wrapper

Topik Popular

Guan Eng (tiga dari kiri) bersama Sabin (dua dari kiri) selepas merasmikan Persidangan Percukaian Kebangsaan 2019, di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR, 5 OGOS -Kerajaan tidak akan memperkenalkan cukai baharu termasuk cukai warisan dalam pembentangan Belanjawan 2020 nanti, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Tiada kemungkinan akan ada cukai baharu yang akan dilaksanakan, (ini kerana) kerajaan mahu melaksanakannya pada awal (tahun), bukan di pertengahan (tahun)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Persidangan bertemakan Percukaian dan Kemakmuran Ekonomi itu dianjurkan bersama oleh LHDN dan Institut Percukaian Bertauliah Malaysia (CTIM).

Ditanya mengenai pertikaian dagang Amerika Syarikat (AS)-China, Guan Eng berkata ia sudah tentu akan memberi impak kepada Malaysia. Katanya, tidak boleh dinafikan tindakan daripada salah satu rakan dagang utama negara akan memberi kesan tempias kepada Malaysia sama ada AS atau China. "Kerana itu, di dalam bajet ini, kerajaan akan memperkenalkan pakej kontingensi sebagai persediaan sekiranya pertikaian dagang ini semakin memburuk.

"Pelan ini adalah untuk melindungi negara daripada kesan buruk susulan pertikaian dagang ini.

"Biarpun terdapat pandangan mengatakan yang pertikaian ini akan diselesaikan akhir tahun ini, namun kita perlu tunggu dan lihat keadaannya," katanya.