wrapper

Topik Popular

CYBERJAYA, 13 NOV - Pertumbuhan ekonomi negara masih mampan meskipun Malaysia tidak dapat mengelak tempias perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta unjuran pertumbuhan perdagangan barangan dunia bagi tahun ini diturunkan kepada 1.2 peratus daripada 2.6 peratus.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pertumbuhan ekonomi negara akan disokong oleh perbelanjaan pembangunan, dengan peruntukan yang tidak dihabiskan pada tahun ini akan digunakan pada tahun depan.

"Oleh itu kita lebih yakin tentang pertumbuhan ekonomi kerana perbelanjaan pembangunan dua tahun akan dibuat dalam satu tahun," katanya selepas merasmikan mesyuarat jawatankuasa pemandu Pan-Asian e-commerce Alliance (PAA) ke-60, di sini hari ini.

Beliau yang mengharapkan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China dapat diselesaikan, berkata apa yang lebih penting adalah untuk memastikan rangsangan domestik menerusi pelaksanaan projek, dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ditanya mengenai pakej rangsangani, Lim berkata ia akan dilaksanakan sekiranya keadaan menjadi lebih lembab.

"Namun kita tunggu dulu. Tahun ini diunjurkan akan terus mencatat pertumbuhan mampan. Kalau ada apa-apa keperluan pun adalah pada tahun depan, dan ini tentu bergantung kepada sama ada perang perdagangan selesai atau tidak," katanya.

Ditanya mengenai saiz pakej memandangkan dana yang terhad, Lim berkata kerajaan mempunyai ruang fiskal namun ia terpulang kepada kedudukan ekonomi.

Dalam ucapannya, Lim berkata prestasi ekonomi Malaysia lebih berdaya tahan berbanding negara lain, apabila mencatat keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, angka pertumbuhan yang lebih besar berbanding 4.5 peratysu pada suku yang sama sebelum ini.

Bagi setahun penuh 2019, beliau berkata kerajaan menjangkakan KDNK akan meningkat kepada 4.7 peratus.

-- BERNAMA