Mei 2019

Statistik Pertumbuhan Mei 2019
Nilai jualan pembuatan 6.7%
Eksport 2.5%
Inflasi 0.2%
Kadar pengangguran 3.3%
Jualan kenderaan 41%

Persediaan untuk tahun 2020

Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia terikat secara erat dalam rantaian pembekalan global. Kerajaan sedar akan risiko yang ditanggung Malaysia yang berasal daripada kelembapan ekonomi dunia, terutama sekali apabila beberapa rakan dagang utama Malaysia mengalami pertumbuhan perlahan.

Kerajaan akan mengambil kira segala senario dan risiko yang berkaitan dengan perang perdagangan dalam menyediakan Belanjawan 2020. Sementara itu, Kerajaan sedang menjalankan usaha mesra perniagaan untuk mendapatkan manfaat daripada perubahan rantaian pembekalan global, sambil meneruskan usaha pembaharuan institusi.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

13 Julai 2019