wrapper

Topik Popular


Data eksport Malaysia bagi April 2019 meningkat 1.1 peratus kepada RM85.2 bilion dan jelas membuktikan petunjuk awal perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang lebih memberangsangkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata import bagi tempoh sama turut meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun yang menunjukkan permintaan domestik kukuh dan seiring dengan pertumbuhan suku kedua yang mantap.

“Ini berlaku selepas KDNK bagi suku pertama berkembang sebanyak 4.5 peratus daripada setahun lepas dan mengatasi konsensus pasaran terbitan Bloomberg sebanyak 4.3 peratus," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada RM159.5 bilion pada April selepas menokok 2.6 peratus tahun ke tahun daripada RM155.5 bilion setahun lepas.

Menurut Lim, import barangan penggunaan meningkat sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun selepas mencecah kadar kukuh 10.5 peratus pada Mac manakala import bagi barangan pengantara melonjak sebanyak 20.3 peratus bagi tahun ke tahun selepas meningkat hanya 3.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Perkembangan kukuh kedua-dua barangan penggunaan dan pengantara ini menunjukkan bahawa pertumbuhan KDNK bagi suku kedua akan lebih memberangsangkan," katanya.

Jelas Lim, perkembangan perdagangan yang positif ini dicatatkan ketika kadar inflasi stabil pada 0.2 peratus pada April, kadar pengangguran kekal rendah pada 3.4 peratus pada Mac lepas dan pertumbuhan berterusan pengeluaran perindustrian pada suku ini.

Merujuk Indeks Keyakinan Pengguna yang diterbitkan Nielsen bagi suku pertama 2019, beliau berkata data itu menunjukkan keyakinan pengguna Malaysia terhadap prospek ekonomi bagi 12 bulan akan datang berikutan peningkatan indeks itu sebanyak 11 mata kepada 115 mata daripada 104 mata setahun lepas.

“Peningkatan eksport ini telah membolehkan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sehingga mencecah RM10.9 bilion pada April lepas. Ini menjadikan jumlah lebihan dagangan bagi empat bulan pertama 2019 kepada RM47.8 bilion.

"Lebihan besar setakat ini akan membantumemastikan supaya imbangan akaun semasa tahunan negara berada dalam keadaan lebihan. Ia akan turut melindungi Malaysia daripada pelbagai risiko luaran seperti perang perdagangan yang berterusan," katanya.

Mengulas perang perdagangan Amerika Syarikat dan China yang masih berlanjutan, Lim berkata, Malaysia sebaliknya terbukti mendapat manfaat berikutan peralihan perdagangan dan penempatan semula perniagaan.

Ini jelas dipaparkan menerusi data pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan yang terbukti meningkat 48 peratus kepada RM80.5 bilion pada 2018 berbanding RM54.4 bilion pada 2017.

"Nomura yang juga sebuah institusi kewangan Jepun, juga baru-baru ini mengiktiraf Malaysia sebagai penerima manfaat keempat terbesar dunia (susulan peralihan perdagangan) selepas Vietnam, Taiwan dan Chile.

"Selain peralihan perdagangan yang membantu meningkatkan eksport, Malaysia juga berkemungkinan besar akan meraih manfaat daripada penyusunan semula rantaian bekalan global, " katanya.

- Bernama