wrapper

Topik Popular

KUALA LUMPUR, 23 OGOS -Pertumbuhan perniagaan sampingan AirAsia akan menampung kehilangan pendapatan daripada pemansuhan bayaran pemprosesan pelanggan yang menggunakan perbankan dalam talian dan kad kredit mulai Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pendapatan sampingan kumpulan itu mampu berkembang secara mendadak dengan bantuan strategi digitalnya. “Kami telah memulakan strategi digital AirAsia 3.0 dan pendapatan sampingan boleh berkembang dengan pantas.

“Kami amat yakin yang (pendapatan) pemansuhan bayaran pemprosesan ini boleh digantikan dengan peningkatan pendapatan sampingan dan jumlah (penumpang) lebih besar yang akan menampung defisit ini,” katanya. Perniagaan sampingan AirAsia merujuk kepada perniagaan selain tiket penerbangan seperti jualan makanan, cendera hati dan bagasi.

Tony berkata demikian pada sidang media pada majlis pelancaran pusat perusahaan sosial Destination: Good oleh Yayasan AirAsia di sini, hari ini. Pelancaran disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching.

Destination: Good yang terletak di REXKL mengetengahkan lebih 400 jenis produk dan barangan oleh lebih 30 perusahaan sosial dari ASEAN. Dalam tempoh tujuh tahun ini, Yayasan AirAsia telah memberi 24 geran kepada perusahaan sosial bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.

Tony menerusi laman Twitternya pada akhir Julai lalu, mengumumkan bahawa AirAsia akan memansuhkan bayaran pemprosesan bagi pelanggan yang membuat bayaran sama ada menerusi perbankan dalam talian dan kad kredit mulai Oktober ini.

Bayaran pemprosesan AirAsia bermula pada kadar RM4 jika penumpang menggunakan debit terus dan boleh meningkat sehingga RM16 dengan UnionPay.

Bagaimanapun, jika pelanggan memilih untuk membuat pembayaran menggunakan aplikasi e-dompet AirAsia iaitu BigPay, tiada bayaran pemprosesan yang terbabit Dalam pada itu, ditanya mengenai kesan sistem tergendala yang berlaku di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada AirAsia, Tony tidak menjangkakan ia akan memberi impak kewangan yang besar kepada kumpulan itu. Katanya, AirAsia kini sedang bekerjasama rapat dengan pengendali KLIA bagi meminimumkan masalah yang sedang dihadapi itu.

Kedua-dua terminal di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mengalami gangguan sistem bermula pada malam 21 Ogos lalu.

Gangguan itu menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).