wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Anugerah Laporan Korporat Tahunan Kebangsaan (NACRA) telah memuktamadkan garis panduan baharu untuk 2020 sejajar dengan perubahan landskap dalam laporan korporat.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur NACRA 2019 Ahmad Zahirudin Abdul Rahim berkata antara perubahan utama NACRA yang baharu ialah kategori anugerah yang diselaraskan kepada ‘Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan’ dan ‘Anugerah Khas’ dengan kriteria kelayakan adalah permodalan pasaran, berbanding industri.

“Bagi kriteria pemarkahan dan garis panduan -- laporan tahunan akan dikeluarkan sepenuhnya dan pemberian markah akan diselaraskan untuk menilai pendedahan yang seimbang, bermakna dan setanding,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah NACRA 2019 di sini, malam ini.

Ahmad Zahirudin berkata memandangkan NACRA menyasar untuk meningkatkan kualiti laporan tahunan, garis panduan telah dikaji semula dan ditambah baik pada setiap tahun bagi memastikan penghasilan laporan yang sejajar dengan keperluan semasa.

Garis panduan baharu itu dijangka dilancarkan pada suku pertama 2020.

Sementara itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata anugerah tersebut akan membantu menyokong kepercayaan modal sosial yang penting dan diperlukan sebagai asas kedaulatan undang-undang serta masyarakat yang tersusun dan boleh dipercayai.

“Kita menyokong sesuatu yang lebih fundamental berbanding mempunyai perlindungan terbaik atau laporan yang tebal. Kita mengiktiraf sesiapa yang mendukung prinsip kecekapan, kebertanggungjawapan dan ketelusan.

“Apa anda lihat, itu yang anda dapat” akan membuatkan rakyat Malaysia berbangga sekali lagi bahawa kita bukan lagi kleptokrasi global, sebaliknya, demokrasi yang normal menjadi pegangan dalam kalangan masyarat di negara ini,” kata Lim pada majlis itu.

Pada majlis itu, sebanyak 25 anugerah dan 11 sijil merit NACRA disampaikan kepada finalis bagi mengiktiraf kualiti kecemerlangan dalam laporan tahunan masing-masing.

CIMB Group Holdings Bhd meraih Anugerah Platinum Kecemerlangan Keseluruhan - kejayaan berturut-turut yang tidak dimenangi sejak 2010.

Pada tahun ini, jumlah peserta meningkat dengan enam pesaing baharu yang bertanding untuk anugerah berprestij itu.

NACRA yang dilancarkan pada 1990, dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd, Institut Akauntan Malaysia dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia yang bertujuan menggalakkan kecemerlangan dalam laporan korporat tahunan.

Bertemakan “Ke Arah Akauntabiliti dan Kecemerlangan,” anugerah itu dibuka kepada semua syarikat yang diperbadankan atau didaftarkan tersenarai dan tidak disenarai di Malaysia, serta sektor awam dan organisasi lain yang ditubuhkan di negara ini.

-- BERNAMA