Print this page

SIARAN MEDIA

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA


Tabung Harapan Malaysia (THM)


Berdasarkan kepada maklum balas positif dan keprihatinan rakyat Malaysia, Kerajaan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019 yang lalu telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemberian sumbangan selama dua (2) minggu lagi iaitu yang telah berakhir pada 14 Januari 2019. Sumbangan yang dibuat selepas tempoh tersebut tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.

Sehubungan itu, baki akhir setakat 14 Januari 2019 adalah berjumlah RM202,716,775.10. Pihak Kementerian Kewangan dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara. Jumlah sumbangan ini akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan.

Bagi memastikan pengurusan Tabung Harapan Malaysia (THM) dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Ahmad Badri bin Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan memutuskan penggunaan wang THM mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM (Trust Deed).

Kerajaan Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan kepada THM. Sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanahair yang dicintai. Selain itu, ia memberikan semangat kepada Kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan.

Sayangi Malaysiaku!

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

6 Februari 2019