wrapper

Topik Popular


KUALA LUMPUR, 31 Okt -- Sektor penjagaan kesihatan dan perubatan negara dijangka menarik dua juta pelancong kesihatan tahun depan menerusi kempen Tahun Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2020 (MyHT2020).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kempen yang dilancarkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) itu akan mempromosikan kepentingan kesihatan fizikal dan mental dengan mempelawa pengunjung untuk mendapatkan rawatan kesihatan di samping menikmati keindahan destinasi pelancongan Malaysia.

“Saya berharap menerusi kempen ini, kita akan mencatatkan momentum dan menerima lebih ramai pelancong. Kita menjangkakan dua juta pelancong penjagaan kesihatan dan merekodkan penerimaan pelancongan sebanyak RM2 bilion sekali gus menyumbang RM8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan MyHT2020 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli.

Amiruddin berkata unjuran angka itu mewakili peningkatan ketara daripada data tahun lepas yang merekodkan 1.2 juta pelancong kesihatan serta menjana penerimaan pelancongan sebanyak RM1.5 bilion dan menyumbang RM6.4 bilion kepada KDNK.

“Dari segi hasil, kadar pertumbuhan tahunan terkumpul pelancongan kesihatan Malaysia amat menggalakkan iaitu 17 peratus daripada 2015 hingga 2018,” katanya.

Beliau berkata pelancongan kesihatan menyumbang 7.6 peratus kepada keseluruhan hasil pelancongan dan dijangka semakin meningkat kukuh pada masa depan.

MyHT2020 juga berperanan sebagai pemangkin untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

"MyHT2020 akan menjadi platform lonjakan ke arah mewujudkan permintaan lebih besar bagi penjagaan kesihatan di Malaysia, sekali gus menjadikan profesional penjagaan kesihatan semakin diperlukan," katanya.

Sementara itu, Sherene menyifatkan Malaysia memiliki kelebihan dari segi penjagaan kesihatan memandangkan negara ini menawarkan pengalaman pesakit yang benar-benar unik melalui gabungan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang memenangi anugerah serta reputasi sebagai destinasi pelancongan pilihan selama ini.

Beliau berkata sejak sekian lama, tawaran penjagaan kesihatan negara ini diketengahkan sebagai satu pakej komprehensif dengan semua elemen tepat untuk pelancong kesihatan -- kualiti berkelas dunia, akses mudah dan kemampuan kompetitif.

“Penjagaan kesihatan Malaysia, yang dikenali sebagai 'Permata Tersembunyi di Asia', telah diiktiraf di peringkat antarabangsa (dengan Malaysia dinamakan) sebagai Destinasi TerbaikTahunan bagi pelancongan kesihatan oleh International Medical Travel Journal yang berpangkalan di United Kingdom selain Negara Terbaik di Dunia bagi Penjagaan Kesihatan oleh Living International dari Amerika Syarikat,” katanya.

Sempena acara itu, MHTC juga menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Malaysia Airlines Bhd untuk mengukuhkan penawaran perkhidmatan industri pelancongan kesihatan.

MHTC, agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, ditubuhkan pada 2009 untuk memudahkan dan mengembangkan industri pelancongan kesihatan negara.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada MHTC untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan di ASEAN bagi rawatan onkologi, kardiologi dan kesuburan.

-- BERNAMA