wrapper

Topik Popular

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia

Lanjutan Tempoh Pengecualian Duti Setem Bagi Pembelian Rumah Kediaman Semasa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) Selama Enam Bulan Sehingga 31 Disember 2019


 

Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang telah diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 dan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019 merupakan kerjasama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA). REHDA bersama-sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) telah terlibat sepenuhnya dalam kempen HOC dengan tujuan utama untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah kediaman dengan harga dan kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama menangani isu hartanah yang tidak terjual (supply overhang).

Mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bilangan kediaman yang tidak terjual di Malaysia telah meningkat kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion sehingga suku ke empat 2018. Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran. Berbanding dengan suku keempat 2017, ini merupakan peningkatan sebanyak 30.6% dari segi bilangan kediaman yang tidak terjual dan sebanyak 27.0% dari segi nilai kediaman tersebut.

Kempen HOC menggabungkan insentif Kerajaan dalam bentuk pengecualian duti setem dan insentif oleh pemaju perumahan yang memberikan diskaun harga pembelian sekurang-kurangnya 10%. Insentif pengecualian duti setem yang telah disediakan adalah seperti berikut:

Bil.  Harga Rumah Pengecualian Duti Setem Tempoh Pengecualian
a) 

Harga melebihi RM300,000 hingga 2.5 juta yang dibeli daripada pemaju

- Berdaftar dengan REHDA, SHAREDA serta SHEDA; dan

- memberikan diskaun sekurang-kurangnya 10% ke atas harga jualan rumah.

Surat Cara Pindah Milik

Pengecualian duti setem 100% adalah terhad kepada RM1 juta pertama

nilai rumah tersebut. Baki selebihnya adalah tertakluk kepada kadar 3%.

Perjanjian pinjaman

Pengecualian duti setem 100% ke atas keseluruhan perjanjian pinjaman

Bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai

1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019.

HOC telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana insentif pengecualian duti setem dan pemberian diskaun sebanyak 10% dapat mengurangkan kos pemilikan rumah kediaman terutamanya bagi rakyat Malaysia yang belum pernah memiliki rumah.

Kementerian Kewangan telah menerima permohonan daripada Menteri KPKT, YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin yang menyokong rayuan REHDA untuk melanjutkan tempoh HOC selama 6 bulan lagi. Bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia dan bagi mencapai objektif untuk mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual, maka Kerajaan bersetuju untuk meneruskan HOC untuk tempoh 6 bulan lagi, iaitu mulai 1 Julai 2019 sehingga 31 Disember 2019. HOC ini adalah untuk pemaju perumahan yang berdaftar dengan REHDA,SHAREDA dan SHEDA.

Selain insentif untuk HOC, Kerajaan juga telah menyediakan insentif untuk pembelian rumah pertama (tanpa mengira pembelian daripada pemaju perumahan atau secondary market) seperti berikut:

Bil. Harga Rumah Pengecualian Duti Setem Tempoh pengecualian
a) Harga sehingga RM 300,000. Surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman

Bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai

1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020.

b)   Harga di antara RM300,001 dan RM500,000.

Surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman

( Pengecualian terhad kepada RM300,000 pertama  harga rumah tersebut.)

Bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai

1 Julai 2019 sehingga 31 Disember 2020.

Untuk pembelian rumah pertama, rakyat yang masih belum memiliki rumah kediaman sendiri tetapi berhasrat untuk membeli dari pemaju perumahan yang tidak berdaftar dengan REHDA atau pembelian dibuat dari secondary market, maka pembeli rumah pertama boleh menuntut pengecualian duti setem di bawah insentif ini.


Sayangi Malaysiaku!


Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
30 Jun 2019