wrapper

Topik Popular


PUTRAJAYA - Kelonggaran mengurangkan nilai ambang dari RM1 juta ke RM600,000 untuk pemilikan asing kondominium dan pangsapuri tidak akan menidakkan hak pembeli tempatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penurunan harga berkenaan melibatkan unit sedia ada yang tidak terjual dan merupakan kediaman yang tidak dapat menarik pembeli tempatan.

Justeru, beliau menegaskan pembeli tempatan tidak dinafikan hak mereka kerana sekiranya mereka hendak beli, mereka boleh beli sekarang dan ia tidak akan kekal sebagai unit tidak terjual.

“Sekiranya unit tersebut dapat dijual, ia secara langsung akan memberi impak limpahan ekonomi kepada negara.

“Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan kelonggaran tersebut berhubung pengurangan nilai ambang bagi memastikan objektif dasarnya tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600,000 untuk pemilikan asing.

Guan Eng berkata, langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual berjumlah RM8.3 bilion pada suku tahun 2019.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan penjelasan berhubung cadangan itu perlu dibuat memandangkan ia telah disalah tafsir dengan sengaja oleh pihak tertentu.

“Pengurangan nilai ambang tersebut hanya terpakai kepada unit kondominium dan pangsapuri sedia ada yang masih tidak terjual dan akan berkuatkuasa 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2020 sahaja.

“Ia tidak merangkumi projek baru yang belum dilancarkan. Langkah ini dijangka memanfaatkan sektor hartanah tanpa menjejaskan kepentingan warganegara Malaysia,” katanya.