wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR, 30 Nov -- Keseluruhan RM205.49 juta dana Tabung Harapan Malaysia (THM) telah digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Daripada jumlah itu, RM202.72 juta adalah sumbangan daripada rakyat Malaysia setakat 14 Jan, 2019 iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan, manakala RM2.77 juta lagi merupakan faedah pelaburan yang telah diterima.

Pada 28 Nov, 2019 kerajaan telah menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM itu adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta.

Bakinya RM82.07 juta pula telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini, katanya.

Lim berkata kerajaan pada 30 Mei 2019, telah melunaskan sebahagian hutang 1MDB iaitu Faedah Bon IMTN IMDB berjumlah RM143.75 juta diikuti bayaran balik cek tidak laku RM51,500 (pada 16 Jun, 2019) dan bayaran balik sumbangan terkhilaf RM9,457 (25 Jun, 2019).

“Kerajaan komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak US$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac, 2020.

“Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020,” katanya.

Daripada jumlah RM13.9 bilion itu, RM6.7 bilion (2017) dan RM2.1 bilion (2018) telah dibayar oleh MOF dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) bagi 1MDB dan SRC.

Lim berkata ??jumlah yang telah disediakan untuk melunaskan hutang-hutang 1MDB dan SRC adalah sebanyak RM2.4 bilion (bagi 2019) dan RM2.7 bilion (bagi 2020).

“Hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada 2039.

“Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB,” jelasnya.

-- BERNAMA