wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR, 26 SEPT -Kerajaan Persekutuan akan menepati sasaran defisit fiskal 3.4 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun ini dan akan menerbitkan hutang langsung bersih sebanyak RM52 bilion untuk tujuan perbelanjaan pembangunan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penerbitan hutang langsung bersih bernilai RM52 bilion untuk fiskal tahun ini adalah seperti dirancang dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan tahun lepas dan lebih rendah daripada 3.7 peratus defisit fiskal KDNK atau RM53 bilion dicatatkan pada 2018.

““Hasil terbitan akan digunakan untuk perbelanjaan pembangunan seperti pembinaan jalan raya dan infrastruktur awam yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim turut menyangkal dakwaan bahawa jumlah bersih hutang langsung yang diterbitkan setakat ini 26 Sept iaitu RM58 bilion telah mengatasi sasaran RM52 bilion untuk seluruh tahun ini.

Beliau berkata dakwaan itu adalah tidak berasas dan tidak benar kerana angka RM58 bilion itu gagal mengambil kira dua faktor utama.

Pertama dan terutama sekali, katanya kerajaan menerbit dan menebus hutang dan sekuritinya secara teratur setiap tahun berdasarkan kepada jadual penerbitan dan penebusan hutang tahunan.

Keduanya, beliau berkata nilai penerbitan dan penebusan hutang sepanjang tahun adalah tidak sekata disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk mengurus aliran tunainya dengan baik.

“Untuk keseluruhan tahun, kerajaan merancang untuk menerbitkan sebanyak RM135.7 bilion hutang langsung kasar, sambil menebus semula hutang berjumlah RM83.3 bilion,” katanya.

Menurut jadual itu, katanya sebanyak RM102.2 bilion hutang langsung kasar telah diterbitkan bagi tempoh Januari-Ogos, manakala RM33.5 bilion akan diterbitkan bagi tempoh September-Disember.

Beliau berkata RM38.8 bilion telah ditebus bagi tempoh Januari-Ogos 2019 dan sebanyak RM44.5 bilion lagi akan ditebus bagi tempoh September-Disember 2019.

“Oleh itu, dengan hanya melihat pada angka hutang langsung bersih tanpa mengambil kira jadual penerbitan dan penebusan tahunan akan memberikan gambaran tidak tepat tentang paras hutang langsung kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menerbitkan lebih banyak hutang dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua kerana pendapatan kerajaan sentiasa lebih rendah dalam separuh tahun pertama berbanding separuh tahun kedua.

Pada masa yang sama, katanya penebusan hutang akan sering menjadi lebih tinggi dalam separuh tahun kedua apabila pendapatan kerajaan adalah tinggi.

Lim berkata sebagai rujukan, pendapatan kerajaan pada suku pertama 2017 adalah sebanyak RM46.6 bilion diikuti RM50.7 bilion pada suku kedua, RM58.7 bilion pada suku ketiga dan RM64.6 bilion pada suku keempat.

Trend itu berterusan pada 2018 apabila pendapatan kerajaan adalah sebanyak RM54.3 bilion pada suku pertama, RM52.5 bilion pada suku kedua, RM58.9 bilion pada suku ketiga dan RM67.2 bilion pada suku keempat, katanya.

Beliau berkata angka hutang langsung bersih perlu dilihat dari sudut tahunan dan bukan dari sudut bulanan, bagi mengambil kira rancangan penerbitan dan penebusan.

“Sebarang kesimpulan yang dibuat berdasarkan maklumat untuk setengah tahun dan tidak lengkap, berniat untuk mengelirukan dan tidak menggambarkan kedudukan kewangan kerajaan yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata perancangan secara tahunan sudah menjadi amalan kewangan biasa yang diguna pakai oleh kerajaan semasa dan terdahulu, dan sesiapa yang mendakwa sebaliknya walaupun pernah menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan yang lama, tidak bersikap jujur.