wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR, 30 Okt -- Maklumat mengenai terbitan bon Samurai yang kedua akan diumumkan melalui kenyataan rasmi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata langkah itu untuk mengelak salah tafsiran mengenai bon Samurai.

“Kami akan memaklumkan kepada anda melalui kenyataan rasmi kerana ini melibatkan terbitan antarabangsa, ia akan dilakukan melalui kenyataan rasmi supaya tidak ada salah faham," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Bon Samurai adalah aturan kerajaan kepada kerajaan dan juga usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatnya dari Jepun, Shinzo Abe, yang bertujuan menjalin hubungan ekonomi dan budaya yang lebih erat antara Malaysia dan Jepun.

Sementara itu, mengenai cadangan Ketua Audit Negara (AG) untuk mengehadkan jaminan kerajaan, Lim berkata pada masa ini, walaupun keputusan mengenai jaminan dibuat oleh kementeriannya, semua kelulusan akan melalui Kabinet dahulu.

"Kami sentiasa melalui Kabinet untuk mendapatkan kelulusan. Ia mesti mendapat kelulusan Kabinet.

"Selepas pengasingan antara jawatan perdana menteri dan menteri kewangan, terdapat semak dan imbang," kata Lim.

Pada 15 Okt, AG Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata terdapat kebimbangan mengenai keupayaan lima syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk memenuhi obligasi hutang mereka.

Beliau berkata syarikat tersebut mempunyai obligasi untuk membayar balik pendahuluan daripada kerajaan, merujuk kepada Seksyen 8 Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan).

Lima syarikat itu ialah Kuala Lumpur International Airport Bhd, GovCo Holdings Bhd, Asset Global Network Sdn Bhd, Jambatan Kedua Sdn Bhd dan DanaInfra Nasional Bhd.

-- BERNAMA