wrapper

Topik Popular


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efisien untuk meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani isu ekonomi bayangan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kajian menunjukkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Katanya, angka yang dianggarkan itu sangat besar dan isu berkenaan perlu ditangani dengan serius.

“Isu ekonomi bayangan ini contohnya perniagaan yang dijalankan oleh warga atau pekerja asing menggunakan lesen yang diperoleh daripada orang tempatan.

“Jika mereka ditangkap atau pastikan jumlah itu dapat diserap kepada asas serta hasil percukaian, ia semestinya boleh menambahkan lagi hasil negara.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diarahkan untuk terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efektif, efisien selain meningkatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut ruang lingkup perundangan yang ada bagi menangani isu ekonomi bayangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2019, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Sabin Samitah.

Menurut Menteri Kewangan itu, kerajaan akan memperkenalkan Nombor Pengenalan Cukai kepada semua perniagaan atau individu yang mencecah usia 18 tahun serta memiliki hasil pendapatan bermula tahun 2021.

Katanya, inisiatif itu bagi meningkatkan kutipan selain memperluaskan lagi asas cukai.

“Bagi memastikan inisiatif itu dapat dilaksanakan dengan lancar, sesi libat urus akan diadakan dengan pihak berkepentingan pada tahun hadapan.

“Ia bagi memastikan tidak ada pembayar cukai yang gagal melaksanakan tanggungjawab percukaian masing-masing.

“Selain itu, ia juga memberi keadilan kepada pembayar cukai yang sekian lama menjalankan tanggungjawab mereka dengan sepatutnya.

“Dalam hal ini, LHDN perlu memanfaatkan sepenuhnya teknologi big data dalam mengesan pembayar cukai culas yang masih tidak berada dalam jaringan percukaian negara,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah cukai yang dikutip menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela, Guan Eng berkata, perkara itu akan diumumkan kemudian.

“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan apabila semua data sudah sedia dimuktamadkan,” katanya.