wrapper

Topik Popular

Search - K2
Carian - Kategori
Carian - Kenalan
Carian - Kandungan
Carian - Berita Suapan
Carian - Pautan Web
Keputusan Carian Pintar

Siaran Media
Kementerian Kewangan Malaysia


HUTANG DAN LIABILITI KERAJAAN TURUN 3.9 MATA PERATUSAN KEPADA 75.4% BERBANDING KDNK PADA TAHUN 2018 DARIPADA 79.3% PADA TAHUN 2017 WALAUPUN HUTANG LANGSUNG KERAJAAN MENINGKAT, HASIL RASIONALISASI KOS KE ATAS PROJEK-PROJEK MEGA YANG TERLALU MAHAL SERTA PEMBAYARAN KERJASAMA AWAM SWASTA (PPP)

 

Ramadan merupakan bulan penyucian dan pembaharuan bagi semua rakyat Malaysia. Kerajaan Persekutuan sedang berusaha secara berterusan untuk menerapkan nilai-nilai yang sama ke dalam pentadbiran dan negara secara keseluruhan. Kita bersyukur apabila usaha tersebut berjaya mencapai beberapa kejayaan yang memberangsangkan.

Satu contoh kejayaan yang dicapai adalah pengawalan dan pengurangan hutang dan liabiliti Kerajaan secara keseluruhan kepada 75.4% berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 79.3% pada tahun 2017, seperti yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan. Walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 mata peratusan disebabkan oleh rasionalisasi ke atas kos projek-projek mega serta pembayaran Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

Tanpa penjimatan kos, hutang dan liabiliti akan meningkat dengan lebih tinggi

Hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan dianggarkan akan meningkat lebih tinggi berbanding sekarang sekiranya pentadbiran semasa tidak melakukan usaha rasionalisasi terhadap kos ECRL, MRT2, LRT3 dan projek-projek mega yang lain. Sebagai contoh, kos LRT3 yang sebahagian besar akan ditanggung dan dibayar oleh Kerajaan melalui jaminan kerajaan, telah dipotong 47% atau RM15.02 bilion berbanding kos asal. Kerajaan juga telah mendapatkan penjimatan RM8.8 bilion bagi projek MRT2, manakala 121 projek infrastruktur kecil di seluruh negara secara kolektif bernilai RM13.9 bilion telah mendapat penjimatan RM806 juta. Kos projek ECRL pula telah diturunkan kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion, iaitu penjimatan sebanyak RM21.5 bilion.

Satu lagi contoh rasionalisasi adalah pembatalan 2 projek saluran paip kelolaan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) di mana 88% daripada kos RM9.4 bilion telahpun dibayar walaupun kemajuan kerja bagi projek tersebut adalah hanya 13%. Tambahan lagi, kemajuan kerja sebanyak 13% ini tidak dapat disahkan. Sehingga kini, masih tiada lagi penjelasan diberikan atas sebab apa pentadbiran terdahulu meluluskan kontrak tidak adil ini yang menggugat kepentingan Kerajaan dan rakyat Malaysia, sambil menguntungkan para kontraktor secara berlebihan.

Jadual 1 menunjukkan penjimatan yang telah dicapai oleh Kerajaan melalui usaha rasionalisasi ke atas kos MRT3, LRT3, ECRL, SSER dan 121 projek yang lain.

Projek Kos Asal (RM bilion) Kos Selepas Rasionalisasi (RM bilion) Penjimatan (RM bilion)
MRT2 39.4 30.5 8.8
LRT3 31.6 16.6 15.0
ECRL 65.5 44.0 21.5
SSER 9.4 Sedang dirunding Sedang dirunding
121 projek 13.9 13.1 0.8

 

Komposisi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan

Untuk makluman semua, hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan terdiri daripada hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayar oleh Kerajaan, serta pembayaran pajakan untuk pelbagai projek PPP dan liabiliti jangka masa panjang. Jadual 2 menunjukkan komposisi hutang dan liabiliti pada tahun 2017 dan 2018 secara keseluruhan.

Jadual 2: Perubahan bagi hutang dan liabiliti kerajaan berbanding KDKK bagi tahun 2017 dan 2018

Komponen 2017 2018 Perubahan
Hutang langsung kerajaan 50.1% 51.2% 1.1 mata
Jaminan kerajaan yang dibayar Kerajaan 7.4% 9.2% 1.8 mata
Pembayaran pajakan PP & lain-lain liabiliti 21.8% 15.0% -6.8 mata
Jumlah hutang & liabiliti kerajaan 79.3% 75.4% -3.9 mata

Penurunan keseluruhan daripada segi KDNK berlaku walaupun hutang langsung kerajaan dan jaminan kerajaan yang dibayar Kerajaan meningkat.

Hutang langsung kerajaan meningkat 1.1 mata peratusan kepada 51.2% berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 50.1% pada tahun 2017. Kenaikan ini adalah bagi membiayai defisit fiskal tahunan yang wujud seperti yang menjadi amalan tahunan sejak pentadbiran yang terdahulu.

Jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibayar oleh Kerajaan meningkat 1.8 mata peratusan kepada 9.2% berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 7.4% pada tahun 2017. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh penerusan pembiayaan projek infrastruktur yang sedia ada. Projek-projek tersebut bukanlah projek baharu dan antaranya adalah MRT, Lebuhraya Pan-Borneo dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dimulakan oleh pentadbiran lama.

Akhir sekali, komitmen kewangan lain yang dimulakan oleh pentadbiran terdahulu merangkumi pembayaran pajakan PPP dan lain-lain liabiliti (seperti 1MDB). Komponen ini telah turun 6.8 mata peratusan kepada 15.0% berbanding KDNK pada tahun 2018 daripada 21.8% pada tahun 2017. Penurunan 6.8 mata inilah yang membenarkan Kerajaan untuk mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan dalam tempoh setahun.

Pihak Kerajaan akan terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabilitinya secara keseluruhan, dan bukannya hutang langsung kerajaan sahaja. Jawatankuasa Pengurusan Hutang yang baru ditubuhkan oleh Kerajaan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan, tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Usaha ini, yang dijalankan seiringan dengan tadbir urus yang lebih telus dan lebih baik, akan mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada tahun 2019 dan seterusnya.

 

Sayangi Malaysiaku!

 

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
2 Jun 2019